Thursday, January 27, 2011

Apabila Ibadah Hilang Manisnya

1 .Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik
ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu
yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih
luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu
dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan
Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya
mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku."

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat
membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup
ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa
sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada
solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala
kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah
butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila
bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh
untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang
hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon
rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu
mententeramkan, sepatutnya.

Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya
ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan
ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap
merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia
kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali
merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya.
Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan
bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?

Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang
sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap
nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita
bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat.
Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap
aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah,
Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk
khusyuk. Katanya, "It is very difficult for you to achieve
khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to
think and to achieve. What you have to do is keep trying".
Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah
we keep trying?

Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?

Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam
segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana
bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila
terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza
sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya
hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan
rasa manisnya ibadah.

Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak
mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya
adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti
dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana
tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat
hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis
yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa
sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang
belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana
tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.

Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat
ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan.
Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu
pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti
melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat.
Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang
menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali
melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi
hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di
tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap
tinggal berbekas.

Kembalikan Kemanisannya

Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum
nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan
mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita
akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling,
maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan
kita tersesat tak jumpa jalan kembali.

Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah
kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah
kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan
berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat
mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya
dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita
untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas
solat dalam sebuah hadith:

Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW
mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata:
"Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau.
" Muaz berkata: "Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah
dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi
engkau." Maka Rasullullah SAW berkata: "Aku berwasiat kepada kamu
janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk
mengatakan: "Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur
kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu".

( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i )

Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud
mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada
Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita
terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam
melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh
indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya.
Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:

اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

(Allahumma A'innii'Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni'Ibaadatika)

Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan
kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa
manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit
dosa yang terang mahupun sembunyi.

Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah
kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam
mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan
carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan
hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami,
benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.
Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang
berbuat baik."

(Al-'Ankabuut: 69)

"Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan
neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday, January 25, 2011

Manfaat Dari Musibah

"Benarkah penderitaan ada manfaatnya?", begitulah pertanyaan
seorang sahabat kepada saya.

"Ya, jelas sekali banyak sekali manfaatnya disebalik sesuatu
penderitaan," ringkas menjawab.

Saya kemudiannya cuba menjelaskan bahawa orang-orang yang hebat
adalah mereka yang mampu mengharungi samudera lautan
penderitaan biar pun kita tahu ianya dalam dan luas.
Semakin menderita hidup seseorang maka semakin hebat
cara hidupnya bagi mengatasi dan menghadapi penderitaan
yang dialaminya. Asal kita tahu bagaimana mengelola penderitaan
menjadi keindahan, kebahagiaan dan kesihatan dalam hidup kita.

Pertamanya, pengalaman menderita dalam hidup kita sebenarnya
mengajarkan kita kepada limpahan kasih sayang Allah SWT agar
kita semakin dekat dan taat kepada-Nya, dengan demikian limpahan
kasih sayang Allah akan memenuhi hati kita dan hati kita akan
memancarkan kasih sayang-Nya untuk semua orang yang disekeliling
kita. Allah menimpakan kita dengan ujian dan penderitaan kerana
Dia sayang akan hamba-Nya, agar diperingatkan pada kita bahawa
Allah-lah tempat mengadu.

Pernahkah kita fikir, jika kita tidak ditimpakan ujian, bagaimana
rasanya keadaan kita pada ketika ini? Mungkin leka dengan dunia
dan mungkin juga lupa akan pengaduan kita pada-Nya. Ujian adalah
peringatan buat diri yang bergelar hamba. Dengan dikurniakan
dugaan dan penderitaan, kita mungkin akan terlatih untuk menjadi
lebih sabar dan bijak dalam menghadapi kehidupan.

Keduanya, penderitaan yang kita rasakan, akan menjadikan
kebahagiaan kita menjadi lebih sempurna. Mungkin akan timbul
persoalan dikalangan sahabat sekalian, bagaimana mungkin
kebahagian boleh menjadi lebih sempurna? Kebahagiaan yang sejati
pada dasarnya adalah mengalami kegembiraan dan penderitaan
secara seimbang. Sunnatullah kewujudan kita di muka bumi ini
akan diuji dengan kesenangan mahupun kesusahan.

Bagaimana pula ujian kesenangan? Sebagai contoh, seorang
kaya yang mana hidupnya dikelilingi harta, ujiannya ialah
sentiasa merasakan tidak cukup dengan hartanya ataupun mungkin
merasa hidupnya sentiasa tidak selamat kerana takut dirompak
atau dicuri hartanya. Itulah realiti yang sememang perlu kita
akui. Keseimbangan ini akan mampu menjadikan hidup kita menjadi
lebih dinamik, sentiasa bersedia dan bersyukur ketika semuanya
datang silih berganti antara bahagia dan derita.

Ketiganya, penderitaan yang dialami kita akan membuatkan kita
semakin peka terhadap penderitaan orang lain. Kita secara tidak
langsung akan memiliki sifat simpati dan kasih serta menghormati
orang lain sebagai hamba Allah yang sama-sama dimuliakan. Malahan
sifat pentingkan diri juga akan dapat kita singkirkan jauh dari
diri kita. Kita tidak akan berani menghina, melecehkan, atau
mencemuh orang lain kerana kita merasakan betapa pahitnya sebuah
penderitaan. Seterusnya akan melahirkan insan yang bersifat dengan
sifat syukur dengan apa yang ada, tidak tamak, melebihkan orang
lain dan sebagainya lagi. Setiap ujian atau penderitaan akan
mematangkan kita tiap kali ia menjelma kerana kita akan cuba
mencari jalan penyelesaiannya.

Teringat suatu ungkapan yang pernah di sebut oleh Albert Ainstien,
"seratus masalah , tak bererti seratus kali gagal, tetapi ianya akan
menghasilkan seratus penyelesaian kepada seratus masalah."

Keempat, ketika hati kita remuk redam, ingin menangis menangislah
sesungguhnya apa yang kita rasakan sakitnya, dengan menangis
merupakan salah satu cara untuk membersihkan hati kita.
Menangislah kepada Allah agar diberikan kekuatan dan kesabaran
dalam menjalani hidup ini.

Firman Allah SWT: "Apa yang disisimu akan lenyap dan apa yang disisi
Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami memberikan balasan
kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari
apa yang telah mereka kerjakan." (QS. an- Nahl : 96).

Friday, January 21, 2011

Sudahkah Kita Berfikir..???

Semua yang berlaku di sekeliling kita ada pengajarannya bagi
mereka yang boleh berfikir.

TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu
mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang
tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh
ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina,
Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan
tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang
betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu
dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat
menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih
hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih
lapar dan berfikir".

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan
sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada
kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan
Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan
oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran
malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan
dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal(berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan
kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana
mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir
cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah
memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya?
Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut
tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini
kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda
Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga
bentuk pemikiran:

1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai
dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan
kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur
kepada Allah.

3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya
tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan
amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui
di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang
dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan
Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya
memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya?
Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah,
rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung
dengan '1 fikrah', iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang
mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih tegar dalam hati mereka,
Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam
hati dan fikiran, sahabat bertanya:"Apakah itu penyakit
wahan?" Maka jawab baginda, "Cintakan dunia, takutkan mati".

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia
akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah
Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka
akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum
nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat
di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu
diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita
kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Faedah berfikir

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda:
"Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan
menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia
semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya)
tentang akhirat".

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan
membuat dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah
lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana
kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan
dihitung Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang
jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir
mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung
antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir
mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak
yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir,
semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat
akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan
impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan,
kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap
pencipta kita nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a,"Fikir itu cermin hati, dan
dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat
dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan
dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu
inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari
mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah.
Salam perubahan.

Gejala Bunuh Diri..

MENGAMBIL nyawa sendiri atau bunuh diri adalah tindakan yang
salah dalam agama Islam dan juga agama-agama lain. Masalah
remaja bunuh diri adalah gejala yang berlaku dalam masyarakat
kita tetapi sukar difahami mengapa. Angkanya meningkat tetapi
tidak pula dikongsi.

Untuk mencegah gejala ini dalam kalangan remaja, kita perlu
memahami pengaruhnya dalam tingkah laku remaja yang ingin
bunuh diri yang mungkin terdiri daripada kehidupan keluarga
dalam kepesatan budaya teknologikal, perasaan disisihkan
daripada tanggungjawab dewasa, atau ketiadaan kemahiran
mengurus hubungan interpersonal. Ini antara sebab yang
menyumbang kepada gejala ini.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), gejala bunuh
diri adalah punca kematian yang ketiga tertinggi dalam kalangan
remaja. Ia dijangka meningkat jika tidak dibendung awal.

Negara seperti Jepun turut mengalami fenomena ini terutama
kalangan remaja mereka. Malah, tidak mustahil akan berlaku
di Malaysia dan sudah pun ada tetapi masih kecil bilangannya.

Adakah amalan agama yang cetek yang mendorong remaja Islam
kita terjebak dalam gejala bunuh diri ini?

Faktor dan ciri-ciri

Kebanyakan remaja daripada budaya dan agama mana pun suka
kepada kehidupan mereka, rasa gembira sepanjang masa dan
gemar membina jaringan sosial. Mereka mempunyai fikiran
positif mengenai perkembangan dan masa depan.

Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan
diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan.

Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses keremajaan
dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan.

Mereka datang daripada keluarga bermasalah, masalah kemiskinan,
tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan
personaliti kendiri.

Interpersonal, Keluarga dan Ciri Psikososial

# Kehilangan dan perpisahan Remaja yang terlibat dalam gejala
ini lebih cenderung mengalami kehilangan ibu atau bapa atau
kedua-duanya akibat perpisahan, penceraian atau kematian.

Sesetengah mereka juga mengalami pengalaman dalam putus
persahabatan atau percintaan. Dalam kesedihan ini, sangat
perlukan kekuatan dan kemahiran menangani merupakan salah
satu keperluan dalaman.

# Keluarga Bermasalah dan Masalah Keluarga Kebanyakan remaja
yang terjebak dalam gejala ini datang daripada keluarga
bermasalah atau mempunyai masalah keluarga.

Sesetengah ibu bapa tidak mempunyai kemahiran keibubapaan,
komunikasi, dan disiplin. Hubungan keluarga yang bercirikan
kemarahan, tidak stabil emosi dan ketidakterimaan juga boleh
menyebabkan tingkah laku merosakkan diri remaja itu sendiri.

# Kurang Kemahiran Komunikasi Kanak-kanak yang membesar dalam
keluarga yang bermasalah biasanya datang daripada sistem
keluarga yang mempunyai kelemahan dalam kemahiran berkomunikasi.

Kanak-kanak yang tidak diberi peluang dalam keluarga untuk
berkomunikasi atau meluahkan perasaan biasanya akan menyimpan
perasaan dan apabila tidak dapat dikawal atau dipikulnya akan
membawa kepada ketegangan dan bebanan sehingga menjadikan
tingkah laku yang kurang menyenangkan.

# Pencapaian Akademik Kegagalan dalam mencapai keputusan
akademik yang baik dan yang diharap boleh membawa kepada
gejala bunuh diri.

Akibat ketakutan atau ketidakpuasan hati dan tekanan yang tinggi
dengan keputusan telah banyak meragut nyawa kalangan remaja.

Sesetengah remaja yang sentiasa menjadi harapan keluarga atau
sekolah tiba-tiba keputusan yang diperolehi tidak seperti yang
diharapkan akan mengambil keputusan yang tidak matang dengan
mengambil nyawa sendiri akibat gagal memenuhi harapan tinggi
mereka.

# Pandangan worldview Kesan daripada bunuh diri berkluster
kadang-kadang membuatkan remaja meniru-meniru gejala ini
seperti melihat di Internet atau filem yang merasionalkan
tindakan dan keputusan ini.

Atau setengah kefahaman global seperti peperangan, keganasan,
ancaman penyakit, jenayah dan kebuluran yang menimpa dunia
boleh memberi kesan kepada pemikiran remaja dan dengan tidak
dapat mengawal perasaan, kesedihan, kebencian maka
kadang-kadang mereka mengambil keputusan sendiri dengan
menamatkan riwayat mereka.

Ciri Psikologikal

# Kemurungan Faktor kemurungan adalah penyumbang utama dalam
gejala bunuh diri dan juga cubaan bunuh diri. Selain itu,
remaja yang merasakan dirinya 'tidak berguna' juga merupakan
penunjuk kepada gejala bunuh diri.

# Impulsiviti dan suka kepada cabaran Impulsitiviti merupakan
satu tindakan yang meluru dan mengikut gerak hati tanpa berfikir.
Madang-kadang desakan dan cabaran dari rakan sebaya dan juga
tertarik dengan cara gaya suka kepada cabaran telah menyumbang
kepada bunuh diri.

# Kesunyian Kesunyian dan kepinggiran juga antara yang boleh
menyumbang kepada gejala bunuh diri kalangan remaja. Kebiasaan
remaja ini tidak mempunyai ramai kawan dan suka menjauhkan
diri dalam kontak sosial dan aktiviti.

Remaja ini mempunyai masalah bergaul sejak kecil lagi dan amat
sensitif dan sekiranya mempunyai masalah dan tidak dapat
mengawalnya maka ia boleh membawa kepada cetusan idea membunuh diri.

# Corak Pemikiran Berfikiran yang salah dan kepercayaan yang
tidak rasional yang mempunyai kaitan dengan kemurungan dan
penghargaan kendiri yang rendah boleh menyebabkan remaja
bertindak mengambil nyawanya sendiri.

Sekiranya pemikiran yang salah ini dapat dibendung atau
dibetulkan sejak awal lagi kemungkinan dapat membantu. Antara
corak pemikiran yang biasa ada pada remaja yang ingin membunuh
diri ádalah seperti:

Ketidakupayaan melihat pilihan dalam penyelesaian masalah,
cara yang rigid dalam melihat dan bertindak menangani masalah,
dan tidak berupaya melihat setiap masalah dan menganggap
semua masalah sukar ditangani dan tiada jalan penyelesaian.

i: Salah Anggapan Terhadap Bunuh Dirii: Orang yang pernah mencuba
bunuh diri akan sentiasa ingin membunuh diri

ii: Setelah krisis bunuh diri dapat diselesaikan remaja
berkenaan sudah tidak dalam berisiko untuk membunuh diri

iii: Remaja yang bunuh diri akan meninggalkan nota

iv: Bunuh diri berlaku tanpa amaran

Remaja yang bercakap mengenai bunuh diri tidak akan melakukannya

v: Bunuh diri banyak berlaku di kalangan pendapatan rendah

vi: Remaja yang cuba membunuh diri adalah kurang siuman dan
kemurungan

1. Tanda dan Amaran Bunuh DiriPerubahan Tingkah LakunMod yang
tidak stabil

2. Perubahan dari gembira dan interaktif yang positif kepada
menarik diri dan negatif

3. Kurang aktiviti atau mengabaikan hobi/kegemaran yang pada satu
ketika dulu menjadi kesukaan

4. Perubahan pada corak tidur dan makan (kurang selera makan
dan insomnia

5. Pengambilan dadah atau minuman keras

6. Mesej LisannHidup sudah tidak berguna lagi

7. Semua orang sudah tidak sayang pada dia

8. Saya sudah bosan dengan kehidupan ini

9. Saya berdoa cepat mati

10. Cuma satu cara sahaja untuk selesaikan masalah - Mati

11. Semua orang akan menyesal lepas aku dah tidak ada lagi

12. Saya dah tak lama lagi hidup

13. Bagaimana dengan kehidupan lepas mati?

14. Kemurungan Mengalami tekanan

Kesimpulan

Gejala bunuh diri yang banyak berlaku adalah akibat kesan
persekitaran dan juga faktor psikologi remaja itu sendiri,
bukannya daripada kaum dan agama lain. Ia berlaku pada remaja
Islam kita sendiri.

Keluarga yang bermasalah banyak menyumbang kepada masalah
'tidak menjadinya' anak muda kita, selain kurang berkomunikasi
dengan anak juga melebarkan lagi jurang kasih sayang dalam keluarga.

Didikan agama sentiasa diutamakan dalam membina akhlak dan
sahsiah anak. Dengan itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh
akhlak yang baik kepada anak-anak.

Hentikan Mengumpat..

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat
atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya
golongan wanita cukup suka mengumpat.

Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan
paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga
atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin
bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa
mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang
melakukan fitnah.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti
mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah
apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu
perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan
seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak
sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara
sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak
akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar
bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang
yang diumpatkan.

Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa
itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada
mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina.
Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat,
Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang
melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum
diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya
dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak
dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah
perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan
diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.
Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan
keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman
dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya!
Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu
mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang
mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip
keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada
dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari
akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai
perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan
mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan
seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak
tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang
terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang
tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah
datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah
melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan
(pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi
untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang
diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah
dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib
berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu
perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri
daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita
melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang
sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan
sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.