Tuesday, September 27, 2011

Kedekut undang 7 keburukan

KEDEKUT menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan.

Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam. Firma Allah yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun ayat 9)

Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat.

Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda.

Jangan hanya sebab harta benda kita bermusuh sesama sendiri.

Berdasarkan konsep rezeki yang diterangkan, Allah memberi jalan seluas-luasnya bagi setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk.

Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain.

Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezeki.

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya.

Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Saidina Abu Bakar berkata, maksudnya: Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan iaitu:

  1. Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.
  2. Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan tenggelam dalam tanah.
  3. Selepas meninggal, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.
  4. Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.
  5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.
  6. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya hartanya musnah.
  7. Allah meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan

Hati Emas

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya 'tidak berakal'. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali 'orang yang berakal' walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai 'orang agama' tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya, hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak 'berminyak air'. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap 'lepas fardu Ain'. Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi 'hati yang bercahaya' berbanding 'otak yang bergeliga', hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah 'orang-orang kecil' yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan 'murid-murid' tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat.

Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara 'simple' menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka.

Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya 'harta' yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa 'glamour' dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .

Tegasnya, mereka ini tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk 'universiti kehidupan' – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku, kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan.

Ya, tiada kata secantik bahasa, untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan, di nota hati yang 'bergenta' beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu) untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah 'orang agama' menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati.

Monday, September 26, 2011

Be Aware about Maggi.........or other instant noodles

Please note that our Institute Jantung Negara (IJN) has recommended Malaysians not to over eat instant noodles as heart disease is mainly caused by the seasoning powder. If you can't do without it, reduce the powder by half and don't drink the soup after you finish the noodle.
DO NOT IGNORE THIS ... Especially those fond of Maggi...

Normally, how we cook the instant noodles is to put the noodles into a pot with water, throw in the powder and let it cook for around 3 minutes and then it's ready to eat.
This is the
WRONG method of cooking the instant noodles.

By doing this, when we actually boil the ingredients in the powder,normally with MSG, it will change the molecular structure of the MSG, causing it to be toxic.

The other thing that you may or may not realize is that, the noodles are coated with wax and it will take around 4 to 5 days for the body to excrete the wax after you have eaten the noodles.

CORRECT METHOD:

1. Boil the noodles in a pot of water.

2. Once the noodles are cooked, take out the noodles, and throw away the water which contains wax.

3. Boil another pot of water, add the cooked noodles into the hot boiling water and then turn off the stove.

4. Only at this stage when the stove is off, and while the water is very hot, add the flavouring powder into the water, to make noodle soup.

5. However, if you need dry noodles, remove the noodles and add the flavouring powder and toss it to get dry noodles.


Dietician's Note:
If you buy plain hakka noodles which you make, you initially need to boil in water and discard the water. This will soften the noodles but to prevent it from sticking we need to add a tbsp of oil and also the noodles are deep fried partially to make them crunchy and then dusted with flour to prevent them from sticking while boiling. Hence when you buy the noodles they are already made unhealthy and this is the type we use to make stir fry noodles and the regular Maggie too is made the same way, plus they add MSG / Ajinomoto and other chemical preservetives.

A large number of patients with ages ranging from 18-24
years are ending up with pancreatitis either as
a swelling or infection of the pancreas due to regular consumption of instant noodles...If the frequency is more than 3 times a week, then it is very hazardous...



Tuesday, September 13, 2011

Bersangka Baik Demi Cinta 2

iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, "sekarang!" Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, "bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil." Dengan berkata demikian kita telah 'membunuh' potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah 'resipi' yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh 'pause' atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi, bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

v) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau 'sindrom bisu' mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya. Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu, tidak buruk sama sekali.

Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup, satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir.

Apa yang perlu kita lakukan, bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, "jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!"

eskapisme : tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain (biasanya yang kurang baik) daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan

Pemerhati Sunyi

Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri atau suami pasti ada kesepian dan kelelahan. Tugas rutin yang dijalankan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan sehinggalah bertahun-tahun adakalanya menimbulkan kejemuan dan kesepian.

Putaran kehidupan, pasti meletihkan. Ditambah pula kadangkala oleh sikap pasangan yang tidak memahami jiwa dan perasaan. Ketika itu segalanya hambar dan tawar.

Jika itu yang sedang terjadi pada diri kita kini, jangan dibiarkan berlarutan. Bertindaklah untuk mengubah keadaan bermula dengan mengubah jiwa, pemikiran dan perasaan sendiri. Kita tidak mampu mengubah apa yang di luar diri tetapi kita boleh mengubah diri.

Pertama, perlu kuatkan jiwa. Bagaimana? Apalagi kalau bukan dengan solat dan zikir. Siti Fatimah yang mengadu keletihan dalam menguruskan rumahtangga, mendapat kekuatan dengan berzikir subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar yang diberikan oleh ayahandanya Rasulullah s.a.w. Pemikiran Siti Fatimah dilapangkan dengan didikan untuk mencintai Akhirat melebihi dunia. Lalu dengan 'tauhidic mindset' itulah terasa olehnya betapa kecilnya penderitaan dunia berbanding penderitaan akhirat.

Justeru, dia rela menerima kesusahan dunia yang sedikit dan sementara demi mengenangkan nikmat Akhirat yang lebih baik dan selama-lamanya. Emosinya jadi tenteram ketika kesepian, oleh rasa hatinya yang sentiasa merasai ada Allah yang sentiasa memerhatikannya. Begitulah perasaan orang yang hampir dengan Allah. Imam Ghazali pernah menuliskan, "ketika kau kesepian jangan kau katakan aku sunyi... tetapi katakan pada diri, di sisiku sentiasa ada Pemerhati!"

Dunia ini tidak lepas daripada rasa jemu, sunyi dan lesu. Nikmat yang diburu, akan rasa jemu apabila sudah dalam genggaman. Manis, seronok dan indah hanya sementara. Tidak kira nikmat yang bernama anak, suami atau isteri.

Tanpa cinta yang mendalam dan menyala-nyala kepada Allah, segala bentuk cinta yang lain (cinta mahkluk) akan beransur malap dan gelap. Begitulah fitrah hati. Cinta Allah itu tapak segala cinta yang lain. Bila cinta Allah goyah, cinta yang lain akan turut rebah. Tanpa kembali kepada cinta Allah, kita akan menjadi pemburu cinta yang dungu dan lesu. Cinta yang di depan mata dipersia, cinta fatamorgana yang tidak nyata diburu bagai nak gila.

Akibat jemu, sepi dan lesu, ada yang mula bertindak membuka lembaran cinta yang baru. Mereka ketagih untuk merasai semula keharuman dan kehangatan cinta yang pernah dialami masa muda-muda dahulu. Orang lama ini bermimpi untuk menjadi orang baru yang hidup penuh keceriaan, bertenaga dan bermotivasi dengan menjana cinta yang baru.

Lalu wujudlah apa yang dinamakan 'teman tapi mesra'. Suami orang dan isteri orang berhubung dengan mesra. Ini hakikatnya satu lagi 'produk' hubungan mungkar tajaan Syaitan untuk menipu manusia.

Kononnya, keduanya tetap menjaga perkahwinan masing-masing, tetapi mereka akan bersahabat dengan bertemu, bermesra, berbual dan saling meluah rasa tanpa pengetahuan pasangan mereka. Teman tapi mesra ini hakikatnya adalah perbuatan yang telah menghampiri zina. Istilah itu hanya dicipta untuk mengurangkan rasa berdosa kerana bermesra dengan isteri atau suami orang.

Tepuk dada, tanya rasa hati kita yang paling dalam, sukakah kita jika isteri meluahkan rasa hatinya kepada orang lain? Bagaimana rasa si isteri, apabila diketahuinya ada perempuan lain yang dimesrai dan diambil berat perasaannya oleh suaminya sendiri? Tentu ada hati yang terluka. Pasti ada rasa yang tidak rela. Sedangkan segala rahsia harus dikongsi bersama. Mengapa dia perlukan 'teman tapi mesra'? Apakah kerana aku sudah jadi 'suami tapi tidak mesra' atau 'isteri tanpa cinta?"

Anehnya, isteri atau suami yang lupa diri ini begitu bersopan, lemah lembut, bergaya dan menjaga penampilan diri di hadapan teman mesranya. Kata-katanya sungguh sopan, tingkah lakunya sungguh baik. Bila bersama temannya dialah lelaki paling romantis atau wanita yang paling beradab. Padahal dengan suami atau isteri di rumah, tutur katanya kasar, sapanya selamba dan tingkah lakunya serba pasif dan air mukanya yang masam dan bungkam.

Sungguh pelik, dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan memberi hak kepada yang tidak berhak manakala merampas hak daripada yang berhak. Hak suami atau isteri telah dirampas lalu diberikan kepada teman tapi mesranya itu!

Itu kisah suami atau isteri yang berkerja di luar, samada di pejabat kerajaan atau di badan-badan swasta. Mereka punya alasan, ruang dan peluang untuk selingkuh di luar. Bagaimana pula dengan isteri yang berada di rumah? Ya, dalam dunia tanpa sempadan dan era ICT ini segalanya berada di hujung jari. Dosa dan pahala boleh diraih melalui satu 'clik' sahaja pada papan kekunci atau tetikus komputer. Celik IT tetapi buta hati telah menyebabkan lebuh raya siber menjadi medan menjana cinta kayu tiga yang penuh dosa dan laga' (sia-sia) ini.

Keldai cinta. Itulah gelaran yang layak diberikan kepada seorang yang bercinta secara membabi-buta. Tanpa tujuan yang jelas dan pengenalan yang tepat, keldai cinta ini memberi cinta sepenuh dan seluruhnya. Dan akibatnya, segala miliknya tergadai. Maruah, akhlak dan semua orang yang menyayanginya rela dikorban. Bayangkan, berkenalan dan bercinta hanya melalui laman sosial dalam internet, samada lewat facebook, twiter atau YM, namun akhirnya menumbuhkan bibit cinta di alam maya dan komitmen yang nyata dalam alam realiti.

Bayangkan bagaimana teganya seorang isteri yang sudah punya beberapa orang anak dan seorang suami rela mengabaikan tanggung jawabnya kerana cintanya yang mendalam kepada seorang lelaki seberang laut yang kononnya sangat memahami, prihatin dan menyayanginya sepenuh hati. Manakala seorang gadis pula rela meninggalkan ibu-bapa yang menyayanginya kerana mengikut kata kekasih hatinya yang bermata biru atau yang berkulit hitam. Atau ada pula suami yang sanggup berjaga malam, berteleku di hadapan komputer riba hanya untuk berbual-bual dengan 'kekasih' maya.

Mula-mulanya hanya berkenalan, kemudian berbual-bual dan akhirnya mula meluahkan masalah hidup masing-masing. Anda mungkin tidak percaya tetapi kenyataanya perkara yang seumpama ini memang sering berlaku. Alasan 'keldai cinta' ini ringkas dan mudah sahaja – "saya kesepian, "suami tidak pandai melayan perasaan", "isteri tidak pandai berhias." Begitulah yang kerap kita dengar. Hairan juga, mereka ini bukan baru sehari dua duduk sebumbung, sudah bertahun-tahun, sudah beranak pinak, tetapi seolah-olah baru saat itu ternampak segala keaiban dan kecacatan pasangan.

Ironinya, pada diri kekasih mayanya semua nampak sempurna. Hanya kerana dibelai dengan kata-kata indah, dihadiahkan gambar sejambak bunga, diberikan potret gambar (yang tidak dapat dipastikan adakah itu gambar sebenarnya), si isteri yang kesepian itupun cair. Lalu berbalas-balaslah kata cinta dan ayat-ayat ' I love you", "I trust you" dan sebagainya. Waktu dinihari yang sepatutnya si isteri bangun solat Tahajud mendoakan anak-anak dan suami telah digunakan secara curi-curi untuk berbual dengan kekasih hati.

Orang di sebelah sana, penuh rencana licik dan strategik. Perlahan-lahan, tahap demi tahap dia menjanjikan habuan. Bermula dengan hadiah, ingin datang melawat, ada wang hadiah yang akan dimasukkan dalam akaun bank kekasih, sehinggalah jemputan datang ke negaranya untuk memulakan hidup baru atau sekadar bercuti dalam jangkamasa tertentu. Mendengar segala janji manis itu apalagi, keldai cinta inipun melonjak kegembiraan, tidak sedar perangkap sedang menganga untuk menelannya.

Sungguh tragis, apabila keldai cinta itu akhirnya bertukar menjadi keldai dadah. Mereka ditipu oleh kekasih mayanya untuk membawa dadah sama masuk ke dalam negara atau keluar negara. Daripada kesepian di rumah sendiri akhirnya mereka menjadi lebih kesepian apabila menjadi penghuni penjara. Ada pula yang maruahnya tergadai, bila mereka dinodai dan gambar-gambar yang mengaibkan itu akhirnya dijadikan bahan ugutan untuk mereka menurut kehendak sendikit dadah bertaraf antarabangsa ini. Cinta yang didamba tidak ditemui, kecelakaan dan bahana baru pula yang dtang menimpa.

Jangan menyelesaikan masalah dengan satu masalah. Kesepian, kelesuan dan kejemuan tidak akan dapat diatasi oleh perbuatan dosa dan amalan yang mungkar. Sebaliknya penuhi masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Jika kita beriman dan memegang teguh Islam, kita akan merasai bahawa tugasan dan tanggungjawab sentiasa melebihi masa yang ada. Begitu yang pernah ditegaskan oleh tokoh tersohor Hasan Al Banna. Jadi, mukmin yang hakiki sentiasa sibuk dan dapat mengatasi dua 'musuh' yang sering menyebabkan manusia alpa yakni kesihatan dan kelapangan masa.

Sepatutnya, masa yang terluang digunakan untuk bermacam-macam kegiatan yang bermanfaat. Ramai isteri yang meluangkan masa untuk mempelajari serta mendalami lagi kefasihan membaca al-Quran. Ada yang kuat dengan aktiviti-aktiviti pengajian. Manakala sebahagiannya pula sibuk dengan program-program kebajikan. Isteri yang solehah dan suami yang soleh soleh sedang sibuk menyediakan bekalan untuk menempuh jalan pulang, tapi dia pula sibuk mengumpul beban dosa seolah-olah tidak mahu pulang!

Alangkah sia-sianya hidup jika masa banyak dibazirkan melayani dan melayari laman sosial secara marathon ditambah pula aktiviti mungkar memadu cinta dengan lelaki bukan mahram? Alangkah bodohnya isteri atau suami yang bangun di tengah malam, mencuri-curi berbual dengan kekasih mayanya sedangkan ada isteri solehah dan suami yang soleh sedang bermunajat kepada Allah memohon keselamatan seluruh ahli keluarganya dari malapetaka dunia dan Akhirat? Sah, dialah keldai cinta yang tertipu, bercinta tanpa guna akal yang waras, hati yang bersih dan perasaan yang stabil. Di mana wajah kita hendak dihadapkan di hadapan Allah di Akhirat nanti ketika kita menderhakai suami dan menentang Allah serta Rasul-Nya hanya kerana cinta murahan, khayalan dan tidak berpijak di bumi nyata?

Kemanisan beragama hanya akan dinikmati oleh mereka yang menegakkannya dalam kehidupan. Menegakkan hukum Allah di dalam rumahtangga akan memberikan ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Manakala melanggarnya akan mendatangkan kesusahan, penderitaan dan kekacauan jiwa. Teman tapi mesra dan memiliki kekasih maya adalah dua penyakit jiwa yang sedang melanda rumah tangga umat Islam kini.

Puncanya? Mudah sahaja. jiwa kosong, tujuan hidup tidak jelas. Bagi mereka semua tidak kena. Suami pendiam dikatakan tidak romantik. Isteri peramah dikatakan penyibuk. Bukan silap apa yang dipandang tetapi silapnya pada hati yang serong lalu pandangan jadi melencong. Benarlah kata bijak pandai, tidak ada angin yang menyebelahi mana-mana kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Maka begitulah nasib keldai cinta ini, hidupnya serba tidak kena, serba keliru dan celaru kerana tidak ada pelabuhan cinta sejati dan hakiki untuk dituju!

Bersangka Baik Demi Cinta

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, "saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?"

"Teruskan perkahwinan," jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: "Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!"

"Mengapa pula?" tanya si isteri.

"Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. "

"Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?"

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. 'Right mental attitude' sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah 'what happens in you' bukan 'what happens to you.'

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, "aku sepatutnya tidak dilayan begini." Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan 'menyedut' tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup, kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan 'toxic people' yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit. Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak 'melahirkan' sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

6 Petua Untuk Berjaya

Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.

Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku "Tough Times Never Last, But Tough People Do" oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5. Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata "Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya".