Wednesday, October 24, 2012

Khasiat Air Kelapa Muda


Air kelapa muda yang baik adalah diminum terus dari kelapa muda tersebut tanpa sebarang campuran air. Penggunaan air kelapa telah dipratikkan semenjak dulu lagi kerana orang tua-tua sering memberi kelapa muda hijau ketika menderita demam atau campak. Kelapa merupakan buah yang berkait dengan mitos dan budaya malah dipanggil buah ajaib kerana perananya sangat penting dalam berbagai ritual keagamaan dan adat. Kelapa dipanggil pokok syurga kerana kelapa dipercayai dapat membawa kekuatan, kesihatan, umur yang panjang dan kedamaian.
Apakah kelebihan Air Kelapa Muda? Ia dianggap lebih berkhasiat berbanding susu lembu kerana kandungan lemaknya rendah dan ia tiada kolesterol. Ia lebih berkhasiat berbanding jus oren kerana kalorinya jauh lebih rendah. Ia juga lebih baik dari susu bayi yang diproses kerana ia mengandungi asid laurik yang wujud dalam susu ibu yang asli. Ia juga adalah penderma darah yang universal kerana sifatnya yang serupa dengan plasma darah manusia.
Ia adalah minuman isotonik asli, tahapnya sama dengan apa yang ada dalam darah orang yang sihat. Air Kelapa Muda telah “menyelamatkan nyawa” ramai penduduk Dunia Ketiga melalui kaedah perubatan tradisional dan petua, tapi kita mungkin tidak perasan.

Tanda-tanda keracunan
muntah, pening, cirit-birit, sakit perut, badan lemah dan gatal-gatal atau ditumbuhi bintik-bintik merah. Hanya minum air kelapa muda sebiji.

H1N1 dan selesema burung
Air kelapa muda dicampur dengan madu dan kurma

Keracunan cendawan
air kelapa muda hendaklah dicampur dengan satu sudu makan madu asli. la juga amat mujarab untuk mengubati pelbagai penyakit dan melegakan kesan-kesan mabuk akibat keracunan makanan seperti cendawan, udang, ketam dan jering.

Demam campak, demam kuning dan demam panas
Untuk demam panas, ia hendaklah dicampur dengan jus limau nipis.

Buang racun
Selain bekam, minum air kelapa muda boleh membuang racun dalam darah.

Ibu mengandung
Selain itu, kepercayaan dulu juga disarankan ibu yang sedang mengandung perlu kerap minum air kelapa muda. Air kelapa ini dipercayai dapat membersihkan janin di dalam rahim dan memudahkan kelahiran bayi, menjadi bersih, tiada kurap dan sebagainya.

Colitis, luka, cirit-birit, disentri, dan buasir
Air kelapa juga dapat mengatasi kerosakan sistem saluran pecernaan seperti mengurangkan gas, mual, dan sakit perut.

Friday, October 12, 2012

Jawapan Allah Kepada Yang Mengeluh


ADAKAH AKU SUDAH DIKIRA BERIMAN? 
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut:2-3)

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN? 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah:216)

KENAPA BERAT UJIAN INI?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah:286)

RASA FRUST? TENSION? LEMAH SEMANGAT? 
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Imran:139)

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA? 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya mencapai kemenangan).” (Surah Al-Imran:200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah:45)

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah At-Taubah:111)

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? 
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah At-Taubah:129)

ARGHHH AKU TAK TAHAN!!! AKU DAH BOSAN!!
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah Al-Kahfi:28)

Perbezaan Antara Iblis, Syaitan Dan Jin

Perbezaan Antara Iblis, Syaitan Dan Jin  | Mungkin ada di antara kita masih lagi keliru dengan perbezaan di antara iblis, syaitan dan jin ini. Walhal para ulama’ sendiri berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain.  Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggunjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia.
Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan  yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya.
Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”

Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa  Iblis  adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud:  Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.

Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia  yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.

Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;  “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. Menurut Ibn Qayyim maksud “jalan yang lurus” di dalam ayat di atas  ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.

Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya“.
Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.

Maka jelaskan syaitan antara makhluk perosak yang akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita semua agar terjerumus ke lembah penuh kemaksiatan. Walaupun kita sebagai manusia mempunyai akal yang terhad untuk mengetahui tentang alam ghaib, namun ulasan di atas ini semuanya berpandukan kepada nas-nas dari al-Quran.

Kenapa Orang Tak Solat Boleh Berjaya?

Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda langsung lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT , dan ini buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.


Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah study ? gagal dalam perniagaan walau hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.