Thursday, August 18, 2011

Sejarah Malam Lailatul Qadar : Janggut Lebih Keras Daripada Besi

Wujudnya Lailatul Qadar apabila Rasulullah berdoa kepada Allah
setelah melihat kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang
sentiasa menghunuskan pedang (berperang) membela agama Allah
selama 1000 bulan (lebih kurang 83 tahun). Disebabkan terpegun
akan kehebatan lelaki itu lalu baginda berdoa :

"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan
lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit, tetapi ganjarannya
besar."

Kemudian Allah memakbulkan doa baginda dengan memberikan Lailatul
Qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana jika seseorang
menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari
lelaki Bani Israil yang berjihad selama 1000 bulan itu.


Siapakah lelaki Bani Israil itu?

Dikatakan bahawa nama lelaki itu ialah Syam'un, berperang dengan
musuh selama 1000 bulan, tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya
dan sememangnya orang-orang kafir gerun untuk menghadapinya.
Sehinggalah tiba satu pengkhianatan dari isteri beliau apabila
ditawarkan oleh orang kafir sebuah bejana yang dipenuhi dengan
emas jika berjaya mengikat suaminya itu.

Pada satu malam, niat isterinya yang khianat itu untuk mengikat
suaminya dengan tali berjaya dilaksanakan. Namun, ketika Sya'mun
sedar daripada tidur dan menggerakkan badannya semua tali itu
putus dengan mudah.

Lalu beliau bertanya kepada isterinya : "Mengapa kau berbuat
sedemikian?"

Lalu isterinya yang jahat itu menjawab: "Aku hanya ingin menguji
kekuatanmu sahaja."

Isterinya menceritakan hal itu kepada orang-orang kafir. Segeralah
mereka memberi rantai besi kepada isteri yang jahat itu untuk
mengikatnya sekali lagi. Namun, ikatan besi pada badan Syam'un
diputuskan dengan amat mudah sahaja. Apabila isteri beliau ditanya,
dijawabnya jawapan yang sama.

Lalu menyamarlah Iblis sebagai manusia dan mendatangi orang-orang
kafir dan isteri Syam'un yang sedang melaporkan gerak kerja yang
gagal tersebut. Maka Iblis tersebut memberi cadangan agar isteri
Syam'un bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu
mengikatnya. "Helaian rambut yang tumbuh di dagu ku ini," jawab
Syam'un dengan jujur kepada isterinya apabila ditanya.

Memang tidak dinafikan bahawa Syam'un mempunyai lapan helai
janggut yang amat panjang hingga ke tanah. Ketika beliau tidur,
si isteri mengikat kaki dan tangannya dengan kelapan-lapan
janggutnya tersebut. Kemudian orang-orang kafir membawanya ke
tempat penyeksaan dan penyembelihan yang amat luas dan tingginya
400 hasta dengan satu tiang. Maka bermulalah penyeksaan mereka
dengan memotong kedua telinganya dan bibirnya.

Kemudian Syam'un memohon kepada Allah S.W.T agar memberinya
kekuatan untuk memutuskan ikatan dan dapat merobohkan tempat
penyeksaan tersebut. Allah mengkabulkan doanya dengan berjayanya
Syam'un melepaskan diri dari ikatan itu dan berjaya merobohkan
tempat itu dengan menolak tiang yang membuatkan tempat itu tidak
stabil lalu runtuh menghempap semua orang kafir kecuali Syam'un
sahaja yang terselamat.

[Kisah ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas]

Akhir kalam, adakah saudara tahu sejarah ini? Malulah kita
beribadah kepada Allah tanpa mengetahui sejarahnya. Seperti
ibadah solat, kita tahu sejarah baginda mendapat perintah solat
pada malam Isra' Mikraj yang asalnya 50 waktu ditukar kepada
lima. Semoga dengan tahunya sejarah Lailatul Qadar membuatkan
kita bersungguh-sungguh untuk mencari malam yang lebih baik dari
1000 bulan tersebut.

Kisah ini diambil dari kitab Mukashafah al-Qulub (Penenang Jiwa)
bab 103 karangan Imam al-Ghazali.

No comments:

Post a Comment