Monday, May 30, 2011

Allah Ajarkan Kehebatan Ikhlas Kerana-Nya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ...
Terima kasih Ya Allah, saya demam hari ini : ) itulah perasaan
yang muncul bila saya demam bermula semalam.

Bermula lebih kurang jam 9 malam tadi, badan saya mula terasa
lemah, terpinga seketika kemana hilangnya tenaga yang cukup
banyak bila saya menyampaikan ceramah kepada sekumpulan jemaah
wanita di Surau Taman Permata pada jam 3 petang pada hari
yang sama.

Tiba-tiba tenaga itu semakin merosot dan hampir hilang semuanya
bila jam menunjukkan 12 tengah malam dan saya tidur dalam keadaan
yang begitu lemah.

Alhamdulillah pagi ini sebaik sahaja saya menunaikan solat subuh,
muncul dihati saya rasa syukur kerana saya demam. Sudah agak lama
juga saya tidak demam serta berharap di dalam hati agar ianya
dapat membersihkan dosa-dosa saya kepada Allah.

Seperti bagaimananya tenaga itu hilang, saya dapati ia kembali
sedikit demi sedikit pada pagi ini. Dengan sedikit kekuatan itu
saya menulis, insyaAllah. Alhamdulillah, itulah Allah ... yang
memberikan kita kekuatan dan pada bila-bila masa saja Dia boleh
mengambilnya kembali.

Saya pernah menulis tentang Ikhlas kerana Allah dan saya
diajarkan bahawa ikhlas kerana Allah ini adalah antara kunci
utama jalan menuju Allah, kunci penting di dalam turunnya
hidayah Allah yang akan membimbing kita insyaAllah.

Penulisan kali ini juga tentang ikhlas tetapi mungkin dari
perspektif yang agak berlainan.

Pada lebih kurang dua minggu yang lepas, DVD Pelatihan Solat
Khusyuk oleh Pak Ustaz Abu Sangkan telah pun siap dan diserahkan
kepada kami.

Masalahnya DVD yang diserahkan perlu dibungkus terlebih dahulu
dan diletakkan labelnya kerana syarikat yang membuatnya tidak
menyediakan perkhidmatan tersebut. Kami perlu menyiapkan
secepat mungkin untuk menghantar pesanan yang diterima sebelum
ini. DVD itu semuanya dihantar ke rumah saya.

Pada masa itu kerana saya agak sibuk dengan beberapa tugasan yang
lain, ingin saja saya menghantarnya kepada pembantu saya di
pejabat untuk menguruskannya. Saya melihatkan tugasan itu mudah
dan ringan. Kalau di pejabat saya dahulu, tugas-tugas seperti itu
diserahkan kepada pembantu tadbir kerana saya tidak sempat untuk
menguruskannya.

Namun, saya pelik kenapa dihati saya ketika itu begitu ingin
sekali menyiapkan kerja itu, walaupun saya tahu kerja itu ringan
dan mudah serta saya sedari saya mempunyai kerja-kerja yang lain
yang perlu disiapkan. Walaupun tidak ada alasan yang dapat saya
berikan, saya katakan pada diri saya, buatlah kerana Allah
walaupun kecil.

Jadi saya menghabiskan lebih kurang dua hari untuk menyiapkan label
dan membungkus DVD-DVD itu. Memandangkan masa yang agak panjang
yang akan digunakan, maka saya memasang DVD tersebut di hadapan
saya dan sambil bekerja saya mengulangkaji pelatihan solat khusyuk
itu melalui DVD itu.

Subhanallah, Alhamdulillah dan terima kasih Allah ... tiada yang
dapat saya ucapkan, saya diajarkan berzikir kepada Allah dengan
betul sehingga menimbulkan getaran di dalam jiwa sehingga
tersungkur dan menangis.

Sebelum ini di dalam usrah, kami sering membincangkan firman
Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut
nama Allah , gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (keranaNya)
dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Al-Anfaal: 2)

Kami sering berbincang kenapa hati tidak bergetar ketika
disebut nama Allah, adakah kita belum lagi boleh disebut orang-
orang yang beriman. Alhamdulillah saya sudah faham.

Kaedah berzikir dan mengingati Allahnya tidak betul, kesedarannya
tidak tepat. Lihat saja kesedaran kita ketika mengingati Allah
ketika bangun malam dan bertahajud sehingga dialirkan rasa
gementar, syukur dan mudah menangis.

Namum kesedaran itu jarang kita gunakan bila kita mengingati Allah
pada waktu-waktu yang lain terutamanya pada waktu siang.
Kesedaran yang total, ruhani kita aktif menuju Allah.

Saya sangat bersyukur diajarkan Allah perkara ini dan terus dapat
saya fahami betapa kerja-kerja yang dipandang remeh, ringan,
mudah dan kecil kalau dibuat kerana Allah begitu hebat
ganjarannya di sisi Allah, insyaAllah tersedia ampunan, rahmat
dan hidayah dari Allah. Saya bersyukur kerana membungkus DVD itu!

Antara pengajarannya yang ingin saya kongsikan di sini ialah :

(1) Jangan dipandang remeh sesuatu tugasan walaupun nampak kecil
dan ringan. Mungkin kerja yang kecil itulah membuka jalan kepada
ampunan dan rahmat Allah bila dilakukan dengan ikhlas.

(2) Semua pekerjaan adalah tugasan dari Allah walaupun kecil dan
nampak tidak penting di mata manusia. Biarlah kita seorang office
boy atau seorang kerani atau seorang pemandu, itu tugasan yang
Allah pilih untuk kita dan apabila kita lakukan dengan ikhlas,
ganjaran besar menanti kita di sisi Allah di dunia dan di akhirat.

(3) Komen yang saya dapat dari seorang rakan di facebook; apa saja
yang dilakukan kerana Allah, yang kecil jadi besar disisi-Nya.
Itulah kehebatan ikhlas kerana Allah.

Ayuh, jangan kita tunggu lagi... serahkan apa saja yang kita akan
lakukan kerana Allah. Tiada kepentingan diri, keluarga atau apa
saja.

Semuanya kerana Allah, insyaAllah kita nanti tinggal bersaksikan
hebatnya ganjaran yang menanti untuk orang-orang yang ikhlas
kerana-Nya. Semoga kita terpilih untuk tergolong di kalangan
orang-orang yang mukhlisin (orang-orang yang ikhlas).. amin..

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment