Friday, January 21, 2011

Sudahkah Kita Berfikir..???

Semua yang berlaku di sekeliling kita ada pengajarannya bagi
mereka yang boleh berfikir.

TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu
mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang
tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh
ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina,
Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan
tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang
betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu
dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat
menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih
hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih
lapar dan berfikir".

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan
sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada
kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan
Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan
oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran
malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan
dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal(berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan
kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana
mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir
cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah
memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya?
Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut
tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini
kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda
Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga
bentuk pemikiran:

1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai
dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan
kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur
kepada Allah.

3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya
tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan
amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui
di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang
dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan
Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya
memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya?
Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah,
rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung
dengan '1 fikrah', iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang
mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih tegar dalam hati mereka,
Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam
hati dan fikiran, sahabat bertanya:"Apakah itu penyakit
wahan?" Maka jawab baginda, "Cintakan dunia, takutkan mati".

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia
akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah
Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka
akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum
nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat
di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu
diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita
kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Faedah berfikir

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda:
"Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan
menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia
semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya)
tentang akhirat".

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan
membuat dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah
lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana
kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan
dihitung Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang
jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir
mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung
antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir
mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak
yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir,
semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat
akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan
impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan,
kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap
pencipta kita nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a,"Fikir itu cermin hati, dan
dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat
dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan
dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu
inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari
mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah.
Salam perubahan.

No comments:

Post a Comment