"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?"
Lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak
pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak
pernah sepi daripada merasakan kerisauan.
Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati
padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling.
Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia?
Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.
Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit
jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu
hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung.
Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.
Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang.
Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali
meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada
lelaki tua tersebut.
Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua
itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke
suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil
membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki
itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.
"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.
"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah
sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam
kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian
lelaki tua itu berkata lagi.
"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung
yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan
di dahi lelaki tersebut.
" Masin!"
Lelaki tua itu tersenyum lagi.
"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke
dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."
Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi
lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok
dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.
"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.
"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu
menjawab sambil mengelap mulut.
"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu
berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil
memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu
hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu
lelaki tersebut.
"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah.
Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita.
Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji
dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan,
maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya
hati kita dan keluh kesahnya kita."
"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak
akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab
kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan
kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk
kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi
hikmah kepada kita."
"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada,
aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh
berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh
memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali
membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku
tidak mampu menanggung diriku sendiri."
Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman
yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan
sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.
No comments:
Post a Comment