Friday, November 26, 2010

Umat Akhir Zaman Sia-siakan Solat

SOLAT Subuh hanya dua rakaat tetapi fadilat dan
ganjaran pahalanya amat besar.

Bagaimanapun, kita dapati dalam zaman mutakhir ini,
ramai umat Islam khususnya generasi muda sangat berat
untuk bangun melaksanakan solat Subuh.

Mengantuk, penat dan malas antara alasan yang sering
diberikan.

Sebenarnya, perintah melaksanakan solat Subuh sangat
ditekankan seperti ditegaskan Rasulullah s.a.w.

Kata Nabi: “Tiada solat yang paling berat bagi orang
munafik adalah Isyak dan Subuh.

Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat
Isyak dan Subuh dengan berjemaah, tentu mereka akan
mendatanginya sekalipun dengan merangkak.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini pernyataan cukup jelas kepada umat Islam supaya
mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.

Dilema generasi sekarang mahu bangun mengerjakan solat
Subuh di rumah pun amat berat, apatah lagi jika diajak
berjemaah di masjid.

Rasulullah juga ada mengatakan solat berjemaah bagi
solat Subuh dan Isyak diberi ganjaran pahala 27 kali
ganda berbanding solat bersendirian.

Namun, dalam situasi semasa yang kebanyakan manusia
begitu sibuk mencari kemewahan duniawi, kesedaran
untuk bersolat secara jemaah semakin hambar.

Masjid hanya akan penuh ketika solat Jumaat atau solat
Aidilfitri dan Aidiladha.

Bagaimana pada waktu Subuh dan Isyak? Adalah dua atau
tiga saf, kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

Di mana anak-anak muda kita? Masih berselimut jawapannya!
Berikut dipaparkan sebuah kisah yang menggambarkan
mukmin begitu menjaga solat berjemaah dan kisah ini
seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua.

Diriwayatkan bahawa Ubaidillah bin Umar Al-Qawariri,
iaitu guru kepada Imam Bukhari, Imam Muslim dan Abu Daud
menceritakan yang dia tidak pernah meninggalkan solat
Isyak berjemaah.

Katanya lagi: “Ditakdirkan Allah, pada suatu malam aku
didatangi tetamu sehingga membuatku terlewat untuk
menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid.

Sesudah tamuku pulang, aku bergegas ke masjid di sekitar
Basrah untuk meninjau kalau-kalau ada yang belum mengerjakan
solat Isyak berjemaah.

Namun, aku kecewa kerana semuanya telah selesai
mengerjakannya, malah pintu masjid pun sudah berkunci.

“Lantas aku pun pulang dengan perasaan hampa sambil dalam
perjalanan pulang aku teringat satu peringatan Rasulullah
yang berbunyi: “Sesungguhnya solat berjemaah itu 27 kali
ganda darjatnya jika dibandingkan dengan solat seorang diri.”
Kemudian sambung beliau lagi: “Sesampai di rumah, aku
mendirikan solat Isyak 27 kali, selepas itu barulah aku tidur.

Ketika tidur aku bermimpi melihat ada sekumpulan manusia
menaiki kuda, kemudian aku mengejar mereka dengan kudaku.

“Ketika saat hampir dengan kedudukan mereka, salah seorang
daripada mereka itu berkata: “Kamu tidak akan mampu
mengejar kami, sebab kami mengerjakan solat berjemaah
di masjid sedangkan kamu hanya bersendirian di rumah.”
Selepas mendengar kata-kata yang dilontarkan orang itu,
aku terjaga daripada tidur dan aku sangat susah hati.”
Inilah secebis kisah bagaimana orang terdahulu begitu
mengambil berat soal solat berjemaah.

Kita bagaimana? Adakah kita susah hati seandainya
tertinggal solat berjemaah? Saya pasti ramai tidak
berasa bersalah atau kecewa.

Sekarang mari kita baca dan renungkan kisah yang mungkin
akan memberikan impak positif kepada daya fikir agar
mendidik diri sentiasa mendirikan solat lebih-lebih
lagi secara berjemaah.

Dikatakan pada suatu ketika, malaikat Jibril a.s.

datang menemui Rasulullah sambil mengatakan: “Bacalah.”
Jawab Nabi: “Bacaan manakah yang mesti aku baca?”
Kemudian Jibril pun membaca ayat 59 Surah Maryam iaitu:
“Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang lebih
buruk, yang mensia-siakan solat dan menuruti hawa
nafsunya, hingga kelak mereka akan menemui kesesatan.”
Lantas Rasulullah bertanya: “Ya Jibril, adakah
sepeninggalanku nanti akan ada daripada kalangan
umatku yang mensia-siakan solat?” Jawab Jibril:
“Ya ada.

Pada akhir zaman nanti akan ada sekelompok manusia
daripada umatmu yang mensia-siakan solat, mengakhirkan
waktu dari waktu yang ditentukan dan memperturutkan
kehendak nafsunya.

Wang satu dinar baginya lebih berharga daripada solat.”
Subhanallah, memang benar ramalan Jibril itu.

Cuba kita perhatikan fenomena masa kini, sesetengah
umat Islam lebih sayangkan masa dengan menggembleng
tenaga untuk mengejar kebendaan duniawi.

Kita sudah pun berada dalam zaman yang diperkatakan
Jibril itu.

Kita boleh menilai kedudukan iman diri sendiri setakat
mana tebalnya dengan melihat apakah hati kita sentiasa
terpaut pada masjid bagi mengerjakan solat berjemaah.

Kita boleh juga jadikan kerajinan mengunjungi masjid atau
surau bagi menunaikan solat berjemaah sebagai kayu
pengukur kepadatan iman kita.

Mari kita jadikan firman Allah ini sebagai motivasi untuk
gagah ke masjid bersolat berjemaah.

Allah menegaskan: “Dirikanlah solat dari sesudah matahari
tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat)
Subuh.

Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”
(Maksud Surah Al-Isra’ ayat 78).

Inilah perintah Allah kepada kita semua agar sentiasa
mematuhi suruhan mendirikan solat dan lihatlah bagaimana
Allah mengkhususkan solat Subuh dengan memberikan pujian
yang lebih, iaitu solat Subuh itu disaksikan malaikat.

Semoga kita semua dibukakan pintu hati dan digagahi
semangat untuk solat berjemaah sama ada di masjid
ataupun surau.

Insya-Allah kita semua mampu melakukannya.

No comments:

Post a Comment