Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T.
memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki
dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia
dan akhirat.
Di antaranya:
01.Menyempatkan diri beribadah
Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti
firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan
Aku tidak menutup kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]
02.Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di
depan Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih
dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa
dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.
"[Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim
dari Abdullah bin Abbas r.a]
03.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa.
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi S.A.W.:
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana
dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]
04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.
Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan
terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada
orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram."[Ar-Ra'd: 28]
05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda S.A.W. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya
dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya."[Riwayat Abu Ya'ala,
at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang
tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya."
[Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]
06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak
yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih
kecil. Sabda Nabi S.A.W.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan
kerana orang-orang lemah di kalangan kamu."[Riwayat Bukhari]
07.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan
rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda
Nabi S.A.W.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan
menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]
08.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-
cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan
kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki
dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
09. Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk
yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk
lain mengutuknya."
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti
harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah
amalan yang berkat.
11.Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan
ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.
"[Riwayat Bukhari]
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta
pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan
rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas)
nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." [Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid]
13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah
S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair
bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang
Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba
sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian
kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya.
Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T.
menyedikitkan baginya."[Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]
14.Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan
memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan
dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan
urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia
tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan
empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya."
[Riwayat al-Hakim dan Thabrani]
16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah
S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi
nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang
bersyukur." – [Ali Imran: 145]
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain
menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi
fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah,
dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129)
jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas
solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T.
melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.
Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki
jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah"
berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati
kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu,
ya Fattah ya 'Alim."
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T.,
penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian
dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta
kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah
S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri
kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu
Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab
yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak
mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim
lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan
yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia
sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat
dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan
Allah S.W.T. seperti firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah
S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]
Nabi S.A.W. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-
benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi
rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang."
[Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim
dari Umar bin al-Khattab r.a.]
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa
kepada takwa.
Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]
Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata
yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan
takwa.
Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah
S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment