Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia
dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka
ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu.
Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu
pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat.
Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat...
tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak
melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!
Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini
wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati...
anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan,
kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya.
Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan
menyentak dan anda akan tersentak.
Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman
dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima
dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak
percaya. Dia kah itu?
Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain,
satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu.
Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk
menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk
memancung yang sana.
Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati,
empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa
untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda
mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.
Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya
"parasit" pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa
memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima
oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah.
Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi
batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia
akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta
keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang
menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang
meraih keuntungan.
Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis
tentang watak "hitam" dalam kelompok manusia seperti dia.
Aku pun bukan "malaikat" yang serba suci dan tidak punya
kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang
secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang
seperti ini dalam pergaulan.
Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju.
Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada
apa-apa hubungan dengannya... biarkan dia berlalu sebagai
"tanda jalan" dalam musafir hidup mu!
Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun
berhati-hati itu sangat perlu... pembeza antara sangka
baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu
perlu. Jangan tertipu dengan senyuman.Jangan melulu
oleh kemarahan.
Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di
pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah
hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam
amukkan badai kemunafikan.
Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa.
Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata.
Bukan tidak mahu berterus terang... tetapi sekadar
"melembutkan" pendekatan. Ya, mana mungkin air najis
akan membersihkan najis?
Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan
yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia
biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang
menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada
masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!
Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di
depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah
kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM,
jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda... kau
katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya.
Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat
oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan
kau sudah berada di garis penamat.
Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan
diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu.
Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya
dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu
adalah terlalu. Takutilah parasit hati... yang berasal
daripada hati mu sendiri!
Ya, sekali lagi... pandanglah dulu onar diri mu. Parasit
hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.
Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!
No comments:
Post a Comment