DOKTOR, saya mengalami gejala sakit pinggang kira-kira dua
bulan yang lalu. Saya terasa amat sakit setiap kali duduk
terlalu lama terutama pada pinggang sebelah kiri.
Kaki saya juga terasa sakit ketika memijak lantai. Saya ingin
tahu apakah ini berbahaya atau cuma sementara. Saya mohon
secepat mungkin saya diberitahu kerana saya sudah tidak tahan
menanggung sakit.
DARI apa yang saudara ceritakan, ada dua masalah kesihatan
yang perlu dipastikan sebelum rawatan diberi. Ini membabitkan
sama ada saudara mengalami masalah tulang belakang atau masalah
batu karang ginjal. Dari segi simptom yang saudara hadapi,
iaitu sakit pinggang yang menjadi lebih teruk jika saudara duduk
terlalu lama serta kaki sakit semasa memijak, saya merasakan
kemungkinan besar saudara mengalami masalah yang berkaitan
dengan tulang belakang. Masalah yang paling sering berlaku
ialah masalah slipped interveterbral disc atau prolapsed
interveterbral disc.
Dalam kedua-dua masalah ini, apa yang terjadi ialah pelapik
yang terletak di antara tulang belakang terkeluar dan menekan
saraf yang keluar di sisi tulang belakang. Ini boleh terjadi
akibat trauma pada bahagian belakang, misalnya terjatuh atau
cedera semasa bersukan.
Seseorang itu akan mengalami sakit pada bahagian pinggang
selalunya pada bahagian tengah tulang belakang. Sakit ini
menjadi lebih teruk semasa bergerak, duduk lama, berdiri
lama atau di dalam posisi tertentu seperti membongkok.
Sakit ini boleh dikurangkan dengan baring atau rehat atau
dengan memakan ubat tahan sakit. Sering juga sakit ini juga
akan menjalar turun ke bahagian paha dan kaki. Pesakit
selalunya menggambarkan kesakitan ini seperti aliran elertrik
turun ke kaki. Pada peringkat yang teruk, ia boleh menyebabkan
kebas-kebas pada bahagian paha dan kaki malah kaki juga boleh
menjadi lemah dan lumpuh.
Sakit yang berpunca dari batu garang ginjal juga boleh
mempunyai tanda tanda yang sama iaitu sakit belakang yang
teramat sangat. Bgaimanapun, ia akan dirasai pada bahagian
di mana batu itu berada iaitu sama ada di sebelah kiri
atau kanan tulang belakang.
Sakit yang berpunca dari batu karang ini berbentuk memulas
dan tidak ada kaitan dengan pergerakan atau posisi badan.
Malah ia boleh berlaku ketika seseorang sedang berehat.
Ada setengah pesakit akan mengalami loya dan muntah. Jika
batu karang mula bergerak turun ke dalam ureter, sakit yang
memulas ini akan dirasakan turun ke bahagian bawah abdomen.
Pada kaum lelaki, sakit ini boleh dirasakan hingga ke buah
zakar atau penghujung kepala zakar. Kebanyakan pesakit juga
akan mendapati air kencing akan bercampur dengan darah.
Ada juga yang mengatakan terdapat ketulan batu atau pasir
dilihat keluar bersama-sama dengan air kencing .Kencing
juga akan menjadi pedih dan tidak lawas sekiranya air
kencing dijangkiti kuman.
Untuk mendapat penyelesaian punca masalah sakit belakang
saudara, saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar
orthopedik terlebih dulu. Beberapa penyiasatan seperti
x ray dan mungkin Magnetic Resonance Imaging perlu dilakukan
untuk mengetahui status sebenar tulang belakang saudara.
Untuk mengetahui sama ada saudara menghadapi masalah batu
karang ginjal pula, ujian seperti xray dan ultrasound ginjal
perlu dilakukan. Bagi sesetengah pesakit yang disyaki
mengidap masalah batu dalam ureter pula, siasatan seperti
intravenous urogram (IVU) atau CTU perlu dilakukan.
Info Kesihatan
Kesan negatif akibat masalah tulang belakang
1. Osteoporosis (bagi wanita)
2. Stress
3. Migrain
4. Rabun dekat/jauh
5. Sakit mental
6. Lemah tenaga batin
7. Kurang aktif atau kurang stamina
8. Cepat letih
9. Cepat marah
10. Lambat berfikir
11. Sakit pinggang
12. Masalah buah pinggang
Faktor Diska Tergelincir
* Mengangkat barang berat tanpa mengikut cara atau kaedah
yang betul.
* Melompat dari tempat yang tinggi.
* Terbabit dalam kemalangan jalan raya.
* Kurang bersenam sehingga menjadikan tulang belakang
tidak kuat.
* Sering melakukan aktiviti lasak.
