Friday, July 15, 2011

Gangguan Syaitan: Antara Syirik Dan Sunnah

Sakit dan ketidak-ketenteraman yang terhasil dari gangguan
syaitan bukan lagi sesuatu yang asing di dalam masyarakat
kita. Walaupun masyarakat barat di masakini langsung tidak
mempercayai kewujudan syaitan, apalagi mempercayai kesan
buruk yang boleh diberikan syaitan kepada manusia, namun
bukti yang 'membanjiri' mereka, hatta bukti yang datang
secara saintifik, memaksa mereka mula untuk mengkaji dan
mempercayai hal ini.

Keadaan ini mengingatkan penulis bahawa suatu ketika dahulu,
saintis psikologi tidak mempercayai wujudnya fikiran
kognitif, namun kehadiran psikologi kognitif telah
menyangkal idea mereka secara mutlak. Begitu juga halnya
dengan alam ghaib, atas bukti yang melampau banyaknya,
tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan menerimanya
secara total.

Berbalik kepada tajuk asal kita. Apabila seorang dari kita
diganggu jin atau syaitan, pada kebiasaannya kita akan
merujuk kepada golongan-golongan yang lebih tahu di dalam
selok belok hal ini, iaitu biasanya golongan ustaz. Penulis
teringat kisah-kisah orang terdahulu, yang memandang segala
bacaan atau teknik yang digunakan golongan ini langsung tidak
akan dipersoal, kerana bagaimana carapun yang mereka gunakan,
akan diterima oleh orang awam, atas nama 'ikhtiar'.

Alhamdulillah, kini telah wujud ramai golongan yang mula
khuatir dengan kemurniaan aqidah mereka, adakah teknik
perubatan yang digunakan oleh si fulan bertepatan dengan
kehendak Al-Quran dan Sunnah yang sahih? Adakah teknik yang
mereka gunakan tidak terlibat dengan najis syirik? Bagaimana
impak teknik yang bercampur gaul dengan syirik itu ke atas
keimanan kita?

Maka persoalan-persoalan inilah yang akan cuba dikupaskan
di sini. Penulis juga akan turut membawakan beberapa isu
lain yang dipandang berkaitan dengan perihal ini.

1) Pastikan bahawa sakit itu adalah sakit yang berpunca
dari jin dan syaitan.

Ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan. Jikalau
ada tanda-tanda sakit seperti batuk yang tidak terhenti,
muntah tanpa diketahui punca, atau dengan kata-kata lain,
tanda-tanda sakit yang mungkin juga berpunca dari sakit
fizikal yang normal, cubalah bawakan dahulu berjumpa doctor,
kerana jikalau sakit itu sakit fizikal, buruk padahnya jika
lambat diubati. Hal ini penulis pandang sangat-sangat penting,
kerana ramai penulis berjumpa orang yang asal sakit sedikit,
'ada orang buat', demam lambat sembuh, 'ada orang dengki lah
tu', dan sebagainya. Akhirnya sakit yang ringan menjadi
bertambah berat dan sampai ke tahap yang sukar diubati lagi.

Namun jikalau sakit itu benar-benar nyata keanehannya, seperti
tanda kena cakar dan berdarah, muntahkan paku atau miang buluh,
maka itu jelas perbuatan sihir. Yang penulis maksudkan di atas
ialah tanda-tanda yang ada kemungkinan sakit fizikal.

Suka diingatkan di sini, hal-hal seperti ternampak lembaga yang
menakutkan, atau mendengar bisikan-bisikan suara, itu juga ada
kemungkinannya memerlukan perhatian pakar minda, seperti ahli
psikologi. Pernah penulis terserempak dengan kes seorang pemuda
berumur 15 tahun, yang asyik berkata dia nampak makhluk-makhluk
dengan wajah yang menakutkan, dan dipercayai dia diganggu jin.
Maka penulis menasihatinya berjumpa dengan pakar psikologi
klinikal, dan alhamdulillah setelah mengambil ubat yang
diberikan, fikirannya telah kembali seperti biasa, tanpa perlu
bantuan 'bomoh' dan sebagainya. Tambahan pula, pelbagai bomoh
telah dia upah, akhirnya ribuan ringgit habis dan penyakitnya
tidak juga pulih!

