Wednesday, June 29, 2011

Dasyatnya hari kiamat dan Padang Mahsyar



Gambaran Hari Qiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti
tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati
kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu,
Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya
nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya
“Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang
menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya
“Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini
menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha
Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya
meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup
semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang
Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut
“Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka.
Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari
biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang
dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati
mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan
yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti
guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat
perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan
(bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan)
dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu,
ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap
manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan
dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan
tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat,
lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT.
Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan
suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang
berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada
sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari
naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya
seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi
kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh
sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam
mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka
berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama
Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh
orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh
malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus
selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar
satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih
sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari
syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik
kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka
ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak
dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui
orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir
air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar,
semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang
beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa
dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi.
Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam
tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau
juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan
besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s.,
Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti
Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW.
Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun
perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT.
Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan
turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul
oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak
perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang
amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa
dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa
mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang
menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun
yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang
dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi
lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam
bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu
dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab
amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher
pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka
dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh
malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-
masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka
yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk
dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW,
dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan
hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan
darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya,
malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu
pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan
dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu
Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang
yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk
menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan
Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan
amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan
berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan
hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan
Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada
orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang
sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah
dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan
izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut
mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari
mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju
syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah
jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar
jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh
dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia
akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa
15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000
tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat,
seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki.
Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa
menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi
setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat,
hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan
terjatuh ke dalam neraka.

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab



1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada/perut,
dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati
Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang
ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu,
dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W.
Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan
“khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan
binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh
Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan
“Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-
tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah),
Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan
ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S.
menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi
‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi
gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang
berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih
banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh
Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak
Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang
dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh
Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu
mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan
pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk
sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan
dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat
harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah
yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata
Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail:
Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima
amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting,
lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail:
Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang
dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga
mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit.
Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi
sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai
perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail:
Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya,
nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya.
Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke
tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia
yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua
rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua
bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu
lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang
betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah
S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat
ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim
dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat
hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina
perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit
yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan
Nabi Yahya A. S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf A. S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan
Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan
Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan
Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah
mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah
yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda,
“Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu
adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA
WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S.
bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka,
syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA
ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA
BILLAHIL-‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat
beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk
ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

iix. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan
dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W.
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang
tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah.
Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas
berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda
masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan
naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia
yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh
kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan
mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara
Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T
:Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 'Rasulullah
:Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa.
Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan
besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai
jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan
Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang
sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku
jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh
ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada
sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah
al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku
berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan
amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh
(waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi
Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya
menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu.
Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima
waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50
waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang
ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda
bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi
saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu
(Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin,
27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk
dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah
lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik
peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj
yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan
dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan
dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian
Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah
percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang
kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi
bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat
yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan
dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram
ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda
kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

Tuesday, June 28, 2011

Nabi Muhammad menemui Allah

KEMBALI meneruskan peristiwa penuh bersejarah dengan
menyingkap pula perjalanan Mikraj Rasulullah s.a.w di mana
Baginda naik ke Hadratul Qudus menemui Allah s.w.t.

Pada masa ini, didatangkan kepada Baginda sebuah Mikraj yakni
tangga yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke
atas tangga pertama lalu terangkatlah pintu langit dunia
(pintu Hafzhah). Setiap kali Baginda bertemu dengan para nabi,
perkataan pertama yang diucapkan ialah assalamualaikum. Ini
menunjukkan bahawa pentingnya dan mulianya ucapan salam yang
sering kita ucapkan sehari-hari dan kita perlu sentiasa
mengamalkan budaya memberi salam sebagai mendoakan
kesejahteraan sesama kita. Rasulullah pernah bersabda yang
bermaksud: "Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan ucapan
assalamualaikum ), nescaya kalian akan mewarisi syurga."Antara
peristiwa yang berlaku di setiap tangga yang dinaiki
Rasulullah ialah: Langit pertama: Rasulullah dan Jibril masuk
ke langit pertama lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian
dapat melihat orang yang makan riba dan harta anak yatim serta
melihat orang berzina dengan rupa dan kelakuan yang sangat
hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung kepada susu penzina
perempuan.

Langit kedua: Nabi Muhammad dan Jibril naik tangga langit
kedua lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya a.s.