Simptom
* Sakit bahagian belakang pinggang.
* Sengal dan kebas punggung dan kaki.
* Lemah kaki.
* Kesakitan berdenyut-denyut pada paha dan kaki.
* Jika diska tengkuk terbabit, kesakitan akan dirasai
sehingga ke tangan dan kebas kaki.
Rawatan
PESAKIT yang mendapatkan khidmat tukang urut, biasanya
hanya pulih untuk seketika tetapi selepas beberapa hari,
keadaan itu boleh menjadi bertambah serius.
Justeru, pesakit dinasihatkan supaya menemui doktor dan
menjalani pemeriksaan sinaran-X serta Magnetic Resonance
Image (MRI). Melalui MRI, doktor dapat melihat dengan jelas
dan mengenal pasti diska yang terkeluar dari kedudukan asal.
Selepas disahkan diska menekan urat saraf, doktor akan
menjalankan rawatan peringkat awal, iaitu rawatan konservatif
ke atas pesakit. Pesakit dinasihatkan supaya banyak berehat,
tidak melakukan kerja berat atau mengangkat barang berat.
Pesakit juga diberi ubat-ubatan dan jika kesakitan beransur
kurang, mereka dinasihatkan melakukan senaman ringan untuk
menguatkan otot. Lazimnya, pesakit akan menjalani rawatan
konservatif di antara tiga dan enam minggu.
Bagaimanapun, jika tidak ada sebarang perubahan selepas tempoh
itu, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani
pembedahan discectomy. Melalui pembedahan ini, doktor akan
mengeluarkan sedikit diska yang tergelincir supaya tekanan
ke atas saraf dapat dikurangkan.
Biasanya, selepas pembedahan, pesakit akan pulih dalam tempoh
kira-kira dua minggu hingga satu bulan. Mereka juga berasa lebih
selesa untuk melakukan aktiviti harian.
Bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya bersenam dan tidak
melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan diska tergelincir.
Tahukah anda?
SERAMAI 2.2 juta penduduk Britain dilaporkan menerima rawatan
sakit belakang setiap tahun dan sebahagian besarnya didapati
kurang cergas serta jarang bersenam.
Menurut pakar biokimia Hospital Royal Free, London, Prof
Donald Grieve, pekerjaan yang hanya memerlukan seseorang itu
duduk terlalu lama, dipercayai menjadi punca sakit belakang,
selain kurang bersenam yang menyebabkan lemah otot dan
mudah mengalami kecederaan.
# Elak baring terlalu lama.
Mengurangkan sakit belakang
# Berehat.
Sebaik-baiknya berbaring di atas katil yang rata dan letakkan
bantal di bawah lutut.
Cara itu dapat mengurangkan ketegangan otot. Cuba lakukan
kaedah ini tiga hari berturut-turut.
Terlalu lama baring pun tidak elok kerana ia boleh menyebabkan
otot menjadi lemah dan ini mendedahkan ketegangan.
# Mandi air suam
Mandi atau berendam di dalam air suam boleh melegakan sakit
belakang.
Sebaik-baiknya rendam dalam air suam selama kira-kira 20 minit
setiap hari.
Bagaimanapun, wanita mengandung tidak digalak menggunakan kaedah
ini kerana boleh menyebabkan keguguran.
# Menggunakan tilam yang sesuai
Tilam lembik dan buruk boleh memburukkan lagi keadaan sakit
belakang. Dapatkan tilam yang lebih elok untuk menjamin
keselesaan dan kesihatan.
# Ambil aspirin
Aspirin boleh dimakan untuk meredakan kesakitan, tetapi mesti
mendapat pandangan doktor terlebih dulu kerana bimbang terhadap
kesan yang boleh dihadapi disebabkan pengambilan itu.
# Relaks
Tenangkan fikiran kerana sakit belakang juga dipercayai berpunca
daripada tekanan emosi.
# Gunakan kusyen
Sebahagian besar kerusi kenderaan tidak menepati ciri-ciri
keselesaan dan apabila memandu terlalu lama, kesakitan akan
bertambah teruk.
Justeru, untuk memastikan kesakitan tidak berterusan, letakkan
kusyen kecil di belakang anda.
# Berenang
Berenang adalah senaman aerobik yang paling berkesan untuk
meredakan sakit belakang. Jika tidak tahu berenang, berjalan
pantas juga dapat membantu meringankan masalah.
# Mengangkat barang dengan cara yang betul
Apabila mengangkat barang berat, pastikan barang itu diangkat
dengan cara yang betul. Contohnya, dekatkan barang itu ke
badan anda.
# Kawal berat badan
Pastikan berat badan seimbang. Badan yang terlalu berat juga boleh
memburukkan lagi keadaan sakit belakang.
No comments:
Post a Comment