Jikalau sudah pasti sakit tersebut bukanlah sakit fizikal atau
mental, maka sakit itu besar kemungkinannya datang daripada
gangguan anak cucu Iblis. Antara kesan-kesan daripada gangguan
iblis dan syaitan adalah:

i) rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.
ii) rasa takut yang tidak diketahui puncanya.
iii) Terlalu sukar untuk bangun solat.
iv) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang
apabila bersama.
v) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa
untuk dimarahkan.

Jikalau terdapat wujudnya tanda-tanda ini, maka ada
kemungkinannya gangguan telah bermula.

2) Melawan sihir dengan sihir.

Jika ada di antara kita yang sakit, dan dibawakan kepada bomoh
yang nyata-nyata menggunakan sihir di dalam berubat, maka ini
adalah haram hukumnya. Kerana sihir itu termasuk di dalam
amalan syirik, kerana sihir menggunakan perantaraan jin/syaitan
di dalam berubat. Bagi orang awam, antara tanda-tanda bahawa
si pengubat menggunakan sihir adalah:-

i) Pesakit dinasihati supaya menjauhkan diri dari air selama
mana dia sakit. Ini jelas teknik sihir, kerana syaitan mahu
menjauhkan kita dari wuduk dan mandi hadas, dan apabila kita
tidak boleh berwuduk atau mandi hadas, jelas kita akan
meninggalkan solat yang wajib!

ii) Menggunakan kemeyan dan asap. Sama sekali tidak ada di
dalam teknik perubatan Rasulullah saw. Kaedah perubatan cara
baginda S.A.W akan diterangkan di bahagian akhir artikel ini.

iii) Menggunakan jampi serapah yang tidak difahami. Khususnya
jikalau si pengubat menggunakan perkataan seperti 'ya rijaalul
ghaib' (wahai orang-orang ghaib!) dan juga 'ya arawaahal
muqaddasah' (wahai roh-roh yang suci). Juga bukan dari kaedah
Baginda Rasulullah S.A.W, kerana haram kita memohon pertolongan
dari yang ghaib, selain Allah S.W.T.

iv) Meminta pengeras seperti telur ayam, ayam panggang, pulut
kuning dan sebagainya.

Jikalau ada tanda-tanda di atas, maka jauhilah daripada
meneruskan perubatan dengan orang tersebut.

Suka juga penulis ingatkan, selain daripada kaedah yang
digunakan si pengubat, adalah penting bagi kita untuk melihat
kepada keperibadian si pengubat itu sendiri. Jika amalan
hariannya kita lihat sesuai dengan amalan Rasul S.A.W, seperti
kerap berpuasa, solat sunat yang banyak, banyak berfikir
tentang selok-belok agama, suka mengajarkan ilmu agama kepada
orang lain, fasih membaca Al-Quran, bahkan memahami dan
selalu menceritakan isi kandungannya kepada orang lain,
menghayatinya, menyintai sunnah Nabi S.A.W, maka insya-Allah,
dia adalah pengubat yang baik.

Sekiranya si pengubat rokok sentiasa di tangan, solat
mengajinya jarang dilihat, jampi serapahnya sukar difahami,
bunyinya pun karut marut, maka lebih baik dijauhi.

3) Hukum berubat dengan pengubat yang kita tidak tahu amalannya
baik atau buruk, dan tidak diketahui kaedahnya sunnah atau tidak.

Ketika seorang daripada kita sedang sakit teruk, dan dibawakan
kepada seseorang yang tidak kita ketahui bagaimana kaedahnya,
adakah sunnah atau tidak, maka ini hukumnya HARUS, kerana kata
ulama', kita di dalam keadaan darurat, sakit, takkan pula
ketika itu kita sibuk menyuruh si pengubat bacakan jampinya
bagi kita memastikan betul salahnya. Maka keadaan ini, harus
hukumnya untuk berubat dengannya, dan kesalahannya, andaikata
dia beramal dengan jampi yang salah, maka dosanya adalah di
atas diri pengubat.