Langit ketiga: Naik tangga langit ketiga dan bertemu Nabi Yusuf a.s.

Langit keempat: Naik tangga langit keempat lalu bertemu
Nabi Idris a.s.

Langit kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu
Nabi Harun a.s yang dikelilingi kaumnya Bani Israel.

Langit keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan
para nabi. Seterusnya bertemu Nabi Musa a.s. Baginda disuruh
mengangkat kepalanya lalu dapat melihat umat Baginda sendiri
yang ramai termasuk 70,000 orang masuk syurga tanpa hisab.

Langit ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit
ketujuh lalu bertemu Nabi Ibrahim a.s sedang bersandar pada
Baitul Makmur sambil dihadapi kaumnya. Kepada Rasulullah,
Nabi Ibrahim bersabda: "Engkau akan berjumpa Allah pada malam
ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah
untuk umatmu. "Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu
Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillahlah Allahuakbar dan Walahaulawalaquwataillabillahi'aliyul'adzim. "Bagi orang yang
membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam
syurga." Selepas itu Baginda masuk ke dalam Baitul Makmur lalu
solat. Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah
dan adalah tempat malaikat bertawaf.

Tangga kelapan: Di sinilah disebut 'al-kursi' yang berbetulan
dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah menyaksikan
pelbagai keajaiban pada pokok itu.

Sungai yang airnya tidak berubah, sungai susu, sungai arak,
sungai madu serta buah, daun dan dahan yang berubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas
emas berterbangan dan semua keindahan yang tak terperi oleh
manusia. Baginda juga dapat melihat air sungai Kauthar yang
terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan
melihat neraka berserta penunggunya, Malik.

Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk Sidratul
Muntaha. Rasulullah w masuk dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib
dalam nur 'arasy iaitu lelaki dunia yang lidahnya sering basah
berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki
ibu bapanya.

Tangga kesepuluh: Baginda sampai ke Hadratul Qudus dan Hadrat
Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah dengan mata kepala
Baginda, lantas sujud. Di sinilah Allah memfardukan solat 50
waktu kepada Baginda. Selesai munajat, Rasulullah dibawa menemui
Nabi Ibrahim kemudian Nabi Musa.

Nabi Musa bertanya: "Apakah yang difardukan Allah kepada kamu
untuk umatmu?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Solat 50 kali sehari.
" Nabi Musa kemudian berkata: "Kembalilah menghadap Tuhanmu dan
mintalah pengurangan. Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu
melakukan hal itu." Lalu Baginda pun berulang alik sebanyak
sembilan kali sehingga Allah berkenan mengurangkan waktu solat
menjadi lima kali sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahala
bersamaan solat 50 kali.

Selepas Mikraj, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya
ke Baitulmaqdis. Kemudian dengan menaiki Buraq, Baginda tiba di
Masjidil Haram pada malam yang sama. Baginda menceritakan
perjalanan itu kepada kaum Baginda, tetapi mereka menuduh
Rasulullah berdusta kerana mana mungkin Baginda dapat sampai
ke tempat-tempat tersebut dalam masa yang singkat sedang manusia
biasa memakan masa yang lama untuk ke sana. Hanya Saidina Abu
Bakar sahaja yang membenarkan kata-kata Baginda lalu beliau
diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud 'yang membenarkan'
Peristiwa Israk Mikraj memperlihatkan pelbagai kejadian aneh
yang penuh pengajaran dan seharusnya memberi keinsafan kepada
kita agar sentiasa mengingati dan takut kepada kekuasaan

Pandanglah Menggunakan Mata Hati

Kehidupan ini penuh dengan ranjau? penuh dengan pancaroba.
Penuh dengan ujian.
Tetapi itulah dinamakan warna-warni kehidupan.
Kehidupan kita juga diwarnakan dengan pelbagai ragam manusia,
ada yang merasa megah dengan kekayaan, pangkat dan harta. Kita
merasa angkuh dengan kurniaan ilahi. Kemana kita sebenarnya?

Pandanglah ke Langit
Pernahkah kalian memandang ke langit? anda tidak merasakah
bahawa betapa kecil dan kerdilnya kita di alam ini? Kekadang
kita rasa bongkak, angkuh, sombong dengan harta,pangkat dan
kekayaan. Cuba kita renung. Adakah ia akan kekal?

Adakah apa yang kita ada ini sudah mencukupkan kita rasa hebat?
Sedangkan harta pangkat dan kekayaan, pencapaian yang ada pasti
tidak kemana. Betapa sedikitnya, dibandingkan dengan kekayaan dan
agungnya kekuasaan ilahi yang ciptakan dunia ini.

Indahnya melihat langit seakan ingin terbang ke udara. Langit
yang membiru itu tidak pernah angkuh dengan kecantikan,
kehebatannya. Langit selalu sahaja menurut perintah Allah
apabila Dia inginkan langit itu suram tidak bercahaya, langit
tunduk dengan perintah-Nya. Tetapi manusia? apabila diuji
dengan harta, kekayaan, pangkat, kecantikan dan perkara itu
yang membuatkan manusia lupa bahawa dia lemah, semuanya
kekayaan tidak akan kekal. Semuanya milik Allah! kita pasti
akan MATI. Pernahkah kita insaf? pernahkah kita merasa takjub
dengan keagungan ciptaan Tuhan jika dibandingkan apa yang ada
pada diri kita ini?

Renung Kembali
Pada satu ketika, kita rasa dengki dengan kekayaan yang ada
pada orang lain. Kita rasa dengki dengan pencapaian orang lain.
Kita rasa kecewa, mengapa ya Allah , aku tidak sehebatnya.
Mengapa aku tidak hebat sepertinya? sebenarnya kita silap.
Tidakkah kita mendengar bahawa Allah swt berfirman:

"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan
iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan
jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu
pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda
kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik
daripadanya)." Surah Muhammad Ayat 36

Kita tidak pernah bersyukur dengan kurniannya.Adakah kita
masih angkuh sedangkan Allah sudah memberi kita secukupnya?
Pandanglah kepada orang yang lebih kurang darimu. Bersyukurkah
kita? dimana kita berada? landasan manakah? cuba kita lihat
matahari , dia sentiasa mentaati perintah Allah.Di saat ia
terbit dengan megah, tetapi apabila Allah perintahkan ia
terbenam, ia akan terbenam tetapi dengan ketaatan.

Kembalilah , Bersyukurlah

Aku ingin mengajak kalian dan diri sendiri agar sentiasa
melihat orang yang lebih kurang daripada kita. Kita masih
lagi boleh bernafas, tetapi ada di saat ini orang yang
berusaha untuk bernafas menyedut udara kerana nazak di ambang
sakaratul maut. Ada yang tiada kaki tetapi dia masih bersyukur
kerana anggota lain masih ada dan sentiasa lakukan amal,
sedangkan kita yang ada kaki jarang bersyukur. Sampai nak
menjejak ke rumah Allah pun, kita masih kurang. Ada yang tiada
mata, tetapi dia masih bersyukur dan terus bersyukur untuk
mengingati Allah dengan sentiasa berzikir. Tetapi kita yang
ada mata sanggup memandang perkara haram. Kita ini selalu
lupa siapa kita? Apa tujuan kita dihidupkan di dunia.

Manfaatkan hidup sepenuhnya

Manfaatkanlah dirimu untuk kehidupan Akhirat.Tugasmu adalah
mentarbiyah manusia untuk kembali kepadanya! Tugasmu adalah
untuk mengabdikan diri kepada pencipta. Kekayaan yang kita ada,
pangkat yang kita ada jika kita manfaatkan untuk akhirat, ia
pasti akan berharga. Janganlah ada perasaan iri hati dengan
pencapaian orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang ada.

Usahalah semampu yang boleh! Sesungguhnya Allah menilai kita
berdasarkan kualiti bukan kuantiti. ada yang solat tahajjud
tetapi perasaan bongkak ada dalam dirinya. Tiada guna langsung
walaupun dia bersolat sebanyak seratus rakaat. Tetapi jika
seorang hamba Allah melaksanakan solat tahajjud ikhlas kerana
Allah walaupun satu rakaat, tetapi betapa besarnya di sisi
Allah. kembalilah kepada jalan Islam. Manfaatkanlah masa yang
ada dengan amal.

Wednesday, June 22, 2011

Susu Kambing: Adakah anda tahu?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah , Tuhan Sekalian Alam. Yang memerintah
hari pembalasan(akhirat). Engkau tuhan yang ku sembah dan
tuhan tempat aku mohon pertolongan. Tunjukkan aku jalan yang
lurus. Jalan yang telah engkau berikan kepada mereka (orang-
orang yang beriman dan beramal soleh) . Dan bukan jalan orang-
orang yang sesat (Kristian) dan jalan orang-orang yang engkau
murkai (yahudi)... Amin

Assalamua'laikum.

Kepada para sahabatku sekelian, pada kesempatan ini ingin
saya kongsikan sesuatu perkara yang mungkin sudah ramai yang
telah mengetahuinya dan mungkin ada juga belum mengetahuinya
iaitu khasiat susu kambing – satu sunnah yang semakin dilupakan.

Sabda Rasullah s.a.w, " Tidak ada seorang nabi pun yang tidak
terkecuali terlibat di dalam pengembalaan kambing". Kemudian
bertanya sabahat, apakah tuan juga pengembala kambing? jawab
Rasullah, "Ya.saya juga pengembala kambing untuk penduduk Mekah"

Kenapakah kambing menjadi pilihan Allah untuk disebut didalam
Al-quran. Ini adalah kerana,kesukaran mengembala kambing agar
sentiasa duduk di dalam jemaah merupakan satu ujian Allah untuk
melatih para nabi tentang erti kesabaran. Seperti yang anda semua
tahu menternak kambing bukanlah mudah dan perlukan kesabaran
yang tinggi. Oleh itu, jika seorang nabi yang bakal menjadi
nabi lulus dalam ujian berkenaan, maka Baginda mampu untuk
mendidik umatnya yang mempunyai pelbagai ragam.

Jika kita lihat, susu kambing sememangnya mempunyai pelbagai
keistimewaan. Ia mempunyai enzim-enzim yang penting untuk manusia
serta mengandungi pelbagai jenis vitamin, protein yang boleh
menjadi ubat bagi penyakit-penyakit seperti allergik, radang
sendi dan lain-lain malah, ia juga amat sesuai untuk diamalkan
oleh warga emas. Disamping itu, susu kambing juga begitu khasiat
kepada bayi yang terkena penyakit kuning dan dapat mempercepatkan
proses penyembuhan dengan izin Allah.

Bagi penghidap penyakit insomnia (susah tidur malam) pula,amalan
meminum segelas susu kambing panas sebelum tidur merupakan
amalan Rasulullah yang menyebabkan nabi mudah tidur dan mudah
juga berjaga untuk bersembahyang malam.

Sabda Rasullah s.a.w, "Peliharalah kambing kerana padanya terdapat
keberkatan". Menurut fakta sainstifik, susu kambing mempunyai
khasiat yang dapat memanaskan tubuh badan. Apabila seorang kanak-
kanak itu meminumnya, badannya akan menjadi suam dan toksik-
toksik di dalam badannya akan keluar bersama air besar dan akan
menyebabkan kanak-kanak berkenaan membesar dengan sihat.

Pada asasnya, susu berperanan memberi kekuatan tubuh badan
kepada bayi dan dapat meningkat daya IQ seorang bayi. Ini
adalah kerana ketika bayi berada di dalam tempoh penyusuan,
otak dan minda bayi sedang berkembang dengan pesat . Ketika
itulah bayi dikatakan sangat memerlukan protein dan badannya
memerlukan antibodi yang banyak.

Pakar- pakar pemakanan sedunia telah bersetuju bahawa komposisi
susu ibu dengan susu kambing hampir sama antara kedua-duanya.
Susu kambing mengandungi 3.1% lemaknya, sama dengan peratus
lemak susu ibu. Dari segi protein nya pula susu kambing
mengandungi 3.7% dan peratusan ini juga sama dengan peratusan
protein yang dapat di estrak daripada susu ibu. Kerana itulah,
pada zaman Nabi S.A.W, susu kambing menjadi alternatif kepada
ibu ketika mana ibu tidak dapat menyusukan anak atas sebab-
sebab yang tidak boleh dielakkan. Sebab itulah, amalan meminum
susu kambing ini amatlah digalakkan kerana ia mempunyai hikmah
yang cukup besar dan berpontesi melahirkan anak yang SUPER
(yang hebat, cerdik ,cerdas, dan IQ yang tinggi). Pada zaman
ini, amalan ini sudah kurang kita lakukan sebabnya kita
semakin jauh meninggalkan sunnah ini.

Bagi orang dewasa, manfaat susu kambing adalah amat banyak untuk
dirungkaikan. Antaranya susu kambing ini bersifat pelawas dan
amat berguna untuk memudahkan proses penghadaman , ia juga dapat
merawat penyakit sembelit dengan segera.

Menurut "Kitabul-alttaimah" menerusi hadis yang diriwayatkan oleh
Iman Muslim, telah disebut secara jelas bahawa minuman yang
paling disukai oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah susu kambing dan
menjadi sunnah bagi kita yang mencintai Rasullah s.a.w
menjadikan amalan meminum susu kambing sebagai minuman harian
kita yang sihat lagi berpahala (kerana mengikut sunnah).

Dalam hadis lain, Nabi Muhammad S.A W bersabda bahawa "Hendaklah
kamu berpegang kepada kambing (mengambil manfaat daripada
kambing: iaitu daging, bulu, kulit dan susunya) kerana itu
ialah kenderaan mu didalam syurga". Dalam sepotong hadis yang
lain ada menyatakan Nabi Muhammad s.a.w sangat suka meminum
susu kambing yang mentah (belum dimasak).

Dalam al-quran ada disebut "Dif'un Mamanafiq" yang bermaksud
memanaskan. Sebab itulah molekul-molekul susu kambing ini tidak
akan hilang walaupun kita menyejukkannya kerana ia mengandungi
kalori yang tinggi. Apabila kalorinya tinggi, ia dapat
membekalkan tenaga yang banyak kepada badan serta memanaskan
darah. Sebab itulah Nabi s.a.w sangat suka meminum susu
kambing kerana Baginda tahu akan kelebihannya.

Disamping itu, susu kambing juga membekalkan kekuatan tenaga
batin kepada kaum lelaki dan kaum perempuan. Mungkin ini dapat
menyelesaikan masalah mereka yang belum mempunyai anak atau
bagi mereka yang berhasrat untuk meramaikan lagi bilangan anak.
InsyaAllah dengan mengamalkan amalan meminum susu kambing,
kita akan peroleh kesejahteraan, selain melahirkan zuriat-
zuriat yang baik , cerdik dan pintar.

Jika sesuatu itu merupakan sunnah Nabi, pasti ada hikmat
disebaliknya, seperti digambarkan bahawa, Nabi tidak bercakap
mengikut hawa nafsu nya tetapi baginda sentiasa melakukan
sesuatu berlandaskan kepada wahyu allah semata-mata.

Itulah keindahan Islam. Cuma sekadar susu kambing yang biasa
namun mempunyai banyak manfaat dan kebaikan yang dapat
diperolehi daripadanya, itulah kuasa Allah s.w.t, Yang Maha
menjadikan sesuatu penuh dengan hikmah dan tidak pernah
terlintas di akal fikiran. Wallahualam.

Wednesday, June 8, 2011

Riak Membakar Amalan

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-
sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik
yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia
syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab:
"( Syirik yang kecil itu) ialah riak - Allah Taala akan
berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal
masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan
riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ),
kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan
di sisi mereka?" (Mahmud bin Labid r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan
kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku
dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya.
Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh
dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap
perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa
bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi,
"wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud
perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia,
dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud
orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah
"ialah orang yang takbur." (Riwayat at-Tarmizi)

1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi
oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan
baginda di hari kiamat nanti.

2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan
membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana
ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang
azab di hari akhirat kelak.

3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan
memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah
bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan
perasaan orang lain.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُ ۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٌ۬ فَأَصَابَهُ ۥ وَابِلٌ۬ فَتَرَڪَهُ ۥ صَلۡدً۬ا‌ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ مِّمَّا ڪَسَبُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan(pahala amal)
sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak
beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang
itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya
bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga
halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak
akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka
usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk
kepada kaum yang kafir.
(Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 264)

Tuesday, June 7, 2011

Cinta Dalam Diam

Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup
cintai ia dalam diam ...Karena diammu adalah salah satu bukti
cintamu padanya ...Kau ingin memuliakan dia, dengan tidak
mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang, Kau tak mau
merosak kesucian dan penjagaan hatinya..

Karena diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu..
Menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merusak izzah dan
iffahmu ..

Karena diammu bukti kesetiaanmu padanya ..
Karena mungkin saja orang yang kau cinta adalah juga orang
yang telah ALLAH swt pilihkan untukmu ...

Ingatkah kalian tentang kisah Fatimah dan Ali??
Yang keduanya saling memendam apa yang mereka rasakan ...
Tapi pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan suci nan
indah ....

Karena dalam diammu tersimpan kekuatan ... kekuatan harapan ...
Hingga mungkin saja Allah akan membuat harapan itu menjadi nyata
hingga cintamu yang diam itu dapat berbicara dalam kehidupan nyata...
Bukankah Allah tak akan pernah memutuskan harapan hamba yang
berharap pada-Nya??

Dan jika memang 'Cinta Dalam Diammu' itu tak memiliki kesempatan
untuk berbicara di dunia nyata, biarkan ia tetap diam ...

Jika dia memang bukan milikmu, Allah, melalui waktu akan
menghapus 'Cinta Dalam Diammu' itu dengan memberi rasa yang lebih
indah dan orang yang tepat ...

Biarkan 'Cinta Dalam Diammu' itu menjadi memori tersendiri dan
sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu.

Cintailah ia dalam diam, dari kejauhan, dengan kesederhanaan dan
keikhlasan...

Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui saat
secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta
izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba...
mungkinkah dengan ridha-Nya atau hanya mengundang murka-Nya...

Jika benar cinta itu karena Allah maka biarkanlah ia mengalir
mengikuti aliran Allah karena hakikatnya ia berhulu dari Allahmaka
ia pun berhilir hanya kepada Allah..

" Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu
mengingat kebesaran Allah ." (QS. Adz Dzariyat:49)

" Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan
orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang
lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka
miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah
Maha luas(pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."(QS. An Nuur: 32)

" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan
untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa
kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-
benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
"(QS.Ar-Ruum:21)

Tapi jika memang kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka
bersabarlah... berdo'alah... berpuasalah...

" Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup
untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu
memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara
kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, karena
sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya " (Hadist) "

" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah
suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.
" (QS. Al Israa' :32)

Cukup cintai ia dalam diam...
bukan karena membenci hadirnya.. .tapi menjaga kesuciannya bukan
karena menghindari dunia... tapi meraih surga-Nya bukan karena
lemah untuk menghadapinya.. .tapi menguatkan jiwa dari godaan
syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

Cukup cintai ia dari kejauhan...
karena hadirmu tiada kan mampu menjauhkannya dari cobaan karena
hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan karena
hadirmu mungkin saja akan membawa kenelangsaan hati-hati yang
terjaga...

Cukup cintai ia dengan kesederhanaan...
memupuknya hanya akan menambah penderitaan menumbuhkan
harapan hanya akan mengundang kekecewaan mengharapkan balasan
hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan...

Maka cintailah ia dengan keikhlasan...
karena tentu kisah Fatimah dan Ali bin Abi Thalib diingini
oleh hati... tapi sanggupkah jika semua berakhir seperti
sejarah cinta Salman Al Farisi...?

"...boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
" (QS. AlBaqarah:216) "

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan
laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),
dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik
dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik
(pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang
dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan
dan rezki yang mulia (surga)" (QS.An Nuur:26) "

Cukup cintai ia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan
dan keikhlasan...karena tiada yang tahu rencana Tuhan... mungkin
saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan
perlahan karena hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikan...
serahkankan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada
Yang Memberi dan Memilikinya biarkan ia yang mengatur semuanya
hingga keindahan itu datang pada waktunya...

" Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan
dirinya akan terjaga. " (Umar bin Khattab ra.)

Wednesday, June 1, 2011

Tips Elak Mengumpat

Dalam hidup seharian, kita takkan lari dari terlibat dari
aktiviti mulut ini..

Mengumpat bukan sahaja sinonim dikalangan perempuan..
dikalangan lelaki pun apa kurangnya?

Maaf kaum lelaki, inilah kebenaran.

Tapi cuba kita renungkan bersama.. Kalau kita mampu elakkan
diri dari mengumpat, tapi mendengar umpatan orang pula lebih
kurang sama dosa dengan mengumpat...

Makna mengumpat tu seperti umumnya yang kita tahu.. bila kita
mengata tentang sesuatu yang buruk .. dibelakang hamba Allah tu.

Dan bila dia tahu dia tentu marah atau kecil hati.. Dah nama
pun mengumpat,tentu la berkongsi sesuatu yang tak baik kan?

Kadang-kadang kita tak nak terlibat dalam aktiviti senaman mulut
kurang sihat ni, tapi cerita.. orang kata kalau tak mengumpat ni
macam masakan tiada rasa..macam garam dan gula pula.. tapi kita
sedar tak, perencah ni memang mahal dan terlaris sebab nak
mengumpat ni dosa besar.

Dalam Islam,mengumpat ni seperti makan daging saudara seislam
sendiri. MasyaAllah, sampai begitu sekali perumpamaan aktiviti
senaman mulut ni!

Walaubagaimanapun pun, kita adalah hambaNya yang lemah. Itulah
pentingnya kita saling ingat mengingatkan, bukan nak buruk-
memburukkan.

Kalau keburukan diri dapat diterima dan cuba dikikis sebaiknya,
siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?

Fokus kembali pada tips-tips nak elakkan mengumpat/sesi mengata ni..

01.Bila berkumpul dengan kawan-kawan.. dan bila rakan dah mula
filem umpat dengan watak yang bertambah-tambah dan siap letakkan
jiwa dan emosi lagi.

Masa tu, kalau dah bersama, mesti susah nak elak dari bubuh skrip
tambahan.

Dinasihatkan masa ni la kita banyak-banyak Ingat Allah.

Sedar yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat tu
iaitu Hamba Allah.

Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat istighfar, sambil tu
tegurlah kawan sama.. Kalau tak dapat juga, sebaiknya kita pergi
dari situasi ni.

02.Bila yang nak jadi moderator 'umpat-umpat' tu kawan baik kita
sendiri..

Apa kata kita ajak dia berbual tentang keburukan diri masing-masing?

Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita ni.. sekurang-
kurangnya kita pun sedar banyak juga kekurangan kita.

Tak payah lah cerita semuanya, tapi cuba fikir.. rasanya kalau nak
senaraikan pun mesti lebih tiga, lebih dari sepuluh? dua puluh?..
jadi layakkah kita nak bagi senarai keburukan orang, sedangkan
senarai keburukan kita sendiri pun dah lebih dari sebakul.

03.Bila yang nak ajak mengumpat tu orang senior dari kita.. tentu
payah benar nak buat sesi teguran kan?

Apa kata kalau tak dapat nak elak pun.

Sambil dia lafaz bait-bait mengata tu, kita pula sambung setiap
ayat umpatan tu dengan doa.

Doakan sesiapa yang diumpat dengan ikhlas, supaya Seni0r kita tu
pun sedar dengan sendirinya. InsyaAllah!

04.Bila terasa sakit hati dengan seseorang hamba Allah tu..

dan terasa nak cari kawan nak buka forum mengumpat, jom ambil
wudhu secara tertib.

Masa nak kumur-kumur tu, bacalah doa. Minta dipelihara lidah ni
dari perbuatan yang memberi dosa.. InsyaAllah.

Semoga dengan itu, segala niat buruk tu terbatal sendiri.

05.Kalau kita selalu terlupa tentangNya, apa lagi bila tengah
cerita panas atau gosip liar.

Masa ni nak istighfar pun berat sekali nak buat. Apa lagi nak
muhasabah diri yang dah rebah kan?

Jadi.. sumbatkan lah telinga anda dengan lagu-lagu atau sebaiknya..
dengar bacaan alQuran ke.. nasyid ke.

Ini lebih baik dari bibir tu mengata hal-hal tepi kain orang.

Sedangkan tepi kain sendiri entah masih elok atau tak.. dah
koyak ke.. atau tersangkut kat mana-mana..

Sebab tu kita ada dua telinga.. sebagai perumpamaan kita kena
mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu..

06.Bila nak mengata orang tu.. cuba bayangkan kita berada di
tempat orang yang dikutuk tu.. agak-agaknya boleh tak jadi
seperti Khalifah atau nabi terdahulu..

Bila diumpat, boleh pula beri hadiah.. siap doakan orang tu
dirahmati Allah SWT.

Agaknya kita antara golongan yang bila tahu ada orang cakap
belakang tentu rasa nak bagi penumbuk sulung pada orang
berkenaan, paling tidak pun.. mengutuk dan buat la ayat makian
paling pedas untuk dia.

Cuba kita ubah sedikit perspektif pemikiran kita.. bila kita
diumpat, tu bermakna ada orang ambil berat,ada orang cuba nak
beri ingat.. ada yang nak bagi pendapat.

Supaya dengan Tuhan kita terasa dekat.

Ujian tu taklah seberat kutukan yang nabi pernah terima dahulukan.

07.Terakhir, minum air banyak-banyak..dimulakan dengan selawat
dan bacaan basmallah.

Semoga dengan nikmat air tu, kita akan ringan untuk memujinya.

Banyak lagi tips yang ada.. tapi semuanya bergantung pada niat.

Niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara.

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur..
setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat yang memberi.