Wednesday, July 13, 2011

Tipu Daya Syaitan


ALLAH berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang
membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal
syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali
tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah
neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh
tempat untuk lari daripadanya.”(An-Nisa: 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri
masing-masing sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang
diamalkan dalam kehidupan seharian.

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar
atau tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada
syaitan menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu
itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar
kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat
syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah
kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah
apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap
menguasai tunjang dalam badan manusia.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan
itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan
manusia melalui 10 pintu:

Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat
mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca
daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah
hanyut ketika dilimpahi kemewahan.

Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda
dan kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya
dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk
membantu orang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat
atau bersedekah.

Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya
bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki
segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa
kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik
Allah pada bila-bila masa saja. Allah berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.”(an-Nahl:23)

Keempat – sifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui
perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain,
tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi
apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah
selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-
masing daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan
manusia dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri
mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya
akan diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan.
Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu
daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu
seperti api memakan kayu kering ”(Riwayat Bukhori dan Muslim).

Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego
manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu
itu berasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan
orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika
dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang
munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang
adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan – melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam
Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu
bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba
Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.”

(Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah
antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi
mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh
Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan
menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha
memperolehnya.

Kesepuluh dan terakhir – melalui sifat buruk sangka. Seseorang
suka menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki
terlebih dulu amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang
ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang
berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.”(Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment