Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana
bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah
dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji,
nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan
kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus
yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada
arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang
ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan
Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya
bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan
bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang
tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang
menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan
menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah
telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah
haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika
seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam.
Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun
datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah
melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma
Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut
seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa
kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk
menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah....
mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh
ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah
ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut
beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari
di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah
telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor
lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut
terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap
nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap
arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta
ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya
ialah sebagai neraca keIslaman kita. Lagi tinggi pengorbanan,
lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab
itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim
dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam
hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama
di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah
Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami
sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah
menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan
haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya
menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir
dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana
kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa
isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa
kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri
serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada
diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan
yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji
Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan
beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak
ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua,
melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga.
Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain
seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan
kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling
beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah
agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai
RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram,
lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang
terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram
dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman.
Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk 'pelancongan'
40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang
pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan
mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat
faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi
menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun
ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan
rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka
menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk
makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih
kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan
perlu dibuat sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang
sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia,
mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di
negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau
pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih
pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan
yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi
jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit
(termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak
untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa
berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib
membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga
dengan lunas syara', kewajiban membuat haji ketika mampu
akan dianggap sudah terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu
Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban
membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh
dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak
seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab
Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan
yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya
dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas
kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong
hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah
membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk
menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila seseorang
itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak
bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan
tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah
Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah,
walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat
demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua
hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan
dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah
ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan
adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam
kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian
Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan
terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat
haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang
mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang
dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk
membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar
dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari,
bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan
usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan
kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain.
Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai
ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci
agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera
membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia,
tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka
perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita
sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai
Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan
harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya
diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan
sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh
mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya
mendaftar pada tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027;
kebiasaannya akan diawalkan. Renungilah, berapa agaknya usia
kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita
menghirup nafas lagi pada waktu tersebut. Mendaftar itu tanda
niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji,
dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita,
sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan
mahkamah akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya
menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak
kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar
negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi
graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu
ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan
dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan
untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus
menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan
bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan
membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar
budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji
di usia muda. Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua
itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya
menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan
terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa
lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi
tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.
No comments:
Post a Comment