BERMULA daripada isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang
kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan
dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang
haram dan sumbangannya kepada pembangunan awam serta
fakir dan miskin.
Walaupun isu itu sudah padam dan tenggelam, masih ada
kekeliruan belum terjawab, akibatnya mungkin ada yang
berkata: “Jika harus diberikan wang haram itu kepada
fakir miskin, bolehlah kita teruskan aktiviti haram
itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan.
“Kerana hukumnya harus, mana-mana kerajaan pun yang
naik selepas ini masih boleh membiarkan aktiviti haram.
“Oo... bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada
pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka
lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat
daripada harta mereka untuk membiayai fakir miskin dan
pembangunan negara.” Itu mungkin persoalan yang
terdetik dalam diri pembaca apabila melihat situasi
yang berlaku dan jika itulah kefahaman selepas membaca
hujah ulama mazhab yang silam dan kontemporari, mereka
sebenarnya sungguh terkeliru.
Yang sangat perlu difahami adalah, konteks sebenar yang
disebut ulama mesti difahami dengan tepat. Mereka semua
memberikan fatwa itu ketika mengulas ‘ke manakah perlu
disalurkan hasil harta-harta haram yang berada di dalam
pemilikan individu’. Konteksnya adalah, jika seseorang
itu memperoleh wang haram sama ada daripada hasil judi,
perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat,
ke manakah ia patut disalurkan.
Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar dan dibuang debunya
ke dalam sungai atau lautan? Ulama hampir sepakat
mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa
memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah
dengan pelbagai dalil, Maqasid Syariah dan logik akal.
Ini kerana dosa perolehan harta haram itu bersifat hukmi
dan bukan ‘aini (jisim).
Berbeza jika sekiranya barang dimiliki itu adalah haram
pada ‘ain’ dan zatnya seperti sebotol berisi arak,
semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak
sembelih untuk makan tengah hari dan yang sepertinya.
Ketika itu, baru hukumnya wajib melupuskannya dengan cara
buang serta diharamkan untuk diberi kepada sesiapa juga,
termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun
kepada orang bukan Islam.
Haram Secara Hukmi
Manakala harta haram secara hukmi (menurut hukum kerana
caranya bercanggah dengan syariah seperti judi, rasuah,
rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah
haram digunakan untuk dirinya dan keluarganya.
Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada
kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada fakir
dan miskin. Itulah konteksnya.
Setiap hasil cukai dan pendapatan daripada hasil yang
haram, pemerintah yang bertanggungjawab mesti menyalurkannya
kepada fakir, miskin dan kemaslahatan awam menurut nilai
jumlah pendapatan itu. Ini kerana harta haram itu, jika
terus dibiar berada dalam pemilikan individu, bakal merosak
keberkatan kehidupannya dan rezekinya.
Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada
hasil haram tanpa justifikasi betul daripada sudut hukum
syariah akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan,
dosa dan balasan azab di akhirat.
Justifikasi dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan
pimpinan Islam dibenar meluluskan sesuatu yang diterima
agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat
itu dan tidak membabitkan penduduk beragama Islam.
Pada masa sama kerajaan dibenar mengutip cukai hasil
pemberian lesen itu.
Contohnya, dalam sesetengah agama, arak dibenarkan, justeru
pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru
ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan
pembukaan kedai arak khusus untuk penganut agama terbabit
saja. Itulah namanya siasah syariyyah. Demikian statusnya
dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agama
mereka membenarkan, kerajaan Islam mesti membenarkan
pembukaan kedai jual babi, penternakan babi dan gerai
menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon penganut
agama yang membenarkan tetapi secara terhad dan berhati-hati.
Pada masa sama juga, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa
daripada lesen dan perniagaan itu.
Yang Dipersetujui Haram
Namun begitu, perlu diingat tiada agama mengharuskan
pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudian.
Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan
pengambilan cukai daripadanya adalah haram. Apabila ia
masuk ke dalam pendapatan negara, keberkatan dalam negara
akan hilang, tatkala itu ia memerlukan proses pembersihan.
Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan
hukuman haram itu akan ditanggung pemerintah terbabit.
Justeru, dalam keadaan itu dosa terlekat di bahu pemerintah
jika dia Muslim.
Oleh itu, persoalannya bagaimana pula untuk menguruskan
wang berkenaan.
Wang daripada sumber haram boleh berganda haramnya jika
tidak disalurkan dengan betul.
Saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama adalah
kemaslahatan umum, fakir dan miskin. Golongan ini sentiasa
diharuskan oleh Islam untuk menerima wang daripada sebarang
hasil atas kapasiti mereka selaku fakir, miskin dan sangat
memerlukan.
Justeru, mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan
dan individu secara yang sah daripada sudut pandangan Islam.
Tiada syubahah untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram.
Sebarang momokan mengatakannya syubahah dan haram adalah
kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.
Menerusi penerangan itu mungkin ada pula yang akan bertanya,
jadi adakah digalakkan industri serta perniagaan yang jelas
haram ini.
Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit
silap memahami konteks.
Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi
bukan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan
meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba
dan sebagainya.
Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti tetapi
fatwa keharusan itu adalah satu pemberitahuan kaedah
pelupusan sumber wang haram yang diperoleh oleh individu
dan kerajaan bagi melepaskan bebanan haram yang ditanggung
oleh negara dan individu.
Kesimpulan
Dalam isu ini, jika terjadi pada peringkat individu, ahli
keluarga yang lain wajib menegur. Manakala di peringkat
kerajaan, sebagaimana diajar nabi, wajib pula bagi ahli
kepemimpinan lain atau penyokong mereka menegur. Jika
teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama
oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil,
antaranya hadis nabi.
Riwayat Muslim dan Ibn Majah menjelaskan bahawa: “Barang
siapa menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat
(dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa orang
yang mengikuti ajakan dan seruannya hinggalah hari kiamat,
tidak terkurang dosa itu walau sedikit.” Mungkin selepas
ini ada yang bertanya: “Ustaz sebelum ini sibuk mengajak
orang makan makanan dan harta halal tapi kali ini, adakah
ustaz ingin kumpulan fakir miskin memakan wang syubahah
dan haram?” Sebenarnya ini satu kekeliruan kerana saya
sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam daripada
syubahah dan haram sama ada daripada judi, riba, penipuan,
rasuah dan sepertinya.
Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami
dalam konteks yang salah.
Ini kerana kita menyentuh soal cara pelupusan wang haram
yang bertujuan membersihkan pemilikan harta haram sama
ada individu atau kerajaan.
Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.
Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubahah yang
dimiliki perlu disalurkan atau dipulangkan kepada mangsa
(jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui
pemilik asal, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat
awam, fakir dan miskin.
Bagaimana untuk bertaubat jika kemaslahatan awam, fakir
dan miskin juga tidak boleh menerima wang tersebut.
Adakah ingin dilemparkan ke dalam lautan atau dibakar.
Itu sebuah pembaziran yang tidak perlu sebagaimana telah
diterangkan di atas dan semua keterangan ini adalah
berdasarkan pandangan ulama mazhab kontemporari selain
mengajak kepada tatacara urusan wang secara halal dan tepat,
yakni menjauhi syubahah dan haram.
Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi
haram dan syubahah ke atas penerima sama ada yang termasuk
dalam golongan maslahat awam, fakir dan miskin. Harapnya,
persoalan ini mampu difahami dengan baik oleh semua pembaca.
No comments:
Post a Comment