Tuesday, July 5, 2011

Kisah Ulama Sufi : Jauhi Sifat Berburuk Sangka dan Bangga diri (Ujub)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W keluarga
serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah
sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita
sedari bahawa apabila sifat-sifat ini telah bertapak dalam
hati kita akan menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan
merosakkan amalan kita kepada Allah S.W.T.

Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri
dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat
seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di
sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik
"Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia
seperti aku!"

Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang
sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera
terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam
dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata,
"Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama
Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong.
Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya
telah menyelamatkan enam orang."

Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang
itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita
yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol
itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji
tuan."

Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu,
sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada
bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya
daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan
permohonan tuan."

Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia
menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada
orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas,
terdapat dua cara untuk mengatasinya.

01. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang
rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat
kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya
dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah.
Anggaplah berkemugkinan orang itu jahil tentang perbuatannya.
Sebagai muhasabah diri sendiri pula, kita patut malu pada diri
sendiri yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ilmu ini tetapi
masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.

Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya
disebut su' u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di
hati kita. Lebih parahnya, terkadang persangkaan kita tiada
mempunyai asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata
sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain,
lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati.
Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang
lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada
bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.

02. Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita
iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita
pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah
kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita.
Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada
sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami,
ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka,
mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak
menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya
menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan
pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"
(Surah as-Sajadah:15-16)

No comments:

Post a Comment