Apabila kita melihat manusia pada zaman kini, sudah banyak
yang lari dari landasan yang benar. Ramai yang mula mengambil
jalan singkat ke neraka sedangkan bilangan yang mengambil
jalan yang diredhai oleh Allah SWT amatlah sedikit jika
dibandingkan dengan mereka yang mengambil jalan singkat
ke neraka ini.
Wahai kawan sekalian sedarkah anda,
Maksiat yang berleluasa di sana-sini,
Batas pergaulan pula tidak dijaga,
Pegangan agama entah ke mana?
Begitulah ibaratnya mereka yang bergelar Islam hanya pada
namanya yang indah tertulis ‘Binti’ dan ‘Bin’ namun
perangainya tidak seindah itu. Inilah hakikatnya yang pahit.
Sekiranya kita pergi ke mana-mana pusat membeli-belah, sudah
tentu kita akan melihat si pembuat dosa ini bermaharajalela.
Ada yang tudungnya terbang,
Ada yang berpegang-pegangan,
Ada yang dirinya ditayang-tayang,
Sedihnya apabila agama tidak dipegang.
Kaum hawa terutamanya, sudah kian hilang rasa malunya. Tegar
mendedahkan aurat di sana-sini. Seolah-olah perkara tersebut
adalah perkara yang diredhai Allah. Apabila ditanyakan kepada
mereka, "Bilakah akan terbuka hatimu untuk bertudung?". Pasti
kebanyakan mereka akan menjawab seperti ini:
* "Alaa...esok lusalah saya insaf!"
* "Tudung itu harus dipakai dengan ikhlas,mana boleh
paksa-paksa? Belum dapat petunjuk lagi, insyaAllah suatu
hari nantilah."
* "Suka hati akulah bila aku nak pakai tudung. Orang yang
pakai tudung lagi teruk perangainya daripada aku, jangan sibuk
nak tegur akulah."
* "Kau jangan nak lecture aku. Aku tahulah apa yang betul
atau tak!"
Itulah kebanyakan jawapan dan alasan yang kita dengar daripada
anak-anak gadis kita sekarang. Mari kita kaji pula tafsiran
Surah An-Nur ayat ke-31.
Katakanlah kepada wanita yang beriman:Hendaklah mereka menahan
pandangannya,dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka
menampakkan perhiasannya,kecuali yang (biasa) nampak
daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke
dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,kecuali kepada
suami mereka, atau ayah mereka,atau ayah suami mereka, atau
putera-putera mereka,atau putra-putra suami mereka, atau
saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara
laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka,
atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki,
atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan
(terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang
aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar
diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah
kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman
supaya kamu beruntung. [Surah An-Nur: 31]
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kaum hawa diwajibkan oleh
Allah SWT untuk menutup aurat mereka. Tetapi mereka yang
tidak tahu malu kepada Allah masih berani mengatakan bahawa
mereka belum ’insaf’ untuk menutup aurat mereka.
Wahai kaum hawa yang sudah hilang dari jalan yang benar,
insaflah sementara pintu taubat Allah masih terbuka. Andai
ajalmu tiba pada hari esok, semuanya sudah terlambat.
Ingatlah!
Menutup aurat itu bukanlah kehendak sama ada kita mahu atau
tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan
oleh Allah SWT.
Di antara punca utama mengapa kes-kes rogol kian berleluasa
adalah kerana kaum wanita yang suka menayangkan tubuh mereka
yang kononnya seksi, hot, dan pelbagai lagi istilah untuk
menggambarkan betapa hebatnya badan mereka itu. Malah, ramai
menyalahkan kaum lelaki kerana terlalu miang.
Persepsi ini salah! Lelaki, kalau tidak ada apa-apa yang
menaikkan syahwatnya, nescaya lelaki tidak akan bertindak
sedemikian. Wanita kini yang sibuk berdandan terleka dan
sibuk mengejar kecantikan duniawi sedangkan mereka lupa
bahawa kecantikan yang paling diredhai Allah ialah kecantikan
menutup aurat.
Buat kaum adam pula, bukankah Allah telah berfirman di dalam
Surah An-Nur, ayat ke-30 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah
Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
Jelas bahawa lelaki juga harus memelihara pandangan mereka dari
perkara-perkara yang boleh mengundang maksiat. Namun,mereka lupa,
atau pura-pura lupa. Yang lebih memalukan adalah ada yang tidak
mengetahui tentang perkara tersebut.
Berpakaian terkoyak sini sana,
Berseluar sendat nampak susuk badannya,
Lelaki pula naik syahwatnya,
Hingga maksiat kian berleluasa.
Beginilah yang terjadi apabila kaum wanita ingkar perintah
Allah SWT. Dosanya bukan sahaja kerana dia tidak menutup
aurat, tetapi dosanya berlipat ganda apabila dipandang oleh
lelaki sehingga timbul syahwatnya. Lelaki pula, dosanya bukan
sahaja kerana melihat aurat si wanita, namun dosanya pasti
berlipat ganda sekiranya lelaki itu berjaya memujuk sehingga
hilanglah ’mahkota’ wanita tersebut.
Kemudian,berdosa pula mereka yang membuang bayi luar nikah.
Semuanya bermula kerana ingkar menutup aurat dan ingkar menjaga
pandangan.
Bukan sahaja soal aurat menjadi persoalan zaman ini,malah soal
batas pergaulan menjadi isu yang panas.
“Hai sayang...I rindu kat you, nanti kita dating kat tempat
biasa ye.”
Manusia yang kemaruk cinta sebegini amatlah mudah untuk
digoda syaitan untuk melakukan maksiat. Memang tidak hairan
kerana di dalam masyarakat kita kini, budaya couple dianggap
sebagai perkara biasa. Betapa salahnya mereka. Allah telah
memerintahkan kaum lelaki dan wanita agar menjaga pandangan
mereka dan memelihara kehormatan mereka.
Allah tidak pernah menyuruh kita untuk bercouple, berpegang-
pegangan dan bermesra-mesraan. Betapa manusia kini berpura-pura
lupa. Sehinggakan ada yang sanggup berkorban segala-galanya
demi si dia yang dicintai.
Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu bukanlah
hubungan pernikahan yang sah?
Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu dilandaskan
oleh nafsu dan kehendak hati yang dibisik oleh syaitan?
Sekiranya mengadakan hubungan terlarang sebelum perkahwinan
itu baik kononnya, fikirkanlah mengapa Allah menyuruh kita
agar menjaga kehormatan dan pandangan kita?
Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita.
Cintailah Allah terlebih dahulu, nescaya kamu tidak akan
hilang arah. Apabila si wanita dan lelaki berdua-duaan, mereka
lupa bahawa pihak ketiga adalah syaitan. Orang yang bercinta
begitu khusyuk menuturkan kata-kata cinta, sehinggakan
mereka tertinggal solat dan meninggalkan pegangan agama
mereka, semuanya kerana mereka tunduk kepada nafsu dan
bisikan syaitan.
Malulah kepada Allah SWT,
Contohilah Rasulullah SAW,
Jauhilah maksiat.
Jagalah pandanganmu,
Peliharalah auratmu,
Wahai anak-anak Adam,
Janganlah berpura-pura lupa,
Kerana mungkin sahaja ajalmu esok.
No comments:
Post a Comment