Thursday, January 27, 2011

Apabila Ibadah Hilang Manisnya

1 .Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik
ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu
yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih
luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu
dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan
Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya
mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku."

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat
membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup
ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa
sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada
solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala
kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah
butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila
bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh
untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang
hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon
rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu
mententeramkan, sepatutnya.

Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya
ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan
ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap
merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia
kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali
merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya.
Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan
bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?

Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang
sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap
nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita
bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat.
Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap
aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah,
Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk
khusyuk. Katanya, "It is very difficult for you to achieve
khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to
think and to achieve. What you have to do is keep trying".
Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah
we keep trying?

Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?

Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam
segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana
bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila
terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza
sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya
hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan
rasa manisnya ibadah.

Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak
mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya
adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti
dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana
tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat
hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis
yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa
sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang
belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana
tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.

Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat
ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan.
Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu
pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti
melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat.
Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang
menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali
melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi
hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di
tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap
tinggal berbekas.

Kembalikan Kemanisannya

Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum
nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan
mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita
akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling,
maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan
kita tersesat tak jumpa jalan kembali.

Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah
kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah
kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan
berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat
mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya
dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita
untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas
solat dalam sebuah hadith:

Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW
mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata:
"Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau.
" Muaz berkata: "Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah
dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi
engkau." Maka Rasullullah SAW berkata: "Aku berwasiat kepada kamu
janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk
mengatakan: "Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur
kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu".

( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i )

Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud
mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada
Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita
terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam
melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh
indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya.
Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:

اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

(Allahumma A'innii'Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni'Ibaadatika)

Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan
kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa
manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit
dosa yang terang mahupun sembunyi.

Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah
kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam
mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan
carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan
hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami,
benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.
Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang
berbuat baik."

(Al-'Ankabuut: 69)

"Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan
neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment