Wednesday, November 3, 2010

Syaitan Sukar Gugat Mereka Beriman

HIDUP kita tidak sunyi daripada musuh dan antara musuh
yang sering kita lupa ialah syaitan.

Syaitan adalah musuh yang agak 'pelik' kerana mereka
tidak pernah berputus asa daripada rancangannya walaupun
sedetik, sebaliknya sentiasa mencari kesempatan untuk
menunaikan tugasnya.

Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita
tidak dapat melihatnya. Mereka cuba pelbagai cara bagi
memerangkap kita.

Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi.
Taktik dan perangkapnya mungkin berbeza kepada seseorang.
Taktik yang digunakan juga bergantung kepada masa, tempat
dan situasi.

Berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir,
syaitan bukanlah makhluk khayalan. Sebahagian daripada
ujian di atas muka bumi ini, seorang itu perlu berjaga-jaga
daripada syaitan.

Ini kerana selepas menderhaka kepada Allah, syaitan bersumpah
untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan ini
dinyatakan di dalam al-Quran sebagai perkara penting
untuk diingati.

Syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah. Mereka
diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya.
Syaitan juga hamba Allah dan hanya boleh melakukan sesuatu
dengan keizinan daripada Allah.

Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar
beriman daripada mereka yang tidak beriman. Mereka hanya boleh
bertindak dengan izin Allah.

Apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, dia akan dihumban
ke dalam neraka bersama mereka yang disesatkannya.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka
jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang
mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya."(Surah S�d ayat 85).

Oleh itu, ingatlah bahawa syaitan sebenarnya tidak mempunyai
kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang
dinyatakan di dalam ayat berikutnya, mereka hanya mempunyai
kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan
sebenarnya.

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan
bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang
baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan
menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau
yang mukhlis di antara mereka." (Surah al-Hijr ayat 39-40)

Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada
Allah. Memang benar, orang-orang yang beriman juga cenderung
melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak pernah putus asa
daripada mengharapkan rahmat daripada Allah, dan secepat
mungkin meminta perlindungan kepada Allah dan bertaubat
dengan seikhlasnya.

Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh
disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada
kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal
kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan)
hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin
dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.
(Surah an-Nahl ayat 99-100)
Ingatlah, syaitan mahu kita menjadi angkuh, sombong dan
derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan
kita melakukan kejahatan melakukan sesuatu yang dimurkai
Allah dan berkata sesuatu tentang Allah tanpa ilmu.

Syaitan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran
dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan
tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut:
"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari
apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu
adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu
hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan
terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui."
(Surah al-Baqarah ayat 168-169)

Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan
iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh
membuatkan manusia lupa hari kiamat.

Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah, dan tiada
siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah
kehendaki, orang ini hidup tanpa sebarang perasaan
bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan
kepada Allah.

Syaitan menjanjikan (menakut-nakut) kamu dengan kemiskinan
dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah
menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia.
Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah ayat 268)

Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah
menerangkan tentang tipu daya ini "...dari kejahatan
(bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan
(kejahatan) ke dalam dada manusia." (Surah an-Nas ayat 4-5).

Sebagaimana diterangkan oleh ayat itu, syaitan mendekati
manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan
perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan
yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka.

"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan
tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada
mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan
pun menampakkan kepada mereka bagus apa yang selalu mereka
kerjakan." (Surah al-An'am ayat 43)

Lebih penting lagi, mereka yang mempunyai hati yang keras
dan berasa dirinya berada di dalam kebenaran, walaupun
sebenarnya mereka terpesong, membawa diri mereka jauh
daripada Al-Quran.

Dengan membelakangi Allah, mereka lebih rapat dengan syaitan,
mengikuti caranya, dan menjadi semakin biadab.

No comments:

Post a Comment