Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita
dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk
beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan
sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan
rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang
saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam
perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak
terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk,
tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat
orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan
dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor
kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan
kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar
dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan
membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir:
Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat
oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak
datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita
mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang
seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan,
seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga.
Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan
kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani
kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga
kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar
kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali
selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan
kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat,
maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang
wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah
kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua
jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek,
kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan
perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di
samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus
langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring
di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan
kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya
terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan
walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita
bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah
adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita,
tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh
berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa
tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda
fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu
ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali
dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki
lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa
bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku
pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri
kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab
dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih
seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga
kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat
dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi
manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana
ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita,
kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki,
tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak
juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada
rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat
bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi,
bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk
dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat
kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia,
disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin
lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan
hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang
boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi
angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus
bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga
ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung,
sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua
diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment