SIAPA kata al-Quran tidak meliputi bidang sains? Teori Big Bang
yang dikemukakan Hubble menemukan bahawa alam semesta ini
terjadi berupa gumpalan, kemudian meledak sehingga terjadi
berjuta-juta galaksi.
Teori tersebut dikemukakan Hubble pada tahun 1927, dan di
dalam al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
pada sekitar tahun 600 Masihi lalu telah dinyatakan menerusi
surah al-Anbiya´, ayat 30 yang bermaksud: "Dan apakah orang-
orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi
itu kedua-duanya nya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian
Kami pisahkan antara keduanya (dengan kekuatan Kami)."
Ternyata al-Quran tidak dapat disanggah lagi apabila Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud: "Dan daripada air Kami jadikan segala
sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?
Dan, matahari bergerak pada garis edarnya. Demikian ketetapan
Tuhan Yang Maha Kuasa dan Mengetahui." (Surah Yaasin: 38).
Bukankah ilmu pengetahuan moden baru menemukan bahawa matahari
sebagai pusat peredaran seperti yang baru ditemukan Copernicus
pada sekitar abad ke-15?
Tanda yang tersendiri, yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t
di dalam ayat tersebut adalah perjalanan matahari pada orbitnya
sehingga ke penghujung pusingannya. Pusingan tersebut adalah
satu ketentuan dan ketetapan daripada Allah yang Maha Kuasa
lagi Maha Menguasai bagi setiap sesuatu.
Terdapat dua pendapat ulama tafsir yang mentafsirkan maksud
orbit, iaitu suatu tempat yang berada di bawah Arasy yang hampir
dengan bumi pada suatu arah di mana kedudukan matahari dan
sekalian makhluk masih tetap berada di bawah Arasy.
Kedua, tahap akhir perjalanannya, iaitu hari kiamat. Ini telah
dibuktikan oleh ahli astronomi bahawa terdapat pertambahan
putaran matahari secara jelas di tengah-tengah bintang
disebabkan pusingan bumi di sekeliling matahari setahun sekali.
Bagi matahari, terdapat dua pergerakan yang lain, iaitu pusingan
di atas paksi dan pusingan beserta dengan pengiringan planet-
planet yang bergerak di sekitar sistem solar dan galaksi dengan
kecepatan yang amat tinggi.
'Mustaqir' pada pandangan ulama yang pertama adalah merupakan
paksi yang tetap, manakala ulama yang kedua berpendapat ia
merupakan pergerakan sistem solar bersama-sama kumpulan
planetnya (Tafsir al-Munir, jld. 23, hlm. 15-17).
Kemudian hal tersebut dipersetujui oleh Albert Einstein untuk
menggugurkan teori yang dikemukakan Plato (teori bumi sebagai
pusat peredaran). Dan bukankah setiap benda bergerak menurut
garis edarnya, seperti halnya malaikat yang mengelilingi Arasy
Allah s.w.t, elektron mengelilingi inti atom, dan manusia
melakukan tawaff mengelilingi Kaabah?
Seperti yang diketahui, arah kiblat menggunakan posisi matahari
yang 'beristiwa' (transit) di atas (zenith) Kaabah atau Masjidil
Haram. Fenomena ini berlaku apabila matahari dalam terbit dan
terbenamnya mengikut rutin hariannya, mengalami tengah hari
(disebut istiwa/transit) tepat atau hampir tepat pada titik
zenith (dengan kata lain, berada betul-betul di atas Masjidil
Haram atau Kaabah. Peristiwa ini hanya berlaku dua kali setahun,
iaitu pada 28 Mei, dan 16 Julai setiap tahun. Sekalipun terdapat
pandangan mengenai tahun lompat dan sebagainya, sebagai suatu
kaedah rujukan bayang, selisih yang wujud adalah kecil, justeru
nilai atau tarikh di atas boleh digunakan setiap tahun.
Semasa peristiwa ini berlaku, matahari seolah-olah menjadi puncak
tiang yang didirikan di atas Kaabah, yang mana ia dapat disaksikan
dari setiap pelosok bumi yang masih mengalami siang ketika itu
(dengan kata lain, masih nampak matahari). Ini membolehkan
matahari ketika itu, menjadi petunjuk di mana arah Kaabah dengan
tepat.
Oleh sebab kaedah hitungan falak boleh digunakan untuk menghitung
bila waktunya peristiwa ini berlaku di Kaabah, umat Islam di
negara lain hanya perlu merujuk kepada perbezaan waktu sahaja.
Malaysia berbeza lima jam dengan Mekah, justeru tengah hari di
Mekah adalah bersamaan pukul 5.16 petang dan 5.28 petang 16 Julai
di Malaysia.
Maka, pada waktu yang berkenaan, rujuk bayang objek tegak seperti
tiang, dinding dan sebagainya, kemudian berdirilah di hujung
bayang tersebut menghadap objek berkenaan (bersamaan menghadap
ke arah matahari), dan anda menghadap arah kiblat.
