BAGAIMANA cara menghentikan ketagihan terhadap nafsu
dalam diri termasuk nafsu amarah, seks serta yang membawa
kepada kemungkaran buat selama-selamanya dan bagaimana
pula untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya.
Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa,
di mana kegagalan mengawal nafsu syahwat bagi majoriti
manusia adalah satu lumrah.
Bagaimanapun, dalam kehidupan ada segelintir yang mampu
mengekang nafsu mereka hasil ‘mujahadah’ atau usaha kuat
untuk menghindari, sekali gus menghentikannya. Namun,
ada kalanya mereka yang mampu mengawal juga tertewas.
Allah SWT menyebut perihal kegagalan manusia dalam
mengekang nafsu, sebagai contoh dalam surah Al-Baqarah,
ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada
malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu;
mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah
pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu
tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni
kamu dan memberi maaf kepadamu.”
Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat
nafsu syahwat kelaminnya hingga ‘bersama’ isterinya
di siang Ramadan.
Dengan segala kelemahan manusia, Allah SWT membenarkan
suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadan, namun
masih ada juga yang ‘terlepas’ melakukannya di siang hari,
oleh itu Islam menetapkan cara dendanya.
Kifarah adalah satu bentuk denda dan apabila seseorang
melakukan dosa, taubat adalah jalannya.
Allah SWT menegaskan bahawasanya: “Sesungguhnya nafsu itu
selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang
diberi Rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf, 53)
Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu
yang ada dalam diri. Ringkasnya, saya ingin mengingatkan
individu yang menulis soalan ini bahawa mengekang dan
melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan mudah.
Itulah sifat ‘peperiksaan’ yang diberi oleh Allah SWT bagi
‘menapis’ dan mengenal pasti hamba-Nya yang bersungguh-sungguh,
ikhlas dan beriman serta yang kurang dan tidak beriman.
Bagi yang berjaya, ganjarannya sudah tentu sangat hebat,
yakni di Syurga Allah SWT.
Justeru, kita tidak perlu mengeluh dan hairan dengan
ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya
dan mengawalnya.
Sebaliknya, yang perlu dilakukan adalah mengukuhkan azam
untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan,
tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk
bertindak.
Caranya, kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan
‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti,
potong dan hapuskan ia.
Selain itu, kita perlu tahu cara, suasana, tempat dan
berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita
kepada kebaikan dan lupakan syahwat.
Kesimpulannya, proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’
yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan
‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.
Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan,
sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh
fizikal.
Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada
sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran
mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada
menikmati juadah lazat.
Jadi jelas di sini, pantang larang ini perlu dilakukan
secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha).
Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini
akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan
permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.
Ini sama bagi mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’, di mana
setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan
itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan
bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan
(suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh
Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada
Rasulullah SAW.
Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal ghaib,
namun bukan itu saja, ada banyak pula implikasi buruk di
dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti,
ia mungkin membawa kepada perceraian, pasangan zina mengandung
anak luar nikah yang akhirnya boleh membawa kepada pembunuhan
terhadap anak luar nikah berkenaan bagi menutup aib, kejian
masyarakat atau dijangkiti penyakit kelamin seperti AIDS.
Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual
itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi
dapat ditangani.
Sehubungan itu, tentu proses pertama untuk mengekang
nafsu syahwat seks ‘gelap’ adalah dengan meningkatkan
ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan
fizikal, iaitu kesan buruknya.
Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal
sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.
Orang berilmu juga ramai yang menyeleweng?
Tidak dinafikan, ramai juga yang sudah punyai ilmu tetapi
masih ‘jatuh’ dan terlanjur melakukan maksiat sama ada
secara serius atau tidak, besar atau kecil.
Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh
Allah SWT di atas.
Berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha
mengukuh dan menyuburkan kembali keimanan lebih mudah
daripada individu yang tiada asas dan pasak kukuh.
Kerana itu, binalah pasak dalam diri mengenai iman dan
ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya,
perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.
Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan
di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta
tidak perlu dilakukan seperti:
•Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya.
Jauhkan pemikiran berkenaan seks dan penuhkan masa dengan
berusaha mencapai sasaran itu.
•Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang
dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.
•Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama
kita mencatat apa yang dilakukan.
•Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
•Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang
dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh
melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang,
e-mel, web dan sebagainya. Jika berseorangan di depan
komputer boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, elak
berseorangan di depan komputer.
Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama rakan
sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan
makan sendirian atau bersama jantina yang sama.
•Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan
jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong
maksiat.
•Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan
keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat
rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran
syahwat dapat dibendung.
•Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar
akibat pemikiran kepada kematian.
•Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca
peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran
di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan
timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera
berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan
ingatkan kebesaran Allah.
•Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana
sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih
kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih
berbahaya kepada kesihatan.
•Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali
(baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa
sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi
kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
•Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam
maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran,
bahawasanya: “dan bersegeralah kamu kepada keampunan
daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit
dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.”
No comments:
Post a Comment