Friday, April 8, 2011

Buat wasiat ketika sihat

MENULIS wasiat bukan kebiasaan masyarakat kita. Wasiat selalu
disarankan pada orang tua dan orang yang sakit.

Ada juga apabila ditanya mengenai wasiat, ia dianggap penghinaan
seperti mendoakan orang itu cepat mati. Seorang anak yang menyuruh
bapanya membuat wasiat mungkin akan dimarahi dan dikatakan anak
derhaka walaupun sebenarnya anak itu mengingatkannya kerana
wasiat adalah sunnah nabi.

Tahukah kita bahawa wasiat adalah sunnah nabi? Ada yang tahu dan
ramai lagi seperti penulis yang tidak tahu.

Wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang semasa hayatnya ke atas
hartanya untuk tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang Islam
yang berkuat kuasa selepas kematiannya. Wasiat adalah isu yang
sepatutnya tidak terus dijadikan sebagai perkara sensitif kerana
ia amat penting dan perlu untuk kita semua yang mempunyai harta.
Semua orang tidak kira berkahwin, bujang, mempunyai anak ramai
ataupun tidak, perlu mengetahui hal pembahagian harta faraid dan
penulisan wasiat sekiranya kita ada impian sendiri dalam
membahagikan harta selepas kematian kita kelak. Sa'ad bin Abu
Waqqas berkata: "Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku
sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, "Wahai Rasulullah,
apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku." Baginda menjawab,
"Tidak." Aku berkata, "Sebahagiannya. " Baginda menjawab, "Tidak.
" Aku berkata, "Sepertiga." Baginda menjawab, "Ya, sepertiga.
"Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau
meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau
meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan
tangan mereka. "(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda, "Bukanlah seorang Muslim sebenar yang mempunyai harta
untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah
tertulis dan disimpan di bawah kepalanya." (Petikan daripada sahih
al-Bukhari) Pengurus Besar, as-Salihin Trustee Bhd (as-Salihin),
Jasmin Jamaluddin, menasihatkan supaya masyarakat yang mempunyai
harta membuat wasiat ketika dalam keadaan berupaya.

Mengapa kita perlu membuat wasiat? "Salah satu sebabnya adalah
mempercepatkan proses kerana apabila seseorang itu meninggal,
hartanya beku. "Wasiat menjadikan proses pencairan harta lebih
cepat, tidak kira banyak atau sedikit. Seseorang berharta digalakkan
membuat wasiat supaya proses pembahagian kelak cepat dan mudah.
"Membuat wasiat juga bermakna kita sudah melantik pentadbir harta
pusaka kita (wasi). Sekiranya tidak, waris perlu duduk berbincang
sesama sendiri untuk melantik pentadbir antara mereka. "Sekiranya
semua sependapat tidak mengapa tetapi realiti manusia sekarang amat
sukar mencapai kata sepakat terutama sekali membabitkan ahli
keluarga berpoligami," katanya.

Menurut Jasmin, sekiranya kita berharta, walaupun muda, eloklah
segera membuat wasiat kerana ajal manusia tidak mengira usia malah
kebanyakan mereka yang datang ke as-Salihin kerana mendapat kesedaran.

"Ada yang mendapat kesedaran melalui kawan. Ada juga dalam
keadaan sakit dan mahu cepat-cepat membuat wasiat. "Satu lagi
sebab paling popular untuk membuat wasiat apabila hendak
mengerjakan haji. Bagi saya, kita sepatutnya risau mengenai
kematian bukan hanya ketika hendak mengerjakan haji kerana ajal
boleh menjemput tidak kira masa, " katanya.

Walaupun zaman semakin moden, masih ramai yang membuat wasiat
secara mulut atas dasar mempercayai orang yang mendengar
etika itu.

"Wasiat secara lisan mengikut hukum syarak adalah sah sekiranya
semua syarat untuk membuat wasiat ditepati. "Namun dalam keadaan
sekarang idak digalakkan kerana prosedurnya bukan mudah. Ia
membabitkan kunjungan ke mahkamah dan membawa saksi, kemudian
diisytiharkan sah oleh mahkamah. Wasiat yang terakhir adalah
wasiat yang sah. Wasiat secara mulut selalunya boleh
dipertikaikan kerana sukar dibuktikan, "katanya.

Menurutnya, kebanyakan kita menyangka tidak payah membuat apa-apa
mengenai harta kerana ada faraid walhal itu adalah penyelesaian
terakhir.

"Tugas utama wasi yang dilantik setelah berlakunya kematian adalah
menyelesaikan hutang-piutang si mati dunia dan akhirat. "Selepas
itu, pembahagian mengikut wasiat boleh dilakukan. Sekiranya wasiat
adalah kepada waris dan ia tidak dipersetujui oleh mana-mana waris
maka waris terbabit akan mendapat hak faraidnya. "Waris lain pula
boleh mengikut pembahagian yang dinyatakan dalam wasiat asal,
"katanya.

Wasiat boleh dibuat mengikut kehendak empunya harta sendiri,
tertakluk kepada satu pertiga harta boleh diwasiatkan kepada
bukan waris. Contohnya, sekiranya hendak mewasiatkan sepertiga
harta untuk disedekahkan kepada badan amal atau bukan waris, ia
boleh dilakukan. Waris tidak boleh membantah. "Melainkan waris
pertikai yang ketika wasiat itu dibuat, orang tua mereka dalam
keadaan tidak stabil fikiran ataupun nyanyuk.

"Itu antara sebab kita perlu membuat wasiat sebelum tua supaya
tidak ada pertikaian mengenai pelbagai keadaan misalnya masalah
nyanyuk.

"Ada yang membuat wasiat ketika nazak dan wasiat sebegini juga
selalu menjadi pertikaian waris yang membawanya ke mahkamah,
"katanya.

Selain pembahagian keluarga berpoligami, anak angkat sering
menjadi masalah setelah berlaku kematian. "Jika seseorang itu
mempunyai anak angkat dan mahu meninggalkan pusakanya kepada
anak angkat, maka dia perlu menulis wasiat dan menyatakan
pembahagiannya dalam wasiat. "Sekiranya tiada wasiat
ditinggalkan, maka anak angkat terbabit tidak akan mewarisi
apa-apa melainkan waris faraid bersetuju memberi bahagian
mereka kepada anak angkat berkenaan.

"Hibah dan wasiat adalah berbeza. Hibah berkuat kuasa sekarang
berbanding wasiat yang berkuat kuasa selepas berlakunya
kematian, " katanya.

Tetapi Jasmin mengingatkan, hibah juga ada keburukannya kerana
pemberian hibah kepada bukan waris tidak boleh ditarik balik.
Sekiranya hendak ditarik balik, si penerima kena bersetuju.
"Contohnya, awal-awal lagi menghibahkan semua harta kepada anak
angkat yang sangat disayangi dan tiada pula mempunyai anak
sendiri. Namun ajal maut di tangan Tuhan, mungkin anak angkat
itu yang meninggal dulu. "Jadi eloklah jangan menghibahkan
seratus peratus sebaliknya beberapa bahagian sahaja kerana kalau
anak angkat meninggal dulu, waris faraid dia pula yang mendapat
hak waris. Bagaimana dengan nasib kita, di mana kita hendak
tinggal?" katanya.

Mengikut hukum syarak, hibah daripada ibu bapa kepada anak
kandungnya boleh ditarik balik walaupun anaknya tidak setuju.
Hibah selain daripada ibu bapa kepada anak, contohnya suami
kepada isteri atau kawan pula tidak boleh ditarik balik. "Proses
membuat wasiat pula tidak sesukar mana. Ada beberapa cara untuk
membuat wasiat. Ada yang mahu semuanya diperinci jadi mereka kena
sertakan perincian harta sekurang-kurangnya alamat rumah (tidak
perlu menyertakan nilai). "Untuk duit simpanan, perlu memberi nama
bank dan nombor akaun (tidak perlu memberitahu jumlah yang ada).
Ada juga yang sekadar memberi nama, alamat dan nombor kad
pengenalan sendiri dan kemudian menyatakan jumlah yang mahu
diberikan kepada waris atau bukan warisnya berserta nama dan
nombor kad pengenalan mereka. "Memang lagi mudah sekiranya harta
sudah diperincikan supaya mudah wasi mentadbir harta itu kelak.
"Mereka yang datang bertemu kami juga tidak perlu membawa saksi.
Sebenarnya lebih baik mereka datang sendiri tanpa membawa saksi
kerana risau kelak dipertikaikan saksi itu mempengaruhi orang
berkenaan dalam membuat keputusan,"katanya.

Bagaimana pula dengan penama wang simpanan? Adakah semua wang
itu kepunyaan penama? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 pada 10 September
2000 memutuskan: "Penama dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP), Bank Simpanan Pejabat Pos, Bank, Syarikat Insurans dan
Kesatuan Kerjasama adalah seperti orang-orang yang melaksanakan
wasiat si mati atau yang membuat wasiat. "Orang-orang itu boleh
menerima wang si mati daripada punca yang disebut itu untuk
dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut undang-undang
Islam mengenai warisan." Jasmin mengaku ramai yang salah sangka
dengan keadaan ini. "Paling popular adalah penama di KWSP. Ramai
menyangka seluruh wang itu adalah untuk penama.

"Sebenarnya sekiranya suami mati dan si isteri sebagai penama,
dia tidak mendapat semua wang itu sebaliknya sebagai penama yang
menjadi pemegang amanah membahagikan wang itu mengikut syariah
Islam. "Isteri haknya tetap satu perempat dan baki untuk bapa
atau ibu dan adik-beradik suami. Bagi simpanan isteri yang
meninggal dunia, suami akan mendapat satu perdua manakala baki
kepada bapa atau ibu dan adik-beradik isteri itu," katanya.

Pernah berlaku yang mana seorang lelaki meninggal dunia tetapi
penama di KWSP adalah ibunya. Si ibu menyangka semua duit itu
hak miliknya seorang tanpa mahu memberi sesen kepada menantu
dan cucunya. "Tanggapan si ibu itu sebenarnya salah. Dia adalah
penama pemegang amanah sahaja dan wajib membahagikan kepada
yang hak terutama isteri dan anak-anak yatim lelaki itu,
"katanya.

No comments:

Post a Comment