Thursday, July 14, 2011

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa.
Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan
yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan
harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya
jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi
kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju
majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan
ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai
keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai
kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang
kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari
bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi.
Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya
satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus
yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya
semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan
bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering
tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari
kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak
kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa
yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki,
jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa
yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki;
walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-
matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula)
pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh
Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang
demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa
yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira
terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak
menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."
(Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

No comments:

Post a Comment