
Firman Allah dalam surah al-Zariyat
ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Justeru, jin adalah seumpama manusia dari
sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin
golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya.
Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat
11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang
yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah
kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang
diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27
bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang
sangat panas.”
Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat
50, bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman
kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud
melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka
terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan
Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi
pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala syaitan pula adalah golongan
yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah
al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap
Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya
membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang
indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu
menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah
mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan
dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam
Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh
itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba
menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri
kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.
Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan
‘mafia’ yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang
lain. Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam
sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari
syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.
Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat
16-17 bermaksud: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan)
menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil
tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak
akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. Menurut Ibn Qayyim maksud
“jalan yang lurus” di dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang
membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud:
Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang
dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang.
Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia
melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya
dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan
maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya“.
Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan
dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat
al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi
habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan
yang ada padanya.
Maka jelaskan syaitan antara makhluk perosak yang akan sentiasa berusaha
untuk menyesatkan kita semua agar terjerumus ke lembah penuh
kemaksiatan. Walaupun kita sebagai manusia mempunyai akal yang terhad
untuk mengetahui tentang alam ghaib, namun ulasan di atas ini semuanya
berpandukan kepada nas-nas dari al-Quran.
No comments:
Post a Comment