SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat
atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya
golongan wanita cukup suka mengumpat.
Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan
paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga
atau hal peribadi seseorang.
Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin
bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa
mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang
melakukan fitnah.
Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti
mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah
apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu
perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan
seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak
sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara
sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak
akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar
bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang
yang diumpatkan.
Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa
itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada
mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina.
Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat,
Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang
melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum
diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya
dan Ibnu Hibban)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak
dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah
perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan
diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.
Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan
keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman
dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya!
Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu
mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang
mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip
keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada
dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari
akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai
perbuatan menghapuskan pahala.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan
mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan
seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak
tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang
terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang
tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah
datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah
melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan
(pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi
untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang
diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah
dikatakan orang muflis di akhirat kelak.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib
berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu
perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri
daripada mengumpat.
Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita
melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang
sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.
Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan
sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment