Wednesday, May 25, 2011

6 Sebab Mengapa Kita Masih Gagal Menjual Produk Di Internet

Pada awal tahun 2008, perniagaan internet berasaskan produk
fizikal seperti menjual baju, kain batik, kasut dan pelbagai
lagi masih lagi baru di Malaysia.

Ini kerana rata-rata pengguna internet masih lagi tidak nampak
akan potensi perniagaan internet, yang mampu membantu kita untuk
berniaga dengan hanya menggunakan komputer dan duduk di rumah.

Berbeza dengan kisah seorang usahawan internet tempatan, yang
bermula sejak tahun 2008.

Ketika itu tiada sebarang buku atau panduan yang boleh dirujuk
oleh beliau, bagi menjual produk fizikal di internet, khususnya
di pasaran Malaysia.

Dengan berpegang pada prinsip, 'Just do it', beliau berjaya
membangunkan sebuah laman web bagi menjual sebuah produk di
internet. Namun membina laman web dan mempunyai produk untuk
dijual adalah langkah pertama dalam perniagaan internet.
Potensi yang Mengejutkan... 4 Jualan Dalam Masa Setahun!

Promosi terus dilakukan oleh beliau, bagi mendapatkan jualan
yang pertama. Antara teknik promosi yang dilakukan adalah
menerusi ruangan Yahoo Messenger, yakni menerusi senarai rakan-
rakan yang berada dalam senarai.

Meskipun laman web beliau mempunyai jumlah pelawat yang tinggi
setiap hari, dan mendapat pujian daripada kawan-kawan yang
singgah di laman web itu, beliau masih lagi tidak memperoleh
sebarang tempahan produk.

Rasa putus asa itu semakin hampir menguasai dirinya. Namun
hatinya berjaya memujuk, dengan menyatakan ini adalah adat
resam dalam bisnes.

Setelah setahun laman web ini beroperasi, akhirnya beliau
berjaya memperoleh jualan!

Jumlah jualan yang diperoleh berdasarkan 4 orang pelanggan
dalam masa setahun ini adalah RM12. Adakah ia sudah cukup untuk
menampung kos-kos beliau sebelum ini? Kos promosi, kos
pengiklanan, dan kos pembangunan laman web? Jawapannya, tidak.

6 Sebab Kita Gagal Menjual Berjaya Dikenalpasti

Setelah meneliti dan mengkaji sebab-sebab yang menyebabkan laman
web beliau gagal menjual di internet, akhirnya si dia
memberanikan diri sekali lagi untuk mengubah strategi.

Hasilnya, tidak sampai 2 bulan, beliau berjaya menjual 12 set
produk bersalin yang berharga RM260 untuk setiap satu.

Cerita ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar pemilik laman
forum perniagaan internet terkemuka di Malaysia, iaitu saudara
Shuth atau Suhaimy.

Dalam perjalanan beliau menceburi perniagaan internet bagi
menjual produk fizikal, terdapat 6 sebab yang menyebabkan
beliau gagal:

#1.Kesilapan Cara Promosi Promosi merupakan nadi dalam
perniagaan. Dalam perniagaan internet, kita perlu berusaha
untuk mempelbagaikan cara promosi. Ini kerana kita perlu
mencari prospek kita. Antara medium promosi yang boleh digunakan
adalah menerusi Facebook, forum dan juga blog.

#2.Membina Laman Web yang Tidak Mesra Pembeli Kita perlu
mengenalpasti ‘buyer behavior’ terlebih dahulu sebelum membina
laman web, untuk menjual produk fizikal. Jika laman web kita
tidak memudahkan para pelawat untuk membeli, maka peratusan
untuk mereka tidak membeli produk di laman web kita akan menjadi
lebih tinggi.

#3.Tidak Mempunyai USP (Unique Selling Point) Pakar dalam seni
jualan, Brian Tracy menyatakan pemilik bisnes yang mempunyai
USP cenderung menjadi pilihan utama para pembeli. Oleh itu,
pastikan kita mencipta keunikan bisnes terlebih dahulu, agar
prospek mudah mengingati perniagaan kita.

#4.Laman Web yang Tidak Meyakinkan Laman web ibarat kedai kita.
Jika kedai kita buruk dan tidak tersusun, maka pembeli juga
akan berasa tidak selesa dan hilang kepercayaan terhadap bisnes
kita.

#5.Tidak Melakukan Kajian Terhadap Pesaing Setiap bisnes
mempunyai pesaing yang tersendiri. Jika kita tidak melihat apa
yang pesaing kita lakukan, maka bisnes kita akan sukar mendapat
perhatian pelanggan.

#6.Tidak melakukan kajian pasaran (target market) produk jualan
Tanggapan ‘produk saya adalah untuk semua’ adalah tanggapan yang
silap. Setiap produk memiliki pembelinya tersendiri. Tugas kita
adalah melakukan kajian pasaran dengan menentukan siapakah
pembeli produk kita.

Tingkatkan Kejayaan Menjual Produk Fizikal Di Internet Menerusi
Seminar Akedemi Usahawan Pada 28hb Mei 2011 ini, syarikat
Flarebiz Network akan mengendalikan 'Seminar Akademi Usahawan -
Menjual Produk Fizikal Di Internet'.

Seminar ini akan membongkarkan 8 rahsia, bagi membantu para
pemilik bisnes untuk:

(a)Memulakan langkah pertama dalam perniagaan internet.

(b)Mengenalpasti produk yang terhangat di pasaran untuk dijual
di internet.

(c)Menjual produk menggunakan internet tanpa perlu menyimpan stok.

(d)Mengetahui platfom yang sesuai untuk menjual produk di internet.

(e)Mengetahui cara promosi laman web yang dijamin berkesan,
berdasarkan pengalaman penceramah sendiri.

(f)Mengetahui cara untuk menggandakan jualan tanpa sebarang kos.

(g)Memperoleh perkongsian pengalaman penceramah menjana
pendapatan ribuan ringgit, hanya dengan menggunakan kuasa
internet.

(h)Mendapatkan strategi dan taktik sebenar seorang usahawan
internet, yang telah membuat jualan jutaan ringgit dengan hanya
menggunakan kuasa internet!

10 Tips Mewujudkan Keyakinan Diri

Janjilah kepada diri sendiri bahawa tanpa mengira betapa susah
sesuatu masalah yang anda hadapi dalam kehidupan anda, anda
akan mencuba dengan sedaya upaya anda untuk membantu diri
sendiri.

Anda mengakui bahawa usaha anda untuk membantu diri sendiri
itu mungkin tidak berbuah kerana pemberian ganjaran yang wajar
adalah di luar kawalan anda.

Keyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi.

Keyakinan diri pula ialah kepercayaan bahawa dirinya boleh
mengendalikan kehidupannya dengan baik serta segala cabaran
yang dihadapi dengan jayanya

Mari kita hayati 10 Tips Mewujudkan keyakinan diri;

01. Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama
seperti orang lain, tiada yang kurang dan tiada juga yang lebihnya.

02. Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat? Pedulikan
apa orang nak kata tapi yang penting pelajari apa orang lain buat
terlebih dahulu sebelum kita buat.

03. Apa kekurangan/kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya.
Jangan biarkan ia terus berkekalan tanpa ada sebarang usaha dari
anda.

04. Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu
yang positif. Berani!

05. Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat. Ketepikan! Tonjolkan
diri anda.

06. Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan,
ianya sebagai warm up dan dapat mengaktifkan diri seseorang.

07. Kemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu.
Ya saya boleh!

08. Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang
kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan
untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.

09. Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah,
tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan dapat selepas tugas
tersebut.

10. Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau
bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas. Masa itu emas! Setiap
waktu berharga.

Tuesday, May 24, 2011

Carilah Hatimu!

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan
kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-
kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan
keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur,
tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati–
mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih
bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak
rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa
dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa
yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu
keampunannya... kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada
harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu
pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan.
Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa
nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus
bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran
dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul
junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun
membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu
ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah
hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak
temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru
kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu...
Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur?
Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan
aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan
dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas,
takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan
teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu,
fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa
dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah,
kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa
dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah
manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan
bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk
menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran
umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih
fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna...
Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan
anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak
berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh.
Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu
olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti,
kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa
mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu
dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik
bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran.
Mereka yang begini sahaja mampu 'menukar' bangkai dunia menjadi
baja dalam kehidupan.


Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati.
Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar
sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.
Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia,
tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap
dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus
dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu
oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada
berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah... tidak mengapa sekiranya
engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah
menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan
hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan...
Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah
itu susah tapi indah!

Petua Mencuci Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di
bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.
Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu
kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan
"Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X
sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan
murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah
rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara
kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat
mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan
jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah
"Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali
mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan
diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang
elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam
sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati :
"Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik,
berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian
psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan
sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan
perkara-perkara kejahatan.

9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan,
tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui
halal dan haramnya.)

14. Berkawan dengan ulama'.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)

Monday, May 23, 2011

Sakitnya 1 Pembohongan

Rupanya aku sendiri tidak dapat membohongi diriku sendiri.
Huhhhhhhhhhhhhhh....sedihnya.. Tapi kumampu menutupi kesedihan
yang bertakung di dasar hatiku.

Sampai bila, ntah...aku sendiri tidak tau..^_^

Tiada yang lebih indah kecuali mengingatiMu Ya Allah...
Biarlah hati ini penuh dengan namaMu Ya Allah...

Aku akan mampu melupakan seperti yang dulu walaupun
mengambil masa yang agak lama, kerana aku kuat menahannya.

Cuma aku sendiri hairan dan terpikir kenapa aku ditolak ketepi
tidak secara langsung bila perasaan sayang mula menerjah di ruang
hatiku, padahal dia yang memulakan perkenalan itu... Aku sendiri
tidak dapat dan tidak memahami apa punca segala. Ianya umpama
kembangan bunga yang cantik pada mulanya tapi cuma sementara saja.
Aku mencari punca tapi aku buntu untuk memahami apa sebenarnya punca.

