Tuesday, July 12, 2011

Tambah Rezeki Dengan Berkahwin

Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi
penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian
tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah
keredaanNya.

Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi
keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.

Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian,
meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang
yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu
sendiri.

Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya
keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta
keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat
dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang
membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia
menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu
sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya,
dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih
sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin
berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat,
tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk
menanggung keluarga.

Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan
dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan
dimudahkan melalui perkahwinan itu.

Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan
kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang
yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan
perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka
daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan
Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)

Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan
dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah
berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang
bermaksud: "Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang
mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu
perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa
yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu
puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan
Muslim)

Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap
berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di
akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada
perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya
berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau
tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita
yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat
umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa
apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai,
berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.

Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli
dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi
perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan
pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan
bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua
mereka.'

Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat
dikeluarkan:

# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling
menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam
Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga
perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan.
Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan
kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk
dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.

# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku
di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu,
Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun
mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik,
anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah
hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan
dan persemendaan.

# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah
wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan
pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami
untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri
untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu
menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah
tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang
ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal
maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat
kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen
keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.

# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang
belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang,
belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka.
Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh
bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi
melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf
mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara
antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi
golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka
hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak
mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana
itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum
berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam
masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai
dan mengambil langkah seperti mereka.

# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki
dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga.
Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah
perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan
dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku
di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita
berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka
adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan.
Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam
sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian.
Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak
yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf
perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi
lelaki.

# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja
menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan.
Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan
lebih berseri.

No comments:

Post a Comment