Wednesday, June 29, 2011

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab



1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada/perut,
dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati
Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang
ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu,
dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W.
Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan
“khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan
binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh
Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan
“Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-
tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah),
Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan
ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S.
menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi
‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi
gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang
berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih
banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh
Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak
Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang
dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh
Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu
mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan
pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk
sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan
dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat
harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah
yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata
Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail:
Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima
amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting,
lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail:
Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang
dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga
mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit.
Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi
sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai
perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail:
Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya,
nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya.
Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke
tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia
yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua
rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua
bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu
lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang
betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah
S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat
ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim
dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat
hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina
perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit
yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan
Nabi Yahya A. S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf A. S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan
Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan
Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan
Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah
mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah
yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda,
“Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu
adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA
WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S.
bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka,
syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA
ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA
BILLAHIL-‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat
beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk
ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

iix. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan
dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W.
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang
tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah.
Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas
berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda
masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan
naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia
yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh
kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan
mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara
Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T
:Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 'Rasulullah
:Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa.
Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan
besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai
jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan
Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang
sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku
jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh
ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada
sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah
al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku
berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan
amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh
(waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi
Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya
menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu.
Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima
waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50
waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang
ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda
bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi
saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu
(Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin,
27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk
dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah
lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik
peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj
yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan
dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan
dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian
Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah
percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang
kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi
bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat
yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan
dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram
ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda
kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

No comments:

Post a Comment