Thursday, April 21, 2011

Jangan Sombong Dengan Takdir

Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis
laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah.
Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog
yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada
syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah
melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.

Iblis

Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu
hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah
hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu...
syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia
diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam
mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.
Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya
daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah
dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah,
sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan
terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia
terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan
meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya
tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan
terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke
neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!

Takdir Dan Iman Kita

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku
mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu?
Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat?
Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak
kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?

Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling
menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut
berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa
kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan
cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego
terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh
ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita
yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya
sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.

Katakan, "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan
daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku
berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku
kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh
dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."

Takdir Mengatasi Tadbir

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah,
sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir
dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan
terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka
terjadilah apa yang kita tidak inginkan.

Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan
kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan
bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan,
tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan
'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan
dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari..

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi
mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi
daripada pengamatan fikiran biasa.

Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita
terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.
Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat
meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan
dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan
aku telah berusaha?

Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha
mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir)
Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati
(iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam
cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya jauhari
mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir.
Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang
tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat
lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya –
samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan
manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah
adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa
Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda
penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Apa Khabar Iman Anda?

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan
masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya.
Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu
mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan
mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang
itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang
ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi
ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah
sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang
disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan
berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang
menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu.
Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan
yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh
buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan
(ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita
semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada
muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati
terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa
pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau
belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Bersangka Baik Dengan Allah

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan... itu mungkin pada
hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka
yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di
sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat
Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat
hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang
gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang
yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan
itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah
kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah
ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian,
seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya
kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan
kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi,
miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas
daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara
langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan
membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak
kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia
tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk
redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku.
Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba
yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira
dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan
manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik
belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama.
Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati
kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar
gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik.
Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu
merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah Al-Baqarah : 216)

Nikmat Allah

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin
kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal,
dihina dan sebagainya?

Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi
dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah).
Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang
lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan,
keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya,
barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh
daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang
terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum dikatakan
seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah
dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan
kesalahannya."

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah
dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan
dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu,
kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah
untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil
hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan
baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir
Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu
bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada
Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang
buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat
sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para
hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-
ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah
telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan
Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku
samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak
melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab) tetapi matahati mereka
dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:

"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan
terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat, melapang
dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu,
kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang
telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha
luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan
menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani
setiap ujian dari-Mu!"

No comments:

Post a Comment