Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil
peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi
mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung
Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat
ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan
mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan
dan persiapan untuk memasukkinya.
Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan
bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt.
Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan
lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt.
Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari
ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud,
"Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga"
(Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan
suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-
mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya.
Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat
dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan
mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah
lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman
dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah
lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan
lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para
jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan
Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di
bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran
Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya"
(Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam.
Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin
Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra
pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai
bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat
sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra
berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah
seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau
melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami
oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku
pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di
belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah
baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah
swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan
Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah
bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran,
dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung
didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang
sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah
bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata
bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan
kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan
apabila didatangi oleh malaikat Jibril. adalah Jibril bertemu
Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan
mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu
Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup"
(Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr.
tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr
lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam
itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam
tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).
Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan
Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran
berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik
dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud,
"Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul
Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih
riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud,
"Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul
Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir
dibulan Ramadan".
Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk
memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt.
Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita
berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah
dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah
bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, "Sesungguhnya
Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan
sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya,
isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat
Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini
orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-
duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan
orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang
Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan
tentara Monggul.
Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik
buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah
(belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum
minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa,
solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia
ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan
hati dan diri) kami kepadaMu.
Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-
hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-
orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu
bertaqwa..." (Surah Al-Baqarah). Ameen.
قُلۡ شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan
yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang
benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),
maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian
wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu
pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian
itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu
cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya
kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185)
No comments:
Post a Comment