PEMBENTUKAN bangsa yang kuat banyak bergantung pada
institusi keluarga yang kukuh dan tidak berpecah-belah.
Jika institusi keluarga semakin rapuh kekuatan bangsa
juga turut terancam. Kekuatan sesebuah keluarga mesti
diasaskan dengan rasa cinta dan kasih sayang antara
suami isteri serta hubungan keluarga yang mesra.
Institusi keluarga yang kukuh dan harmoni diasaskan
daripada kasih sayang, cinta dan keserasian yang akhirnya
disatukan melalui perkahwinan yang sah. Keluarga adalah
inti peradaban. Memiliki banyak keluarga menjadikan asas
kepada kekuatan bangsa dan keturunan.
Kejayaan sesuatu bangsa yang memiliki peradaban yang
cemerlang, asasnya adalah keluarga bahagia dan hidup
dalam kesejahteraan.
Islam sangat menitikberatkan asas pembentukan keluarga
bahagia dan cemerlang. Pembentukan ini bermula dengan
iman, akidah dan ketakwaan di kalangan pasangan suami
dan isteri.
Justeru, seorang ayah, ibu, anak dan ahli keluarga akan
hidup aman dalam sebuah rumah tangga bahagia. Jurai keturunan
keluarga akan menjadi bertambah kukuh apabila lahirnya
keturunan yang menjadi kesinambungan sesebuah keluarga.
Masalah sosial remaja pada masa kini salah satu puncanya
adalah keretakan dan perceraian di kalangan suami isteri.
Ibu bapa yang bercerai akan menyebabkan anak- anak menjadi
mangsa dan mencari jalan penyelesaian sendiri. Ibu atau
bapa yang bercerai tidak dapat lagi memainkan peranan ke
arah pendidikan anak-anak.
Banyak faktor menyebabkan keruntuhan institusi keluarga
atau perceraian masa kini. Antaranya, kewujudan orang
ketiga di kalangan pasangan, peningkatan kos hidup,
ramai kalangan isteri bekerja menyebabkan rumah tangga
terabai dan tiada rasa cinta serta persefahaman antara
suami isteri.
Kesan daripada perceraian ini, anak-anak yang meningkat
remaja akan mencari jalan penyelesaian sendiri dengan
meluahkan rasa hati kepada rakan sebaya. Apabila tersilap
pilih rakan sebaya bermasalah, mereka akhirnya terjebak
dengan mula mendampingi rokok diikuti penyalahgunaan dadah,
mengikut gaya hidup bebas dan terjebak dengan seks bebas
yang akhirnya merosakkan masa depan mereka.
Masyarakat sering menyalahkan remaja berkaitan masalah
sosial. Ada pihak mengatakan masalah itu timbul kerana
ibu bapa tidak memainkan peranan sebenar. Ibu bapa pula
sukar menerima hakikat bahawa mereka punca masalah yang
berlaku pada anak-anak dan keluarga.
Sebenarnya banyak faktor menentukan pertumbuhan fizikal
dan perkembangan mental kanak-kanak. Walau bagaimanapun,
peranan ibu bapa sangat penting, melebihi segala-galanya
dari segi membentuk akhlak anak- anak khususnya yang
sedang meningkat remaja.
Kajian menunjukkan anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun
mudah menerima didikan ibu bapa. Sementara kanak-kanak
yang mulai meningkat remaja iaitu mereka yang berusia 13
hingga 17 tahun mudah menerima pengaruh rakan sebaya.
Dalam proses pendidikan, ibu bapa masih memainkan peranan
penting mendidik anak-anak dan tidak membiarkan anak-anak
dipengaruhi rakan sebaya.
Bagi ibu bapa yang bercerai, proses pendidikan tidak dapat
dilakukan. Sering kali terjadi mereka akan menuntut hak
masing-masing di mahkamah yang menyebabkan hak anak terabai.
Pendidikan anak-anak juga tidak diberikan perhatian khususnya
berkaitan pendidikan agama, akhlak dan budi pekerti.
Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian pelajarannya merosot.
Asas kasih sayang sebenarnya bermula dengan belaian ibu bapa.
Anak-anak perlu disemai dengan sifat tanggungjawab. Mereka
juga perlu berdikari, dididik dengan sifat amanah dan
hormat-menghormati, membina maruah dan martabat diri,
membina budaya mencintai ilmu, menyuburkan sifat kreativiti,
belajar berjimat cermat, tidak membuang masa dengan sia-sia,
belajar menjaga keselamatan diri, dan mengetahui tentang
dunia teknologi maklumat.
Ini sesuai dengan saranan Sayidina Umar bin Khattab supaya
mendidik anak-anak mengikut zamannya. Sementara menurut
tokoh pendidik Khurshid Ahmad, jatuh bangun sesuatu umat
bergantung kepada pendidikan kerana jalan utama bagi
persiapan masa hadapan adalah pendidikan.
Apabila ibu bapa atau orang tua sudah tidak mampu menjaga
anak, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di
jalanan. Ini membawa maksud anak-anak yang terjebak dalam
pelbagai gejala sosial seperti terlibat dengan penagihan
dadah, seks bebas, pelacuran dan pembuangan bayi akhirnya
membebankan dan menjadi tanggungjawab negara.
Justeru, kerajaan sedar anak-anak itu fitrah, ibarat kain
putih. Langkah kerajaan melalui pembangunan modal insan
dengan memperuntukkan RM91 juta untuk pembangunan modal
insan bagi memperkasa pendidikan di peringkat kanak-kanak,
peringkat rendah dan menengah serta menjadikan hidup rakyat
lebih sejahtera adalah langkah awal bagi mengatasi masalah ini.
Selain itu, kerajaan juga akan membantu golongan muda yang
baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Melalui Skim Rumah Pertama melalui Cagamas akan menawarkan
jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi
harga rumah di bawah RM220,000. Skim ini adalah untuk pembeli
rumah pertama yang dijangka dapat mengurangkan bebanan
kewangan kepada keluarga yang baru mendirikan rumah tangga.
Langkah ini adalah usaha kerajaan yang dapat mengurangkan
bebanan suami isteri yang menghadapi tekanan berikutan
peningkatan kos hidup yang terpaksa ditanggung terutama
bagi mereka yang tinggal di bandar.
Kekuatan dan asas pembangunan keluarga bahagia dan seimbang
banyak terletak pada keimanan suami isteri dalam melayari
bahtera rumah tangga. Ini dijelaskan Nabi s.a.w. dalam
sabdanya: “Sesiapa yang menjamin untukku satu perkara,
aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia
bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarganya)
nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluaskan
rezekinya, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke
syurga yang dijanjikan-Nya.” (Riwayat Ar Rabii’)
Oleh itu, perbaiki hubungan baik di kalangan keluarga iaitu
antara suami isteri, anak-anak dan keluarga terdekat.
Hubungan baik dibina dengan kasih sayang dan tunaikan
tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak dengan
memberikan pendidikan akhlak, keimanan dan pendidikan
dunia dan akhirat.
Justeru, membesarkan anak bukan tugas mudah. Anak-anak adalah
penghias sesebuah rumah tangga. Tanggungjawab mendidik anak
adalah tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa mesti memahami
pertumbuhan emosi dan perkembangan fizikal anak-anak.
Ibu bapa juga mesti serba sedikit mempunyai ilmu dan
kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak pada zaman ini.
Natijahnya, pendidikan dan pembentukan akhlak anak- anak sangat
penting. Akhlak menjadi benteng kepada semua ancaman gejala
sosial di sekeliling mereka. Jika akhlak anak murni dan kukuh,
segala ancaman tidak akan dapat menggugat dan merosakkannya.
Peranan ibu bapa melebihi segala-galanya untuk membentuk akhlak
anak. Ibu bapa perlu menyayangi, memberi perhatian istimewa,
memantau siapa rakan sebaya anak-anak, menjauhi gejala sosial
dan sentiasa memberi bimbingan ke arah kebaikan di dunia
dan akhirat.
No comments:
Post a Comment