Tuesday, August 23, 2011

Tanda -Tanda Malam Al-Qadar

Kata orang lihat pada sebelah paginya : tidak sejuk, tidak
panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air
yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar
biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain.

Rasa rugi kalau terlepas!" Memang rasa kesal akibat terlepas
peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik.
Tetapi jangan terikat dengan al-Qadar, hingga semangat
beribadat luntur akibat terlepasnya. " Jadilah hamba Allah
sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan
suasana. Jangan jadi "hamba" malam al-Qadar yang beribadah
hanya pada malam itu sahaja."

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat
al-Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada
di luar diri. Sedangkan tanda mendapat al-Qadar itu ada pada
diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam
al-Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya
"diangkat" oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi,
jika seseorang mendapat al-Qadar tentu jiwanya lebih tenang,
akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada
habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.

Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak
kita selepas "malam tadi" (malam yang dirasakan malam al-Qadar)
apakah sudah berubah, terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan
dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya, kita
telah mendapat malam al-Qadar. Bagaimana pula dengan sifat
mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta
dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat
mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali?
Jika jawapannya ya, ya, malam al-Qadar sudah menjadi milik kita!

Malam al-Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit
dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat
yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar.
Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah
yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat
Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan
dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah "bertamu dalam hati" orang Islam yang
bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan.
Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah
malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil
tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan
seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat)
akan mengatasi bisikan kejahatan (dari Syaitan) dalam hati
orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan.
Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan
"hati besar" yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa
berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah
rebutan antara Malaikat dan Syaitan. Antara ilham dan was was.
Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan
terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya".

Orang yang mendapat malam al-Qadar sungguh bertuah. Hasil
mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus
bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati
kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya
akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin
dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan,
maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan
percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam al-Qadar. Orang
lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai
oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan
sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara.
Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah,
dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah.
Dan itulah tanda-tanda malam al-Qadar tahun itu yang paling
ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada
diri manusia makhluk yang paling sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal.
Tidak kiralah sama ada al-Qadar telah berlalu atau masih
menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi
kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam
ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila?
Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah,
setiap malam adalah malam al-Qadar. Al-Qadar boleh datang,
boleh pergi, tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila.
Semoga kita mati, setelah bertemu malam al-Qadar ini 1430 h)
atau dalam perjalanan menuju malam al-Qadar nanti.

Persediaan menenemuinya bukan dibuat semalaman, seharian,
mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah
persediaan untuk "menemuinya". Mengapa? Kerana perjuangan
membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun
Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!

"Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk
mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina,
yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah
aku, kesihanilah aku, sayangilah aku. Jangan KAU pinggirkan
aku wahai Rahman, wahai Rahim."

No comments:

Post a Comment