Tuesday, January 25, 2011

Manfaat Dari Musibah

"Benarkah penderitaan ada manfaatnya?", begitulah pertanyaan
seorang sahabat kepada saya.

"Ya, jelas sekali banyak sekali manfaatnya disebalik sesuatu
penderitaan," ringkas menjawab.

Saya kemudiannya cuba menjelaskan bahawa orang-orang yang hebat
adalah mereka yang mampu mengharungi samudera lautan
penderitaan biar pun kita tahu ianya dalam dan luas.
Semakin menderita hidup seseorang maka semakin hebat
cara hidupnya bagi mengatasi dan menghadapi penderitaan
yang dialaminya. Asal kita tahu bagaimana mengelola penderitaan
menjadi keindahan, kebahagiaan dan kesihatan dalam hidup kita.

Pertamanya, pengalaman menderita dalam hidup kita sebenarnya
mengajarkan kita kepada limpahan kasih sayang Allah SWT agar
kita semakin dekat dan taat kepada-Nya, dengan demikian limpahan
kasih sayang Allah akan memenuhi hati kita dan hati kita akan
memancarkan kasih sayang-Nya untuk semua orang yang disekeliling
kita. Allah menimpakan kita dengan ujian dan penderitaan kerana
Dia sayang akan hamba-Nya, agar diperingatkan pada kita bahawa
Allah-lah tempat mengadu.

Pernahkah kita fikir, jika kita tidak ditimpakan ujian, bagaimana
rasanya keadaan kita pada ketika ini? Mungkin leka dengan dunia
dan mungkin juga lupa akan pengaduan kita pada-Nya. Ujian adalah
peringatan buat diri yang bergelar hamba. Dengan dikurniakan
dugaan dan penderitaan, kita mungkin akan terlatih untuk menjadi
lebih sabar dan bijak dalam menghadapi kehidupan.

Keduanya, penderitaan yang kita rasakan, akan menjadikan
kebahagiaan kita menjadi lebih sempurna. Mungkin akan timbul
persoalan dikalangan sahabat sekalian, bagaimana mungkin
kebahagian boleh menjadi lebih sempurna? Kebahagiaan yang sejati
pada dasarnya adalah mengalami kegembiraan dan penderitaan
secara seimbang. Sunnatullah kewujudan kita di muka bumi ini
akan diuji dengan kesenangan mahupun kesusahan.

Bagaimana pula ujian kesenangan? Sebagai contoh, seorang
kaya yang mana hidupnya dikelilingi harta, ujiannya ialah
sentiasa merasakan tidak cukup dengan hartanya ataupun mungkin
merasa hidupnya sentiasa tidak selamat kerana takut dirompak
atau dicuri hartanya. Itulah realiti yang sememang perlu kita
akui. Keseimbangan ini akan mampu menjadikan hidup kita menjadi
lebih dinamik, sentiasa bersedia dan bersyukur ketika semuanya
datang silih berganti antara bahagia dan derita.

Ketiganya, penderitaan yang dialami kita akan membuatkan kita
semakin peka terhadap penderitaan orang lain. Kita secara tidak
langsung akan memiliki sifat simpati dan kasih serta menghormati
orang lain sebagai hamba Allah yang sama-sama dimuliakan. Malahan
sifat pentingkan diri juga akan dapat kita singkirkan jauh dari
diri kita. Kita tidak akan berani menghina, melecehkan, atau
mencemuh orang lain kerana kita merasakan betapa pahitnya sebuah
penderitaan. Seterusnya akan melahirkan insan yang bersifat dengan
sifat syukur dengan apa yang ada, tidak tamak, melebihkan orang
lain dan sebagainya lagi. Setiap ujian atau penderitaan akan
mematangkan kita tiap kali ia menjelma kerana kita akan cuba
mencari jalan penyelesaiannya.

Teringat suatu ungkapan yang pernah di sebut oleh Albert Ainstien,
"seratus masalah , tak bererti seratus kali gagal, tetapi ianya akan
menghasilkan seratus penyelesaian kepada seratus masalah."

Keempat, ketika hati kita remuk redam, ingin menangis menangislah
sesungguhnya apa yang kita rasakan sakitnya, dengan menangis
merupakan salah satu cara untuk membersihkan hati kita.
Menangislah kepada Allah agar diberikan kekuatan dan kesabaran
dalam menjalani hidup ini.

Firman Allah SWT: "Apa yang disisimu akan lenyap dan apa yang disisi
Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami memberikan balasan
kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari
apa yang telah mereka kerjakan." (QS. an- Nahl : 96).

No comments:

Post a Comment