Thursday, March 31, 2011

Bahagia Itu Apabila Membahagiakan

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.
Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah
orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka.
Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya
bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan,
tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah
terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain,
lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih
banyak cahaya.

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak
kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki,
maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu.
Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh
membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah
menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat,
kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama,
hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah
anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di
tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya
buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita
ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita
bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun
barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah
manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan"
yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya.
Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih
daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba
renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang
perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri
yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang
sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu
berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan
isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan
orkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam,
sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar
luahan hatinya.

Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke
workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi
isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya,
itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic'
– bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya
mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia
bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang
mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah
terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai,
isteri telah terabai.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh menghargai pasangan
kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan
menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang,
kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah
mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan
pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi
rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan
kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami
kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah
tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta,
pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama
bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke
hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat
bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan
daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan,
cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan,
penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan
berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan.
Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta,
ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada
isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman
beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah,
kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana
dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai
siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan
bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat
disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri
tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang
disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang
gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh
dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan,
permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu
pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas
pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar
dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai.
Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak
meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri.
Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa
sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran
sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan
berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih
banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu
selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang
"sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka
ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar
suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital,
merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa
kata, tanpa suara...

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan
kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua
perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan
berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang
semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada.
Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman.
Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi sidia yang
setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia
yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan
cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak
bahagia!

No comments:

Post a Comment