Tuesday, April 5, 2011

Bila Diri Dihina

DIAM dan SABAR. Sememangnya susah dan sukar untuk kita lakukan
bila kita dihina, diumpat, dikeji, difitnah atau dimalukan
lebih-lebih lagi khalayak ramai, di pejabat atau dalam
masyarakat. Namun itulah tindakan yang terbaik bagi kita.
Bila kita menjawab balik hinaan yang dilontarkan pasti bukan
kita yang bercakap tapi yang "bertanduk dua" yang sedang
menguasai akal fikiran kita pada masa tu. Jadi, seeloknya kita
diam sejenak. Istighfar di dalam hati banyak-banyak dan ingatkan
diri kita supaya bersabar menghadapi hinaan yang dilontarkan.

Dalam situasi bila mana kita terasa diri kita sangat lemah
umpama anak ikan yang dikelilingi oleh jerung-jerung kelaparan
kita tidak tahu apa yang harus kita lakukan. Untuk tujuan itu,
saya ingin kongsikan sedikit panduan dalam menghadapi keadaan
bila mana kita dihina. Antaranya ialah:

1. Orang yang menghina kita dengan menggunakan perkataan yang
teruk (Contohnya bangang, bodoh, gedik dan sebagainya) sebenarnya
sedang mendoakan keburukan itu untuk dirinya, suami atau isteri
mereka, ahli keluarga, adik-beradik dan lebih parah lagi sebenarnya
mereka mendoakan untuk anak-anak mereka. Nauzubillah..

2. Sebenarnya cacian dan hinaan yang dilemparkan itu adalah
RAHMAT daripada ALLAH. Kenapa? Sebab setiap hinaan yang
dilontarkan kepada kita adalah penghapus bagi setiap dosa-dosa
kita semalam. Lebih beruntung lagi kita akan dapat banyak pahala
percuma. (Tapi dengan syarat kita kena sabar dengan apa yang berlaku)

3. Ingatlah bahawa ada HIKMAH di sebalik setiap dugaan dan
cabaran yang kita hadapi. Sebenarnya Allah hendakkan hamba-Nya
kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita
semakin jauh, lalai dan lupa kepada-Nya.

4. Bila kita difitnah, kita akan tak dapat tidur malam lantaran
memikirkan tentang fitnah yang dilontarkan kepada kita. Maka, kita
dengan sendirinya akan bangun bertahajud setiap malam mohon
kepada Allah agar diberi ketenangan, kemaafan dan keampunan
dariNya sepanjang hidup ini.Kesan daripada itu (Sentiasa
bertahajud selalu), hati akan menjadi semakin tenang dan bahagia
walaupun dikelilingi orang yang sentiasa mencari salah kita dan
orang yang tidak mahu memandang wajah kita.

5. HIKMAH dan REZEKI yang melimpah ruah menanti kita di sebalik
ujian tersebut. Contohnya Allah permudahkan segala urusan kita.
Allah pertemukan kita dengan rakan-rakan yang mulia hatinya,
rakan-rakan yang boleh membantu kita menjana ekonomi kita dengan
lebih mantap, pasangan yang memahami dan menyayangi kita dengan
sepenuh hatinya, anak-anak yang baik, keluarga yang memahami dan
pelbagai lagi.

6. Kita juga akan menemui dan dapat menilai siapa sahabat
kita yang sebenar dan siapa musuh kita. Cara dan gaya hidup kita
pun mungkin akan berubah ke arah lebih baik dan lebih bermotivasi.
Mungkin sebelum ni kita susah nak baca buku-buku yang bermanfaat.
Mungkin kita juga berpeluang mengenali tokoh-tokoh motivasi yang
hebat yang terkenal di seluruh dunia. (Contoh : Dr Aidh Abdullah
Al-Qarni, Imam Ghazali dan lain-lain). Selain itu, kita juga akan
mampu untuk menjadikan diri kita insan yang sangat kuat, tabah,
sabar dan mengubah seluruh pemikiran dan idea kita selama ni.

Pendek kata, apa yang berlaku pada kita walaupun buruk pada
pandangan manusia, namun sebaliknya pada pandangan Allah.
Fikirkanlah bahawa semua yang berlaku adalah RAHMAT ALLAH.
Insya-Allah hidup kita lebih tenang, bahagia dan sangat matang.
Insya-Allah..Aminn..

No comments:

Post a Comment