Kita semua tentu ingat sebuah dokumentari (Discovery) di sebuah
saluran televisyen swasta yang mengisahkan tentang kehidupan laut.
Mr. Costeau dalam penjelajahan di lautan, menemukan fenomena yang
sangat ganjil, iaitu adanya air tawar di tengah lautan yang tidak
bercampur dengan air laut yang masin seolah-olah terdapat dinding
yang membatasinya.
Sebagai penjelajah laut, Costeau sangat terkejut. Bagaimanapun,
bagi umat Islam yang mengetahui, penemuan ini tidak begitu
mengejutkan. Di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 53 dengan
amat terang menjelaskan hal itu. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan, Dialah yang menciptakan dua laut mengalir (berdampingan)
yang satu tawar lagi segar dan yang lainnya masin lagi pahit.
Dan Dia jadikan antara kedua-duanya dinding dan batas yang
menghalanginya."
Al-Quran juga telah membuktikan kebenaran, iaitu kata "yaum" yang
bermaksud "bulan", hanya terdapat 12 kali. Kata panas dan dingin,
masing-masing diulangi sebanyak empat kali, sementara dunia dan
akhirat, hidup dan mati, syaitan dan malaikat, dan masih banyak
lainnya, semuanya seimbang dalam jumlah yang serasi atau sejajar
dengan tujuannya dan indah kedengaran.
Ditemukan tiga bukti kebenarannya. Pertama, keindahan, keserasian
dan keseimbangan kata-katanya. Kata "yaum" yang bererti "hari",
dalam bentuk tunggalnya berulang sebanyak 365 kali (ini sama
dengan setahun), dalam bentuk jamak diulangi sebanyak 30 kali
(ini sama dengan sebulan).
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-
bulan pada sisi (hukum) Allah s.w.t ialah dua belas bulan, (yang
telah ditetapkan) dalam kitab Allah s.w.t semasa Dia menciptakan
langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.(Ketetapan)
yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah
kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu
(dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik
seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa."
(Surah at-Taubah: 36)
Sehubungan itu, Ulil Albab adalah golongan yang diistimewakan
dan yang disebut Allah di dalam al-Quran. Sebanyak 16 kali
disebut di dalam al-Quran. Ulil Albab menggunakan kurniaan akal
untuk merenung setiap kejadian di alam semesta yang maha luas ini.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan
langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat
tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)".
(Surah Ali-Imran: 190)
Al-Quran menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah
ciptaan Maha Pencipta, Allah s.w.t. Dia telah memerintahkan kepada
orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di
alam cakerawala ini. Oleh kerana itu manusia perlu mengkaji
mengenai rahsia-rahsia alam yang masih tidak diketahui.
Allah s.w.t bukan sahaja Pencipta Alam, tetapi juga memelihara,
mengawal, dan mengurus segala juzuk alam daripada sekecil-kecil
hingga yang sebesar-besarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan
peraturan yang telah ditetapkan.
Lihat bagaimana Allah memelihara perjalanan matahari yang bersaiz
99.9% daripada saiz objek-objek sistem suria, mengharungi alam
cakerawala pada orbitnya sejak dari mula ia diciptakan hingga ke
hari ini dan akan datang. Allah juga yang mengawal dan mengurus
tentang proses penghasilan tenaga matahari melalui proses tindak
balas nuklear setiap saat sebanyak 4 x 1026 Joule sesaat, menyamai
100 bilion 1 megaton bom nuklear. Tenaga yang hebat ini dibebaskan
setiap saat sejak dari zaman dahulu hingga kini dan akan datang.
Bagaimana pula kehebatan Maha Pencipta yang mengatur perjalanan
siang dan malam? Bagaimana bahagian malam akan menutup bahagian
siang bumi dengan kelajuan 1700 km sejam (470 meter sesaat) dalam
tempoh 24 jam?
Setiap bahagian bumi mendapati siang dan malam mengikut kadarnya
yang tertentu. Bagaimana teliti dan hebat, bumi yang besar dengan
diameter 12,756 km beredar laju dengan kelajuan 30 km sesaat
mengelilingi matahari sejauh 960,000,000 km dalam masa 365.25 hari.
Begitu juga bulan -- bagaimana teratur dan telitinya ia beredar
mengelilingi bumi dengan kelajuan 61.8 km sejam tanpa terlewat
atau tercepat daripada masa yang ditetapkan.
Sudah tentunya al-Quran dan sains saling berkait rapat. Jika
difikir dan direnung dengan akal yang waras, sudah tentu keadaan
sebegitu berlaku melalui satu perancangan dan pentadbiran yang
teliti dan tidak mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.
Imam Al-Ghazali menyatakan. "Sungguh, jalan untuk mengenal Allah
(makrifatullah) dan mengagungkan-Nya itu adalah dengan cara
memikirkan setiap mahluk-Nya, merenungkan keajaiban-keajaiban
dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung di dalam segenap
ciptaan-Nya."
فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ 75 وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ 76
Maka Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang.
Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu
mengetahui.
(Surah Al Waaqi'ah 56: Ayat ke 75-76)
No comments:
Post a Comment