Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta
selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat
dulu. Dulu, berpisah terasa rindu... tetapi kini lain sekali.
Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu.
Rindu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada
buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!
Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap
dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak?
Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta
berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa
sahaja.
Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila
ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit.
Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau
bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada
lagi. Ah, begitukah adat dunia?
Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan
cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri,
kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu,
rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas
dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya
tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin
diminum semakin haus.
Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup
dengan satu. Hujjah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus
nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam,
tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja
Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita!
Poligami bukan untuk maladeni (melayan) nafsu lelaki ini ,
tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.
Kita tinggalkan lelaki yang bersifat 'jantan' itu. Mari kita
bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteripun
ada salahnya. Selepas sahaja dia bergelar isteri, semuanya menjadi
terlalu 'murah'. Tidak semahal seperti sebelum kahwin dahulu.
Malunya sudah kurang. Tidak pandai 'jual mahal' untuk mendapat
perhatian suami.
Jika dulu puas berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah
berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga, asyik
'mendedah aurat' (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa
mengira masa dan tempat. Bila setiap masa terdedah, di mana
indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya
menggoda suami sendiri?
Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan
kecil-kecil. Menguyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya.
Sunggup sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan
berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin mengurang. Cara
duduk, tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya...
tidak semerdu, ketawa, ha.. ha.. ha.. berdekah-dekah. Mana
hilang malunya?
Jangan terkejut jika kita 'menjual' terlalu murah, orang akan
meragui kualitinya. Suami akan berhenti 'memburu' anda jika anda
terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda
menjadi terlalu liar atau terlalu mahal... tetapi belajarlah
malu-malu seperti mula-mula kahwin dahulu. Insya-Allah, suami anda
akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi
untuk memikat dan mendapatkan kasih-sayang anda. Biar dia menjadi
pemburu cinta mu!
Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan
sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia
akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat
cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas
itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti
permata yang menjadi hiasan luaran.
Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan dalam bekas yang cantik.
Diletakkan dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekali dibuka dan
untuk orang yang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-
rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika terdedah sentiasa, itu
bukan permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan
mendorong siisteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan
kejelitaannya.
Belajarlah dari bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-
sekala... Bulan tidak mengambang setiap malam... kerana dengan
mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia
tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan
menjadi perindu.
Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu
bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu juga akan
memperindahkan dirinya. Kita tidak akan menyentuh permata dengan
tangan yang kotor. Kita tidak akan tega mengusapnya dengan tangan
yang berbau. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua.
Yang harum perlu ditantang dengan yang harum juga.
Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami
juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias,
anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T
dengan perut 'boroi', rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap
isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah
'umpannya' anda akan dapat 'ikan' yang begitu juga.
Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima
semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yang
buruk juga akan datang sebagai balasan. Begitulah juga dengan
hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan
menarik yang cantik.
Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda berada ditakuk
lama juga? Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain.
Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus
jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita
sudah ada kemahuan. Kemahuan akan menyebabkan anda
memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan
jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.
Jadi, bertanyalah dengan diri, mana minyak wangi yang menjadi daya
pemikat isteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis
yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin,
muka simpati dan empati serta senyuman yang ikhlas ketika mula-mula
bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah
ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?
Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan
ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu
lazim berlaziman. Jika terangkat iman, terangkatlah juga rasa malu.
Sebab itu kata hukama, "bila kau hilang malu lakukanlah segalanya.
" Maksudnya, bila rasa malu hilang, kita tidak akan fikir haram dan
halal lagi... semuanya dilanggar tanpa segan-silu lagi. Antara
ciri isteri yang solehah ialah isteri yang mengekal rasa malunya
terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang
busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.
Ya, diantara perbezaan insan dengan haiwan, selain insan punya
fikiran ialah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga,
ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan
dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk
mencari semula rasa yang malu yang dulu, samalah seperti menyusur
semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatik
akan ada rasa malu.
Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan
baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaannya
apabila Sayidina Usman datang menemuyinya. Kenapa? Ini kerana
sayidina Usman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan
sopan santun dan malunya.
Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya. Justeru,
suburlah rasa cinta dalam rumah-tangga dengan menyuburkan
semula rasa malu.
No comments:
Post a Comment