Pepatah Cina ada menyebut: "Mulut itu pintu masuk kepada
kesihatan tubuh badan, kerana semua penyakit datangnya dari
mulut, manakala semua masalah datangnya dari pertuturan."
Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh
menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi,
kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk
Dr How Kim Chuan.
Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan
tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar.
Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang
sentiasa terbentuk di gigi. Antara simptom sakit periodontal
ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan "poket-poket"
periodontal, gigi longgar dan nafas berbau.
Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran
penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai
kesakitan, kata Dr How. Mujurlah tanda-tanda keradangan itu
dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan,
motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya.
Kaitan Dengan Penyakit Sistemik
Terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya
penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan,
kata Dr How. "Para penyelidik mendapati periodontitis
(keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal,
mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit
kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria."
Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan
peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing
manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko
jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk.
"Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga
mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang
mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula
dalam tubuh badan," terang Dr How.
Sakit Jantung, Strok Dan Pneumonia
Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari
periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat
dan strok. Dr How menerangkan bahawa plak gigi mungkin
berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh
darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan
menghadkan aliran darah.
Penghasilan arteriosklerosis ini diburukkan lagi dengan
mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana
arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung
dan arteri otak yang menyebabkan strok. Dr How menerangkan
bahawa penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang
baik boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia jenis aspirasi.
Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing
seperti makanan atau cecair yang menyebabkan iritasi kepada
paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah,
keradangan dan sakit pneumonia. Bakteria di mulut ekoran kaviti
dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke
dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr How.
Langkah Pencegahan Penting
"Walaupun penyakit gusi boleh menyebabkan pelbagai masalah
kesihatan, kita harus sedar jika seseorang menghidapi kedua-dua
masalah, ia tidak semestinya saling berkaitan. "Para penyelidik
kini sedang mengkaji apa yang berlaku apabila periodontitis
dirawat di kalangan penghidap pelbagai masalah kesihatan,"
tambah Dr How.
Oleh kerana potensi kaitan antara periodontitis dan masalah
kesihatan sistemik, pengamal kesihatan tetap menekankan pencegahan
sebagai langkah pentingdalam penjagaan kesihatan yang menyeluruh.
How menjelaskan bahawa gusi yang sihat berwarna pucat, tekstur
pejal dan melekap baik pada gigi.
"Sebarang kelainan dari ciri-ciri itu menandakan proses patologi
yang boleh sampai ke tulang dan seterusnya menyebabkan gigi
longgar dan tercabut, sekiranya tidak dirawat," kata Dr How
ketika pelancaran media cecair kumur antiseptik 'Listerine
Total Care'.
Dalam satu forum kesihatan oral oleh doktor-doktor gigi Januari
lepas yang bertajuk "Mulut Sihat, Badan Sihat," para doktor gigi
bersetuju mulut yang sihat adalah berdasarkan enam tanda utama.
Tanda-tanda itu adalah ketiadaan plak, tiada tartar (karang gigi),
gusi yang sihat dan tisu lembut, tiada kaviti, nafas tidak
berbau dan gigi yang sihat secara semulajadi.
Plak Dan Tartar
Pencegahan penyakit periodontal seharusnya bermula dengan
pembersihan plak dan tartar secara mekanikal, kata Dr How.
Penyakit gusi bermula dengan plak, yang sentiasa terbentuk
pada gigi. Apabila pengumpulannya sampai ke tahap berlebihan,
ia boleh mengeras menjadi bahan yang dinamakan tartar.
Tartar melekat kuat pada gigi dan menjadikan permukaan itu
sesuai untuk pembentukan plak lagi, sekaligus memerangkap lagi
banyak bakteria dan membahayakan kesihatan gusi. "Bakteria
dalam plak dan tartar mengandungi toksin yang menyakitkan gusi
dan adalah punca pelbagai penyakit periodontal," kata Dr How.
Tartar pula hanya dapat dibersihkan secara professional,
tambahnya.
Gusi Sihat, Gigi Tanpa Kaviti
Gusi yang sihat biasanya berwarna merah jambu pucat. Perubahan
warna pada gusi, terutama sekali jika semakin merah, bengkak
dan mudah berdarah mungkin tanda keradangan disebabkan
pengumpulan plak bakteria. "Jadi, anda harus berjumpa dengan
doktor gigi secepat mungkin jika gusi berdarah ketika memberus
atau mengflos, atau pun jika ia merah, bengkak atau'lari'
sedikit dari gigi," nasihat Dr How.
Kaviti atau pereputan gigi merupakan penyakit di mana proses
bakteria telah merosakkan struktur gigi dan menyebabkan lubang
dalam gigi yang dipanggil karies. "Hari ini, karies adalah
penyakit paling biasa di seluruh dunia yang jika tidak dirawat
boleh menyebabkan kesakitan, kehilangan gigi, jangkitan dan
dalam kes paling teruk, kematian," kata Dr How. Katanya,
memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berflorida
dianggap cara paling berkesan dalam penggunaan florida untuk
mengawal pembentukan karies.
Jaga Kesihatan Mulut Sendiri
Dalam kebanyakan kes, nafas berbau atau halitosis, berpunca
daripada mulut sendiri. Tahapnya bergantung kepada jenis makanan
yang dimakan, obesiti, tabiat merokok dan minum arak. "Lokasi
paling biasa bagi halitosis dari mulut ialah lidah, di mana
bakteria lidah adalah punca sehingga 90 peratus masalah nafas
berbau," katanya.
Dr How menasihati orang ramai agar menjaga kesihatan mulut
masing-masing dengan memberus gigi dan berkumur dengan cecair
antiseptik, mengflos dan membersihkan lidah selalu, di samping
berjumpa dengan doktor gigi dua kali setahun. Kesemua ini ada
berkesan dalam menghalang kemasukkan plak bakteria dan dalam
membersihkan poket-poket periodontal yang biasanya tidak dapat
dicapai.
No comments:
Post a Comment