Terdapat si pengubat yang baru sahaja kita melangkah masuk ke
rumahnya, dia terus berkata 'aku tahu apa yang telah terjadi
pada engkau', sekiranya begitu sudah sah dan pasti pengubat
tersebut adalah pengamal sihir. Kerana hatta Rasulullah S.A.W
sendiri tidak tahu perkara ghaib seperti itu. Kerana itu jelas
kita melihat di dalam sirah, tanpa pemberitahuan dari Jibrail
as, Rasulullah S.A.W tidak akan tahu siapakah orang munafik di
antara pengikutnya!

Ini kerana bomoh atau tukang tilik mengetahui perkara ghaib
dari perkhabaran qarin, iaitu syaitan yang mendampingi kita
setiap waktu. Di dalam hadis sahih bukhari, Rasulullah saw
bersabda,

"Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian",
tanya Aisyah, "bersamaku ada syaitan?" Jawab baginda S.A.W,
"Ya". Tanya Aisyah, "Adakah bersama semua manusia ada syaitan
pendamping (qarin)?", jawab baginda saw, "Ya". Tanya Aisyah
lagi, "Engkau juga ya Rasulullah?", jawab Rasulullah S.A.W.
"Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya".

Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan
bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari
situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada
pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya
syaitan itu sebenarnya lemah.

5) Kaedah perubatan Rasulullah S.A.W.

Di antara cara Rasulullah S.A.W bagi mengubati gangguan jin
dan syaitan adalah:-

i) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan
si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana
syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. Sabda Nabi saw
di dalam musnad Ahmad Hanbal, "Janganlah jadikan rumah kamu
sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah
tidak akan dimasuki syaitan".

ii) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh
pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam
hadis di atas.

iii) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima
khalaq", iaitu aku berlindung dengan kalam Allah, daripada
kejahatan yang Dia ciptakan. Ini merupakan amalan yang diajarkan
kepada Rasulullah saw kepada para sahabat. Juga dari amalan
sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".

iv) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri
kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi
setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan
hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah S.A.W.

v) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu
"Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli
sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq", yang
bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala
apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang
yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama
Allah aku jampikan engkau". Jampi ini dibacakan Jibrail as
ketika nabi terkena sihir, dan Rasulullah S.A.W sembuh setelah
sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan
diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.

vi) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada
pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini
dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin
amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit
daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol
berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di
dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.

vii) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan
menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di
dalam mengubati sihir.

viii) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah
si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut
Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan
menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana
syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang
kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali
kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana
kegemarannya ada pada kita. Begitu juga syaitan. Syirik, bidaah,
hasad dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik
si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri
enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.

Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan
Rasulullah S.A.W, dan tiada sunnah yang lebih baik dari sunnah
Rasulullah S.A.W. Bagindalah sebaik-baik bapa, sebaik-baik suami,
sebaik-baik jeneral peperangan, sebaik-baik guru, sebaik-baik
pemimpin, sebaik-sebaik sahabat, dan sebaik-baik ciptaan.
Dengan bantuan Al-Quran dan sunnah yang sahih, insya-Allah
segala gangguan dapat kita hindari.

Ya Allah, jauhilah kami dari gangguan Iblis dan anak cucunya,
laknatilah mereka, dan jauhilah mereka dari hamba-Mu yang soleh.

Ya Allah, tingkatkanlah kecintaan dan kefahaman kami kepada
sunnah Muhammad S.A.W, leraikan prasangka kami terhadapnya
andai ada, berikanlah kami kefahaman tentangnya dan jauhilah
kami dari kejahilan tentangnya.

No comments:

Post a Comment