Tuesday, May 24, 2011

Carilah Hatimu!

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan
kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-
kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan
keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur,
tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati–
mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih
bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak
rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa
dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa
yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu
keampunannya... kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada
harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu
pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan.
Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa
nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus
bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran
dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul
junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun
membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu
ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah
hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak
temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru
kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu...
Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur?
Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan
aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan
dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas,
takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan
teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu,
fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa
dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah,
kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa
dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah
manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan
bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk
menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran
umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih
fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna...
Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan
anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak
berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh.
Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu
olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti,
kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa
mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu
dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik
bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran.
Mereka yang begini sahaja mampu 'menukar' bangkai dunia menjadi
baja dalam kehidupan.


Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati.
Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar
sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.
Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia,
tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap
dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus
dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu
oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada
berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah... tidak mengapa sekiranya
engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah
menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan
hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan...
Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah
itu susah tapi indah!

No comments:

Post a Comment