Aku umpama bayangan yang mempunyai tempoh tertentu, dan bila tiba
masanya bayangan itu lenyap, hilang ntah kemana di matanya. Macam
tiada apa yang berlaku, macam diriku tiada langsung wujud dalam
hidupnya.

Aku akui aku cemburu dengan kebahagiaan kawan-kawanku, tapi itulah
bahagian diaorng yang diterimanya... Aku masih lagi memandu
kehidupan ini seorang diri.

Aku bukan ego dengan perasaanku sendiri, tapi aku malu untuk
mengharap lagi, lebih baik aku berdiam diri untuk mencari &
mengingati dia lagi. Aku harus terima hakikat itu, dia sudah tidak
pedulikan aku lagi...

Friday, May 20, 2011

Luka Di Hati

Inilah aku agaknya, melalui kehidupan yang agak
sukar dari kawan-kawanku yang lain. Kadang-kadang merasa
gembira dan kadang-kadang melalui luka hati yang dalam
sekali hingga tidak mampu kutahan. Aku hanya mampu
menangis dalam hati untuk melepaskan kesedihan yang tidak
mampu kubendung yang tersimpan jauh di sudut hatiku.

Untuk ku memujuk hatiku yang luka, aku hanya mampu sujud
pada yang Yang Esa, sesungguhnya Dia saja yang Maha Mengetahui
rahsia hatiku. Dan sesungguhnya Dialah kekasihku yang abadi,
yang harus ku rindui sepanjang masa. Terima Kasih Ya Allah.
Ku bersyukur padaMu...memberikanku kekuatan menempuhi segala
ujianMu.

Hati ini bersama kekuatan untuk menjalani kehidupan dengan
berpandukan jalanMu Ya Allah, mudah-mudahan segala perkara
baik yang aku lakukan dipermudahkan olehMu. Aminn..

Tiadalah dipermudahkan tanpa keizinanMu. Aku tidak mampu
melawan takdirku.

Aku cuba untuk memgembirakan hatiku, menyibukkan diri dengan
kerja supaya dapat aku melupakan segala masalah yang melanda yang
kadang-kadang membuatku rasa tidak bernilai. Aku tidak mampu
meluahkan apa yang melanda diriku pada orang lain.
Kenapa tidak aku gembira, bahagia macam orang lain, kawan-kawanku.
Alhamdulillah aku masih lagi mampu sembunyikan kesedihanku.

Aku redha Ya Allah...aku hanya mampu merancang kehidupanku..

Monday, May 9, 2011

20 Amalan Murah Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T.
memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki
dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia
dan akhirat.

Di antaranya:

01.Menyempatkan diri beribadah

Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti
firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan
Aku tidak menutup kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]

02.Memperbanyakkan istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di
depan Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih
dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa
dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.
"[Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim
dari Abdullah bin Abbas r.a]

03.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa.
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi S.A.W.:

"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana
dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]

04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.

Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan
terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada
orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram."[Ar-Ra'd: 28]

05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda S.A.W. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya
dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya."[Riwayat Abu Ya'ala,
at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang
tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya."
[Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]

06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak
yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih
kecil. Sabda Nabi S.A.W.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan
kerana orang-orang lemah di kalangan kamu."[Riwayat Bukhari]

07.Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan
rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda
Nabi S.A.W.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan
menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]

08.Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-
cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan
kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki
dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

09. Banyakkan berbuat kebajikan

Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk
yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk
lain mengutuknya."

10.Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti
harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah
amalan yang berkat.

11.Menjalinkan silaturrahim

Nabi S.A.W. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan
ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.
"[Riwayat Bukhari]

12.Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta
pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan
rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas)
nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." [Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid]

13.Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah
S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair
bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang
Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba
sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian
kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya.
Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T.
menyedikitkan baginya."[Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]

14.Melazimi solat malam (tahajjud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan
memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan
dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..

15.Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan
urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia
tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan
empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya."
[Riwayat al-Hakim dan Thabrani]

16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah
S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi
nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]

Firman-Nya lagi:

"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang
bersyukur." – [Ali Imran: 145]

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain
menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi
fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah,
dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129)
jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas
solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T.
melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.

Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki
jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah"
berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati
kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu,
ya Fattah ya 'Alim."

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18.Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T.,
penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian
dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta
kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya

Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah
S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri
kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu
Abi Syaibah dan al-Hakim]

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab
yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.

Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak
mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim
lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan
yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia
sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat
dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan
Allah S.W.T. seperti firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah
S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]

Nabi S.A.W. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-
benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi
rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang."
[Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim
dari Umar bin al-Khattab r.a.]

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa
kepada takwa.

Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]

Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata
yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan
takwa.

Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah
S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.