Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada
wanita. Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan
sesuatu yang belum menjadi haknya. Lelaki yang bijak sentiasa
menjaga pandangan mata dan hatinya. Lelaki yang bijak menyedari
bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi
suri hidupnya.
Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi
wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan
khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan
mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?
Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang
sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih
single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend.
Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang
dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada
perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli
hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar,
dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero
paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah.
pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads
to another. Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.
"Merosakkan?"
Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung
oleh perempuan. Pelindungkah?
Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan
perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang
mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap
perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu
supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-
masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang
'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam
lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu
yang halal kepadanya.
Pelindungkah?
Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?
Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan
amalmu,supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi
pemimpin keluarga yang dihormati.Jadilah pelindung kepada kami
dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu. Jadilah pelindung yang
terbaik dengan mencontohi Rasulmu!
Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga
Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak
berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta
Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai
keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling
sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah
lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.
Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah
kepada wanita, Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar
apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia
sedar itulah wanita sejati! Yang mempunyai harga diri, yang takut
kepada Ilahi.Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan
status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan
berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah
kepada status tersebut!
Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan
berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil
sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!
Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...
Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan
suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya
perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang
sipi dan diabaikan?
Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga,
yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah?
Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah
kita syurga milik kita? Yakinkah?
Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita,
sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga
lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai?
Sanggupkah?
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah
bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak
menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah
memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah
diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman:
(Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik
dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman:
(Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan
yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda
menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang
berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit
(iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya
akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram,
pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?"
(Hadis riwayat lmam Muslim)
Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya
Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram'
yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat
bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang
harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang
menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak
membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN
sahaja.
Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati, meskipun dengan
niat yang suci, kerana dia sentiasa menyedari, niat mungkin
terpesong sekalipun begitu murni, kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.
Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu
di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan
buruk, kerana hati tidak pernah menipu.
Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan
baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"
Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah
sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram,
sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam
jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali
manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita
tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya
itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati
itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-
rajinkanlah membersihkan hati.
Glosari
1. Ar-rijal: Lelaki, pemuda.
2. Husnul khatimah: Pengakhiran yang baik.
No comments:
Post a Comment